Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu dipinggir, kini bangkit sebagai kapten pasukan bola keranjang 3x3
Dulu dipinggir, kini bangkit sebagai kapten pasukan bola keranjang 3x3
Nur Aufa Emil Putra tangguhkan impian untuk jadi seorang guru
Dulu dipinggir, kini bangkit sebagai kapten pasukan bola keranjang 3x3
Gagal dipilih dalam pasukan bola keranjang sekolah, dan apabila akhirnya berjaya menembusi skuad, peluang beraksi pula amat terhad.
Oleh itu, Nur Aufa Emil Putra mempunyai seribu satu alasan untuk berputus asa, dan memilih jalan lain dengan mengejar impian untuk menjadi seorang guru.
Namun, beliau tetap bertekad dan berjuang. Sebaliknya, setiap kekecewaan menjadi pembakar semangat. Setiap penolakan, setiap detik di bangku simpanan, menguatkan lagi azamnya.
Apa yang bermula sekadar minat biasa terhadap sukan itu, perlahan-lahan berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar dan bermakna.
Kini Aufa, 25 tahun, bukan sekadar anggota pasukan bola keranjang 3x3 negara sepenuh masa, tetapi juga individu penting yang dipandang rakan sepasukan sebagai pemimpin.
Perkenalannya dengan bola keranjang bermula secara tidak dirancang.
Ketika beliau bersekolah di Sekolah Rendah Bedok Green, beliau memilih sukan itu sebagai kegiatan kokurikulum tanpa benar-benar memahami apa yang menantinya.
Inspirasi awalnya datang daripada video sorotan pemain Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA), Jason Kidd, bukan kerana jumlah jaringannya yang banyak, tetapi kerana keindahan hantaran dan permainan berpasukan.
“Saya lihat seperti ia amat menyeronokkan, bagaimana pasukan bergabung. Dari situ, mula timbul rasa keinginan untuk mencuba,” cerita atlet itu.
Namun, minat yang baru berputik itu tidak serta-merta diterjemahkan kepada kejayaan. Di peringkat sekolah menengah, Aufa juga bukan pemain utama.
Pasukannya juga tidak mencipta kesan besar dalam pertandingan. Katanya, mereka sekadar bersaing tanpa benar-benar menonjol.
Perjalanan sama berterusan apabila beliau melangkah ke Politeknik Republic (RP). Di sinilah realiti sebenar mula menguji dirinya.
Pada tahun pertama di RP, beliau gagal dalam pemilihan pasukan – satu tamparan hebat buat seorang pemain muda yang masih mencari arah.
Tahun berikutnya, beliau berjaya menyertai pasukan, tetapi sekadar sebagai pemain simpanan.
“Saya boleh dianggap sebagai pemanas bangku simpanan, waktu saya beraksi agak terhad pada masa itu,” akuinya.
Bagi ramai pemain, detik seperti ini mungkin menjadi titik mereka berputus asa. Namun beliau terus bermain walaupun situasinya tidak banyak berubah.
Aufa masih bukan pilihan utama, masih mencari tempat, masih cuba membuktikan diri.
Perkembangannya perlahan, tidak seperti pemain lain yang melonjak naik dengan cepat.
Namun, perubahan sebenar mula berlaku sekitar usia 22 tahun. Aufa akhirnya mendapat peluang untuk menghadiri pemilihan skuad nasional.
Itu sendiri sudah satu pencapaian besar bagi seseorang yang sebelum ini sering terpinggir.
Apabila beliau berjaya menembusi pasukan negara, ia seolah-olah membuka lembaran baru dalam bola keranjangnya.
Tetapi realitinya jauh lebih mencabar daripada jangkaan.
“Saya hampir berputus asa,” katanya, mengimbas tahun pertamanya bersama pasukan nasional.
Bertemu dengan pemain antarabangsa membuka matanya kepada jurang yang begitu besar dari segi fizikal, kemahiran dan intensiti permainan.
“Saya rasa seperti saya terlalu kecil dan tidak cukup mahir untuk bersaing,” kata pemain dengan ketinggian 1.8 meter itu.
Tekanan mental mula menghimpit. Keyakinannya menjunam. Malah, beliau mengakui pernah hilang rasa cinta terhadap bola keranjang.
Hinggalah beliau menyertai satu kejohanan bawah 23 tahun, Jelajah Malaysia 3x3 Gamuda Land, pada 2023.
Berbeza dengan pengalaman sebelumnya, suasana di kejohanan itu lebih santai dan menyeronokkan.
“Itulah masanya saya mula temui semula cinta dan semangat saya untuk sukan ini,” katanya.
Perlahan-lahan, keyakinannya kembali.
Beliau mula melihat dirinya bukan sekadar pemain yang cuba bertahan dalam sukan tersebut, tetapi seseorang yang masih mempunyai ruang untuk berkembang.
“Sekarang saya rasa saya seorang pemain yang bukan sekadar mampu menyumbang tetapi masih mempunyai banyak ruang untuk menjadi lebih baik,” ujar Aufa.
Dari situ, pendekatannya terhadap permainan juga berubah, daripada dibelenggu keraguan kepada didorong oleh keinginan untuk meningkatkan diri.
Sejak itu, Aufa dan rakan sepasukan melalui proses latihan yang konsisten selama bertahun-tahun. Jadual latihan mereka padat, mencecah sekitar 20 jam seminggu.
Menurutnya, tiada rahsia di sebalik peningkatan mereka.
Latihan berulang-ulang, pendedahan kepada perlawanan kompetitif, dan disiplin harian membentuk dirinya sedikit demi sedikit.
Pada masa sama, Aufa juga berdepan dengan satu lagi keputusan besar dalam hidupnya.
Beliau sebenarnya berada di landasan untuk menjadi seorang guru, satu bidang kerjaya yang benar-benar diminatinya.
Terpaksa memilih antara kerjaya yang terjamin dan impian sebagai atlet, Aufa berada dalam dilema.
Dengan sokongan keluarga, beliau membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sukan tersebut.
Kini sebagai kapten pasukan nasional, beliau menyasarkan untuk terus berkembang bukan hanya secara peribadi, bahkan bagi sukan bola keranjang 3x3 Singapura.
“
“Itulah masanya saya mula temui semula cinta dan semangat saya untuk sukan ini. “Sekarang saya rasa saya seorang pemain yang bukan sekadar mampu menyumbang tetapi masih mempunyai banyak ruang untuk menjadi lebih baik.”