Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua gergasi berentap tingkat cabaran

‘London derby’ peluang terbaik The Gunners dan The Blues bangkit dari kekecewaan minggu lalu
Nov 10, 2024 | 5:30 AM
Arsenal berharap kapten pasukan Martin Odegaard (tengah) dapat membantu mereka ke jalan menuju kemenangan setelah kembali daripada kecederaan.
Arsenal berharap kapten pasukan Martin Odegaard (tengah) dapat membantu mereka ke jalan menuju kemenangan setelah kembali daripada kecederaan. - Foto-foto REUTERS

Chelsea telah mengalami kekalahan di tangan dua pasukan yang sedang mengejar kejuaraan Liga Perdana England (EPL) – Manchester City dan Liverpool – musim ini. 

Justeru, perlawanan derby hujung minggu ini menentang pesaing London, Arsenal, menjadi peluang terbaik untuk menyampaikan mesej bahawa mereka sedia memberi tentangan hebat dalam perlumbaan merebut kejuaraan.

Namun, ‘The Gunners’ juga berharap dapat memperbaiki kedudukan mereka dalam liga selepas prestasi yang mengecewakan.

Pasukan Enzo Maresca dan Mikel Arteta tentunya berasa kesal hujung minggu lalu kerana gagal memperoleh kemenangan dalam perlawanan masing-masing.

Chelsea terikat 1-1 menentang Manchester United, sementara Arsenal mengalami kekalahan kedua berturut-turut musim ini selepas tewas 0-1 kepada Newcastle.

Dengan kedua-dua pasukan ketinggalan di belakang pendahulu liga, kehilangan lebih banyak mata bukanlah satu pilihan jika mereka ingin merebut trofi.

‘The Blues’ terlepas peluang untuk naik ke tangga ketiga dalam liga dan merapatkan jurang dengan Liverpool selepas keputusan seri di Old Trafford.

Meskipun begitu, pasukan muda Chelsea telah memulakan musim dengan cemerlang di bawah pengurus baru, Maresca, menduduki tangga keempat dalam liga, mengatasi Arsenal yang merupakan pencabar kejuaraan musim lalu.

Sebelum musim bermula, terdapat banyak perbincangan tentang bagaimana Maresca akan mencari kombinasi pemain yang tepat untuk kesebelasan utamanya, memandangkan mereka mempunyai senarai pemain yang hebat dan berbakat.

Untuk memastikan setiap pemain berpeluang beraksi, Maresca kerap membuat perubahan terutama dalam perlawanan piala.

Kesebelasan utama yang dipilihnya bagi perlawanan liga kerap memberikan hasil positif, dengan sebahagian besar kecemerlangan itu disebabkan prestasi pemain tengah Moises Caicedo.

Pemain Ecuador itu menunjukkan aksi cemerlang terutama ketika menentang United, menjaringkan gol penyamaan dengan voli hebat.

Legenda EPL, Alan Shearer, percaya Caicedo telah menunjukkan kemajuan pesat, jelas dari persembahan mengagumkannya menentang Manchester United.

Di bawah bimbingan pengurus mereka yang berusia 44 tahun, Caicedo telah menemui semula prestasinya, mengingatkan akan zaman kegemilangannya di Brighton.

Selepas bergelut dengan masalah pada awal perpindahan rekodnya pada 2023, Caicedo berjaya menyesuaikan diri pada separuh kedua musim lalu dan telah meningkatkan permainannya ke tahap baru musim ini.

Chelsea mungkin akan berhadapan dengan pesaing London, Arsenal, tanpa pemain penting mereka, Cole Palmer, yang mengalami kecederaan akibat dikasari Lisandro Martinez.

Dengan ketiadaan penjaring terbanyak mereka itu, mungkin inilah masa yang tepat untuk Joao Felix membuktikan kemampuannya selepas menyertai Chelsea secara tetap pada jendela perpindahan yang lalu.

Pemain antarabangsa Portugal itu belum membuat penampilan sebagai pemain utama dalam EPL sejak kembali ke Chelsea dan sukar mendapatkan masa bermain secara tetap kerana prestasi cemerlang rakan sepasukannya, Palmer.

Namun, dengan perlawanan seterusnya semakin hampir, Felix memiliki peluang emas untuk membuktikan mengapa kelab itu melabur besar untuk membawanya pulang dan membuktikan nilainya kepada pasukan.

Arsenal perlu bertandang ke Stamford Bridge dan harus menunjukkan “kesempurnaan” dari sekarang hingga akhir musim jika mereka ingin kembali menjadi pesaing utama, selepas prestasi hambar dalam perlawanan liga.

Mereka hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan EPL terakhir mereka dan jatuh ke tangga kelima dalam liga.

Bukayo Saka berasa perlu mengadakan perbincangan bersama pasukan selepas perjalanan sukar tiga perlawanan tanpa kemenangan. 

Namun, beliau menekankan bahawa adalah penting untuk tidak bertindak terlalu emosional.

“Sudah tentu terdapat banyak perhatian di sekeliling kelab dan kami tewas dua perlawanan dan seri satu lagi.

“Tetapi pada masa yang sama saya rasa adalah penting untuk kekal tenang kerana melakukan semua perkara ini pada masa yang sama boleh mencipta lebih banyak ketenangan tetapi juga boleh mencipta sedikit panik dan kekacauan dan saya tidak fikir kami memerlukan itu sekarang,” kata beliau.

Arsenal berharap dengan kembalinya kapten mereka, Martin Odegaard, mereka mampu hidup kembali. 

Namun begitu, masalah Arsenal jelas disebabkan jentera serangan mereka yang tumpul. 

Penyerang utama mereka, Kai Havertz, gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan lalu. 

Sekiranya mereka tidak mahu jauh ketinggalan, Arteta perlu menurunkan kesebelasan utama yang kuat bagi memberikan tentangan hebat kepada Chelsea.

Ramalan wartawan: Chelsea 2 - 1 Arsenal

Laporan berkaitan
Tumpul lawan Tajam?Oct 30, 2024 | 4:23 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg