Pemain tenis meja Singapura, Zhou Jingyi dan Izaac Quek, berdepan perlawanan pembukaan yang sukar dan mencabar semasa penampilan pertama mereka di Sukan Olimpik Paris 2024, selepas satu undian dibuat pada 24 Julai.
Zhou, pemain nombor 113 dunia, akan menentang pemain ranking ke-10 dunia, Bernadette Szocs dari Romania, dalam pusingan 64 pemain perseorangan wanita.
Pemenang perlawanan itu akan bertemu sama ada Orawan Paranang dari Thailand atau Margaryta Pesotska dari Ukraine dalam pusingan 32 pemain terbaik, lapor The Straits Times (ST).
Szocs, 29 tahun, pernah menewaskan Zhou, remaja berusia 19 tahun, 11-7, 11-6, 11-8 dalam satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini dalam Kejohanan Tenis Meja Berpasukan Dunia pada Februari 2024.
Izaac, pemain nombor 83 dunia, pula akan bertemu pemain nombor 18 dunia dari Slovenia, Darko Jorgic, dalam pusingan 64 pemain perseorangan lelaki.
Jorgic, 25 tahun, pemain pilihan ke-13, pernah mara ke suku akhir dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Izaac, 18 tahun, yang pernah tewas dua kali kepada Jorgic, berkata beliau akan bermain dengan sebaiknya, dan berharap akan menang kali ini.
“Saya rasa tidak penting siapa lawan saya. Saya fikir pada peringkat ini, dalam kejohanan besar ini, semua pemain adalah handal, jadi yang penting ialah saya mempersiapkan diri.
“Matlamat dan strategi saya untuk perlawanan minggu ini adalah memberi tumpuan kepada strategi saya dan melaksanakannya di gelanggang.
“Saya juga berharap tidak akan berasa gelisah, sebaliknya hanya menikmati setiap saat di gelanggang,” ujar Izaac.
Seorang lagi wakil tenis meja Singapura, Zeng Jian, 27 tahun, menerima undian yang agak baik.
Pemain nombor 52 dunia itu akan bertemu pemain Croatia, Ivana Malobabic, yang berada di ranking ke-73, dan akan membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik pada usia 44 tahun.
“Saya akan terus membuat persiapan baik. Saya percaya lawan saya akan berusaha sedaya upaya dalam perlawanan ini (untuk menang). Jadi saya akan buat persiapan untuk jadikan diri saya lebih bertenaga dan berlatih bersungguh-sungguh,” kata Zeng.
Pemenang dalam perlawanan itu dijangka bertemu bintang yang meningkat naik dari India dan pemain nombor 24 dunia, Sreeja Akula, dalam pusingan 32 pemain terbaik.
Jurulatih wanita Singapura, Jing Junhong, berkata: “Perlawanan ini memerlukan banyak tenaga.
“Zeng pernah mengalahkannya (Malobabic) dua tahun lalu, jadi ada peluang 50-50 beliau akan bermain dengan sebaiknya (untuk menang).”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg