Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua gol Mane bantu Senegal kejutkan Brazil 4-2

Brazil, juara dunia lima kali, tewas kali ketiga dalam empat perlawanan
Jun 21, 2023 | 4:33 PM
GOL PENTING: Sadio Mane (dua dari kiri) dan rakan sepasukannya girang meraikan gol yang dijaringkan semasa menentang Brazil.
GOL PENTING: Sadio Mane (dua dari kiri) dan rakan sepasukannya girang meraikan gol yang dijaringkan semasa menentang Brazil. - Foto EPA-EFE

LISBON: Sadio Mane menjaringkan dua gol untuk membantu Senegal membuat kejutan dan menewaskan Brazil 4-2 dalam satu perlawanan persahabatan di Lisbon pada Selasa.

Ini kekalahan ketiga dalam empat perlawanan bagi Brazil, juara dunia lima kali.

Pasukan Selecao juga tewas dengan jaringan melebihi dua gol buat kali pertama sejak ia tewas 0-2 kepada Chile pada 2015. Ini juga kali pertama gawangnya dibolosi sekurang-kurangnya empat gol sejak ditewaskan 7-1 oleh Jerman di separuh akhir Piala Dunia 2014.

Lucas Paqueta memberi Brazil gol pendahuluan dalam separuh masa pertama dan mereka menjangka telah mendapat tendangan penalti apabila Vinicius Jr dikasari dalam petak penalti.

Namun, keputusan pengadil diubah menyusuli campur tangan penolong pengadil menggunakan video (VAR) yang mendapati ada pemain dalam kedudukan ofsaid dalam aturan permainan yang berkesudahan dengan gol itu.

Senegal memanfaatkan sepenuhnya peluang pertama mereka apabila pertahanan Brazil gagal mengeluarkan bola dari petak penalti dan Habib Diallo merembat bola ke dalam gawang menerusi satu tendangan voli kencang pada minit ke-22.

Gol itu memberi keyakinan kepada Senegal dan mereka menjaringkan dua gol dalam tiga minit selepas masa rehat, dengan bola tandukan Ismaiia Sarr terkena pemain pertahanan Brazil Marquinhos lalu termasuk ke dalam gawangnya sendiri sebelum Mane membuat tendangan melencong menarik ke sebelah kiri pintu gawang Brazil.

Marquinhos menebus kesilapan awalnya dengan menjaringkan gol kedua Brazil apabila bola berada dalam petak penalti Senegal.

Namun Senegal tetap tenang dan kemudian melebarkan kelebihan gol mereka apabila Mane menjaringkan gol keduanya menerusi sepakan penalti selepas Nicolas Jackson dikasari dalam petak penalti oleh penjaga gawang Brazil, Ederson.

Kekalahan itu satu tamparan buat Brazil, yang dipimpin oleh pengurus pasukan bawah 20 tahun negara itu, Ramon Menezes, sebagai jurulatih sementara.

Persatuan Bola Sepak Brazil masih berusaha mendapatkan khidmat pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, sebagai pengurus baru mereka.

Jawatan itu belum diisi sejak peletakan jawatan Tite selepas Brazil terkeluar pada peringkat suku akhir Piala Dunia pada Disember 2022. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg