Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu pemain simpanan, kini duduki tempat pertama tenis meja lelaki

Feb 10, 2025 | 4:09 PM
Lin Shidong (kanan) tewaskan rakan sepasukan Liang Jingkun dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Singapore Smash.
Lin Shidong (kanan) tewaskan rakan sepasukan Liang Jingkun dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Singapore Smash. - Foto ST

Di China, Lin Shidong dikenali sebagai ‘Little Stone’ – nama gelaran yang diberikan peminat tenis meja kerana nama beliau bunyi seperti perkataan ‘batu’ dalam bahasa Cina.

Pada 9 Februari, beliau mempamerkan semangat kental dengan bangkit mengalahkan rakan sepasukannya Liang Jingkun 4-2 (9-11, 11-8, 11-8, 6-11, 11-3, 11-2) dalam peringkat akhir perseorangan lelaki di Singapore Smash di Arena OCBC.

Beliau bukan sahaja menerima cek AS$75,000 ($101,738) malah melengkapkan treble menakjubkannya (perseorangan lelaki, beregu lelaki (bersama Wang Chuqin) dan beregu campuran (bersama Kuai Man)).

Atlet berusia 19 tahun itu juga akan mengambil alih tempat Wang sebagai pemain nombor satu dunia perseorangan tenis meja.

Dengan tenang, tanpa senyum, seolah-olah kebangkitan beliau sudah dijangka, Lin berkata: “Bukan mudah merangkul ketiga-tiga gelaran di sini, tetapi saya memberikan segalanya.

“Saya tidak memikirkan tentang ranking dunia, dan tidak membuat sebarang pengiraan sebelum perlawanan peringkat akhir. Bagi saya, ia hanya sekadar nombor dan saya perlu fokus untuk bermain dengan terbaik dan bukannya kepada ranking dunia.”

Lin fokus ketika menentang Liang, 28 tahun, dalam perlawanan yang mulanya kompetitif, di hadapan hampir 3,000 penonton yang memenuhi arena tersebut.

Selepas memenangi set pembukaan dan kemudian menyamakan kedudukan set 2-2, pemain nombor 4 dunia, Liang, menyangka telah menemui jalan kembali untuk memenangi perlawanan, namun Lin meningkatkan prestasinya dan menewaskan Liang dengan mudah dengan memperoleh 22 daripada 27 mata seterusnya.

Menurut laporan The Straits Times, sejak Lin pulang dari Sukan Paris 2024 sebagai pemain simpanan, Lin menjadi pemain terbaik dunia dalam lapan acara yang ditanding secara aktif, menang enam trofi perseorangan lelaki dalam jelajah Tenis Meja Dunia – termasuk China Smash – dan mara ke peringkat separuh akhir dalam dua kejohanan lain.

Pemain remaja itu, yang diramal akan memainkan peranan penting mewakili China pada Olimpik Los Angeles 2028 menyusuli penarikan diri Fan Zhendong dan Ma Long daripada ranking dunia, berkata: “Selepas Olimpik Paris, saya bermain dalam banyak pertandingan dan perlahan-lahan menemui rentak permainan saya.

“Ini kali pertama saya menduduki tempat pertama dunia, jadi saya tidak tahu apa yang patut dijangkakan.

“Dari segi tanggungjawab, memang sudah ada tekanan dan jangkaan sebagai pemain tenis meja Cina tidak kira ranking, jadi kami hanya perlu urus mentaliti kami dengan baik dan buat yang terbaik,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg