Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pesilat beralih seni ke wushu untuk Sukan SEA

Peralihan sebahagian daripada program strategi rentas sukan tempur oleh Institut Sukan Berprestasi Tinggi di bawah SportSG
Sep 11, 2025 | 3:22 PM
Singapura, SEA Games, Sukan SEA, wushu, Siti Khadijah Shahrem, Adib Farhan Ramli
Dua pesilat Siti Khadijah Shahrem (kiri) dan Adib Farhan Ramli akan mewakili Singapura di Sukan SEA di Thailand Disember nanti, bukan dalam sukan silat, tetapi wushu. - Foto ST

Sukan silat membawa suka dan duka buat Siti Khadijah Shahrem.

Sejak mula menceburi sukan itu pada usia 11 tahun, Khadijah telah meraih pingat di Sukan SEA dan Sukan Asia, malah pernah dicalonkan sebagai Olahragawati Tahunan bagi Anugerah Sukan Singapura 2023.

Namun, 2025 menjadi satu detik sukar apabila beliau gagal terpilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

Disebabkan hanya kategori wanita Kelas B (50-55kg) dan Kelas C (55-60kg) dipertandingkan di Thailand, Khadijah – yang sebelum ini memenangi gangsa di Sukan SEA 2022 dalam Kelas F (70-75kg) dan bertanding dalam Kelas D (60-65kg) pada edisi terakhir – memilih untuk menurunkan berat badan bagi mencuba nasib dalam Kelas C.

Walaupun berjaya mencapai berat badan yang diperlukan, beliau tewas dalam sesi pemilihan dalaman Persekutuan Silat Singapura (SSF) pada Mac.

Tempat tersebut akhirnya dimenangi oleh Rifqah Mursyidah Mistam yang ketika itu berusia 18 tahun.

Kegagalan itu amat mengecewakan buat Khadijah yang berazam untuk beraksi di temasya Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut.

Namun, ketika impiannya seakan berakhir, peluang baru muncul dalam bentuk sukan wushu.

Jurulatih kebangsaan silat, Rafili Ramli, bertanya sama ada Khadijah berminat untuk mencuba wushu sanda, satu disiplin seni mempertahankan diri dari China.

Wushu terdiri daripada dua cabang – taolu, iaitu persembahan rutin koreografi, dan sanda, iaitu pertempuran secara kontak penuh.

Meskipun ia berlainan daripada latar belakang sukan silat, dan sering didominasi atlet berbangsa Cina, Khadijah tidak teragak-agak untuk menyambut cabaran tersebut.

Menurut The Straits Times, kisah serupa juga dialami bekas juara Asia, Adib Farhan Ramli, 27 tahun, yang turut bertukar daripada silat kepada wushu selepas terlepas pemilihan ke temasya itu.

“Saya sangat teruja. Sukan SEA adalah peluang yang sangat jarang berlaku dan menjadi impian setiap atlet untuk mengambil bahagian di dalamnya,” katanya.

Peralihan dua atlet tersebut bermula sekitar Ogos sebagai sebahagian daripada program strategi rentas sukan tempur yang diperkenalkan oleh Institut Sukan Berprestasi Tinggi di bawah Majlis Sukan Singapura (SportSG).

Ketua institusi tersebut, Dr Su Chun Wei, berkata pendekatan tersebut merupakan cara inovatif untuk memaksimumkan potensi atlet dengan memanfaatkan kemahiran yang boleh dipindahkan antara sukan tempur.

Dr Su menambah projek perintis antara Persekutuan Wushu Naga dan Tarian Singa Singapura (SWDLDF) dan SSF menunjukkan hasil yang positif.

“Kebolehan kededua atlet silat ini menguasai teknik sanda dalam tempoh masa yang singkat menunjukkan bahawa kemahiran tempur boleh dipindahkan rentas sukan, sekali gus membuka laluan baru buat atlet pasukan Singapura,” katanya.

Khadijah berkata beliau perlu mendapatkan restu ibunya terlebih dahulu, kerana ibunya bimbang tentang keselamatannya.

Malah, beliau mengakui dirinya terkejut apabila menerima tumbukan di muka buat pertama kali semasa latihan.

Kini, setelah menukar pakaian silat hitam mereka kepada kelengkapan baru lengkap dengan sarung tangan dan pelindung kepala, Adib dan Khadijah bersedia menghadapi Sukan SEA pada 9 hingga 20 Disember nanti.

“Kebolehan kededua atlet silat ini menguasai teknik sanda dalam tempoh masa yang singkat menunjukkan bahawa kemahiran tempur boleh dipindahkan rentas sukan, sekali gus membuka laluan baru buat atlet pasukan Singapura.”
Dr Su Chun Wei, ketua Institut Sukan Berprestasi Tinggi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg