LONDON: Daniel ‘Dynamite’ Dubois mempertahankan tali pinggang kelas berat, atau ‘heavyweight’, Pertubuhan Tinju Antarabangsa (WBO) miliknya selepas menewaskan lawan senegara dari Britain, Fabio Wardley.

Dubois menguasai perlawanan dan mencatat kemenangan pada pusingan kedua pada 17 Oktober.

Juara berusia 29 tahun itu memulakan pertarungan dengan hebat di Arena O2, London, apabila tumbukan kanan Dubois menjatuhkan Wardley ke gelanggang hingga beliau hilang keseimbangan hanya dalam tempoh 17 saat selepas wisel permulaan ditiup.

Wardley, 31 tahun, bangkit sebelum kiraan tamat dan hampir dihentikan pada penghujung pusingan pertama selepas menerima asakan hebat di tali gelanggang, namun diselamatkan oleh loceng penamat pusingan.

Dubois terus menguasai pertarungan dan tidak memberi sebarang ruang kepada Wardley untuk melepaskan diri daripada asakan bertubi-tubi pada pusingan kedua.

Wardley terus menerima tumbukan demi tumbukan sehingga menyerah dan pengadil Steve Gray menghentikan pertarungan.

“Fabio (Wardley) seorang pejuang hebat yang hadir buat kali kedua, tetapi ini adalah masa dan era saya.

“Saya mempunyai niat yang jelas, niat ‘jahat’ dari awal lagi.

“Kekalahan lalu meletakkan kami dalam keadaan terdesak, kali ini kami perlu membuktikan kemampuan sebenar dan itulah yang kami lakukan malam ini,” kata Dubois, yang digelar ‘Triple D’ itu.

Ini merupakan kekalahan pertama Wardley sebagai petinju profesional apabila beliau bangkit daripada dua kali dijatuhkan – kali pertama seawal minit ke-16 – sebelum merampas gelaran pada pusingan ke-11 dalam pertembungan sengit dan berdarah dengan Dubois di Manchester, pada Mei.

Wardley, yang dinaikkan status sebagai juara WBO pada November 2025 selepas wakil Ukraine, Oleksandr Usyk, melepaskan gelaran itu, pernah dipuji atas keberanian serta semangatnya yang pantang menyerah dalam pertemuan pertama mereka.

Namun pada 17 Oktober, beliau kelihatan tidak lagi berada pada prestasi terbaik berbanding di Manchester.

Beliau kini memegang rekod 20-2-1, manakala Dubois mencatatkan 24 kemenangan dan tiga kekalahan.

“Saya sentiasa mencabar diri menentang lawan terbaik, paling gagah, paling besar, paling sukar dan paling ‘jahat’ di luar sana. Tiada apa yang perlu dimalukan apabila anda menguji kemampuan anda dengan menentang lawan yang terbaik.

“Daniel (Dubois) adalah bukti bagaimana seseorang itu boleh bangkit semula selepas menghadapi kegagalan, dan saya juga berhasrat untuk melakukan perkara yang sama.

“Sukan tinju adalah permainan yang ditentukan oleh kelebihan yang sangat tipis. Perlawanan boleh tamat dalam satu atau dua pusingan sahaja, atau menjadi pertempuran sengit seperti sebelum ini,” kata Wardley.

Dubois sebelum ini merupakan juara Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) sebelum tewas kepada petinju Ukraine, Usyk, di London pada Julai 2025, dan kemudian bangkit merampas tali pinggang WBO daripada Wardley.

Petinju Croatia, Filip Hrgovic, yang memegang gelaran juara IBF selepas menewaskan petinju Britain, Moses Itauma pada Ogos, turut berada di tepi gelanggang pada 17 Oktober.

Beliau telah mencabar Dubois untuk perlawanan mempertaruhkan kedua-dua tali pinggang.

“Malam ini malam yang mudah buat Daniel. Beliau melakukan tugas dengan baik, dan (mencatat satu) kemenangan pantas. Jadi beliau sedia untuk bertarung dengan saya pada Mac nanti, kan Daniel?” kata Hrgovic, sebelum penganjur Frank Warren memberi bayangan bahawa Dubois mungkin perlu berdepan lawan lain terlebih dahulu.

Dubois pernah menewaskan petinju Croatia itu pada Jun 2024 untuk merampas gelaran sementara IBF, sebelum dinaikkan status sebagai juara selepas Usyk melepaskan gelaran berkenaan.

“Saya mahukan perlawanan semula dengannya, saya mahu merampas kembali tali pinggang lama saya dan menguasai kategori ini,” kata Dubois. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti