Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua gol Thierno Barry bantu Everton benam Coventry
Tekad saing Haaland buru But Emas; Coventry tewas 1-3
Dua gol Thierno Barry bantu Everton benam Coventry
LIVERPOOL: David Moyes berkata Thierno Barry telah membuktikan kebenarannya selepas dua gol penyerang Everton itu memberi inspirasi kepada kemenangan 3-1 menentang Coventry pada 6 November.
Pasukan kendalian Moyes tertinggal di belakang menerusi jaringan Yann Gboho pada awal separuh masa kedua di Stadium Hill Dickinson.
Namun, Barry membuktikan dirinya terlalu sukar untuk dikawal oleh Coventry, dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh hanya lima minit untuk mengubah perlawanan yang memihak kepada Everton.
Barry telah pun menjaringkan 10 gol pada musim ini, melangkaui jumlah keseluruhan jaringannya bagi keseluruhan kempen 2025 hingga 2026.
Musim pertama yang mengecewakan di Goodison Park selepas meninggalkan Villarreal kian luput daripada ingatan, sedang pemain berusia 24 tahun itu mula mempamerkan prestasi kemuncaknya.
Beliau menyumbat enam gol dalam tujuh penampilan terakhirnya dalam semua kejohanan.
“Kami menyumbatkan gol yang agak mudah, tetapi reaksi selepas itu sangat baik. Yang penting ialah apabila Barry menjaringkan dua lagi gol malam ini yang amat bermakna buat kami.
“Beliau boleh tersenyum kepada saya sekarang dan kami sentiasa kagum dengan kebolehannya dan mahu dia terus menjaringkan gol,” kata Moyes.
Barry terkenal kerana mensia-siakan peluang yang kelihatan mustahil untuk terlepas pada musim lalu, namun beliau jauh lebih tajam di hadapan gol pada kempen kali ini.
“Barry telah terlepas agak banyak peluang tetapi malam ini beliau menjaringkan gol penting untuk kami,” tambah Moyes, selepas beliau menyamai rekod Harry Catterick sebagai pengurus Everton, dengan memberi bimbingan 592 perlawanan.
Dalam kalangan pemain Liga Perdana England (EPL), hanya penyerang Manchester City, Erling Haaland, yang menjaringkan lebih banyak gol berbanding Barry dalam semua kejohanan musim ini.
“Saya amat gembira kerana saya peminatnya (Haaland). Saya menonton banyak videonya dan cuba melakukan perkara yang dia lakukan.
“Jika saya mampu kekal bersaing dengannya sehingga ke penhujung untuk merebut Kasut Emas, saya akan mencubanya,” kata Barry.
Everton mendaki ke tangga kelima berikutan kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam semua kejohanan.
Pengurus Coventry, Frank Lampard, kecewa dengan penolakan dua rayuan penalti yang boleh mengubah perlawanan memihak kepada pasukannya.
Lampard, yang pernah menguruskan Everton dari Januari 2022 hingga Januari 2023, berkata:
“Keputusan besar jelas menjejaskan perlawanan.
“Video Pembantu Pengadil (VAR) telah diteliti. Insiden rambut Caleb Yirenkyi ditarik oleh James Tarkowski, kemudian Vitaliy Mykolenko ke atas Taiwo Awoniyi, saya fikir terdapat sentuhan di garisan petak penalti yang sepatutnya menjadi penalti.
“Gol kedua mereka terhasil daripada tangan pemain. Jika anda menyemak sudut pandangan, ada sudut yang menunjukkan bola terbias masuk ke tangan pemain itu. VAR telah memeriksanya dan memutuskan sebaliknya.” – AFP.