Walaupun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asean Hyundai di peringkat separuh akhir, kempen Singapura di Bangkok mencerminkan semangat juang yang tidak pernah luntur.

Mereka bangkit selepas ketinggalan, kembali mendahului dan terus memberikan tentangan sehingga wisel penamat – namun kali ini, usaha mereka tidak cukup untuk membawa mereka selangkah lebih dekat ke final.

Kemenangan 2-1 menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 18 Ogos bermakna Singapura memenangi perlawanan kedua, tetapi tersingkir dengan agregat 3-4.

Namun, penyingkiran tersebut tidak mencerminkan sepenuhnya sejauh mana pasukan itu telah berkembang sejak Gavin Lee mengambil alih sebagai ketua jurulatih pada 2025.

Selepas tewas 1-3 di Jalan Besar dalam perlawanan pertama, tugas Singapura di Bangkok sememangnya amat berat.

Namun, apa yang ditunjukkan mereka kali ini ialah keberanian untuk bermain dengan tujuan, bukan sekadar mengejar defisit.

Pertahanan juga kelihatan lebih kemas berbanding perlawanan pertama, sementara barisan hadapan lebih berani mengambil risiko dan mencari ruang.

Singapura akhirnya memperoleh kemenangan 2-1 di kandang Gajah Perang.

Pasukan Singa berjaya mengikat juara bertahan 1-1, Vietnam, walaupun bermain di Stadium My Dinh di Vietnam pada 31 Julai. Ini berbanding edisi lalu, di mana Singa kalah 5-1 secara agregat apabila menentang Vietnam.
Pasukan Singa berjaya mengikat juara bertahan 1-1, Vietnam, walaupun bermain di Stadium My Dinh di Vietnam pada 31 Julai. Ini berbanding edisi lalu, di mana Singa kalah 5-1 secara agregat apabila menentang Vietnam. - Foto AFP

Malah, sepanjang kempen Piala Asean Hyundai ini, mereka tidak tewas dalam tiga perlawanan di gelanggang lawan – menang di Kemboja, seri di Vietnam dan menang di Thailand.

Itu sendiri satu perkembangan yang tidak boleh dipandang ringan.

Apa yang paling menarik daripada kempen ini mungkin bukan sekadar keputusan, tetapi perubahan dari segi kepercayaan pemain terhadap kemampuan sendiri.

Lee berulang kali menekankan bahawa kepercayaan tidak hadir begitu sahaja – ia perlu dibina dengan membuktikan diri mereka.

Kelayakan ke Piala Asia, keputusan menentang pasukan seperti Vietnam dan Indonesia, serta dua persembahan yang kompetitif menentang Thailand menjadi bukti yang boleh dibawa pulang pemain.

Gavin Lee (dua dari kanan) meraikan kelayakan ke peringkat separuh akhir Piala Asean Hyundai selepas Singapura berjaya seri 1-1 bersama Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos. Singapura mempamerkan semangat juang sekali lagi, menyamakan kedudukan walaupun ketinggalan 1-0 dalam perlawanan.
Gavin Lee (dua dari kanan) meraikan kelayakan ke peringkat separuh akhir Piala Asean Hyundai selepas Singapura berjaya seri 1-1 bersama Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos. Singapura mempamerkan semangat juang sekali lagi, menyamakan kedudukan walaupun ketinggalan 1-0 dalam perlawanan. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Di Bangkok, bukti itu sekali lagi jelas.

Harhys Stewart, yang menjaringkan gol Singapura, mengakui pasukan kecewa kerana gagal melengkapkan kebangkitan tetapi tetap bangga dengan usaha rakan-rakannya.

“Kami datang ke sini dengan cabaran besar untuk membalas keputusan perlawanan pertama dan kami hampir melakukannya,” katanya.

Hariss Harun pula menyifatkan persembahan itu sebagai antara yang terbaik Singapura dalam kempen tersebut, walaupun mengakui pasukan masih perlu lebih tajam dan sabar ketika mencipta peluang.

“Kami memberikan segala yang kami ada. Kami cuma kehabisan masa,” kata kapten Singa itu.

Itulah mungkin gambaran paling tepat mengenai kempen Singapura kali ini.

Mereka belum sampai ke tahap untuk mengawal setiap perlawanan atau menghukum setiap kesilapan lawan.

Tetapi mereka sudah menunjukkan bahawa mereka tidak mudah patah apabila berdepan situasi sukar.

Lebih penting, ada tanda bahawa pemain semakin memahami apa ertinya mewakili negara.

Penyerang Singapura, Ilhan Fandi, menyerlah dalam pertandingan ini. Beliau telah menjaringkan empat gol penting bagi Singa, termasuk jaringan lewat untuk mendapatkan kemenangan penting 2-1 ke atas Kemboja pada 24 Julai.
Penyerang Singapura, Ilhan Fandi, menyerlah dalam pertandingan ini. Beliau telah menjaringkan empat gol penting bagi Singa, termasuk jaringan lewat untuk mendapatkan kemenangan penting 2-1 ke atas Kemboja pada 24 Julai. - Foto ST
Antara perkara yang menarik perhatian adalah gabungan pemain tengah Song Ui-Young (kiri) dan penyerang Ilhan Fandi. Gabungan kedua-dua pemain itu sekali lagi menjadi kunci dalam kemenangan 2-0 Singapura ke atas Kemboja di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai.
Antara perkara yang menarik perhatian adalah gabungan pemain tengah Song Ui-Young (kiri) dan penyerang Ilhan Fandi. Gabungan kedua-dua pemain itu sekali lagi menjadi kunci dalam kemenangan 2-0 Singapura ke atas Kemboja di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Lee sendiri menekankan semangat dan kesatuan kumpulan, manakala Harhys berkata matlamat mereka adalah untuk menjadi antara pasukan terbaik di Asia Tenggara dan bersaing di peringkat Asia.

“Kami mahu menuju ke arah itu. Kami akan terus bekerja keras dalam setiap latihan, analisis video dan segala-galanya untuk melakukan yang terbaik,” kata Haryhs.

Kenyataan itu bukan sekadar sasaran jangka panjang.

Sepanjang kempen ini, para pemain juga menunjukkan keinginan untuk terus berada di padang walaupun berdepan tekanan, kecederaan dan keletihan.

Sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat menjadi “pembakar semangat” utama buat pemain sepanjang kempen Piala Asean Hyundai 2026.
Sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat menjadi “pembakar semangat” utama buat pemain sepanjang kempen Piala Asean Hyundai 2026. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Hubungan dengan penyokong pula semakin menjadi sebahagian daripada identiti pasukan.

Lee mengakui sokongan yang diterima, termasuk ketika Singapura ketinggalan 1-3 pada perlawanan pertama, menjadi pembakar untuk pemain terus berjuang.

Harhys juga menyifatkan peningkatan sokongan dan penglibatan peminat sebagai sesuatu yang amat menggembirakan, manakala Hariss menganggap sokongan penyokong sebagai antara kemuncak kempen ini.

Cabaran seterusnya ialah Piala Asean Fifa, yang dijadualkan berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober, dengan Singapura dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Malaysia dan Bangladesh dalam Divisyen Premier.

Ia memberikan Singapura satu lagi peluang untuk menguji sejauh mana mereka telah berkembang – kali ini dalam kejohanan yang berlangsung dalam tempoh antarabangsa Fifa.

Jadi, walaupun perjalanan Piala Hyundai berakhir di Bangkok, sukar untuk melihat kempen ini semata-mata sebagai kisah kegagalan mara ke final.

Seperti yang dikatakan Hariss, mereka kini perlu kembali melakar perancangan untuk meningkat, mengambil pengajaran daripada dua perlawanan itu dan menjadi pasukan yang lebih baik.

Singa mungkin tersingkir. Tetapi perjuangan mereka belum selesai.