Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Izaac Quek curi hati peminat dengan aksi tabah di Singapore Smash

Feb 3, 2025 | 4:05 PM
Pemain pingpong Singapura, Izaac Quek (kanan), menentang pemain Sweden, Anton Kallberg, dalam pertembungan perseorangan lelaki Singapore Smash di OCBC Arena.
Pemain pingpong Singapura, Izaac Quek (kanan), menentang pemain Sweden, Anton Kallberg, dalam pertembungan perseorangan lelaki Singapore Smash di OCBC Arena. - Foto ST

Berhempas-pulas menentang pemain tenis meja nombor 16 dunia, Anton Kallberg, Izaac Quek dari Singapura bertarung habis-habisan sebelum perlawanannya berakhir dengan kekalahan 3-1 (11-9, 4-11, 11-8, 11-7) dalam pusingan ke-64 perseorangan lelaki di Singapore Smash pada 2 Februari.

Walaupun jelas Kallberg berada di kedudukan lebih baik, pemain nombor 83 dunia, Quek, tetap bersemangat dan memberi penonton di Arena Infinity, OCBC Arena, beberapa detik untuk bersorak.

Beliau mampu mencabar pemain Sweden berusia 27 tahun itu dengan memenangi permainan kedua dan meraih kemenangan dalam satu rali dengan kelajuan amat pantas pada permainan terakhir, lapor The Straits Times.

Jeritan berterusan ‘jiayou’ (ayuh dalam bahasa Mandarin) kedengaran daripada kira-kira 500 penonton yang memberi sokongan kepada Quek untuk meraih kemenangan lagi.

Walaupun itu tidak berlaku, terdapat beberapa peminat mencari autograf dan bergambar swafoto bersama (wefie) pemain berusia 18 tahun itu selepas perlawanan, kerana beliau telah berjaya mencuri hati mereka.

Di hadapan rakan-rakan, Quek telah memberikan contoh baik tentang maksud sebenar untuk tidak berputus asa.

Lin Jia’an, yang merupakan salah seorang daripada lebih 100 peminat muda yang duduk di belakang Quek, berkata:

“Walaupun beliau kalah, saya rasa beliau telah mengajar kami semua satu pengajaran penting tentang perjuangan hingga akhir. Walaupun beliau sedang kalah, beliau terus berjuang dan berusaha.

“Saya rasa pengajaran utama hari ini adalah untuk menjadi pemain pasukan kebangsaan, kita mesti berdaya tahan.”

Lin, yang berusia 11 tahun merupakan sebahagian daripada skuad pembangunan remaja Persatuan Tenis Meja Singapura, juga berharap untuk menjadi pemain pasukan kebangsaan suatu hari nanti, sama seperti Quek.

Rakan sepasukannya, Celestine Xiquan Fu Capati, 11 tahun, turut menyuarakan pendapat sama.

“Walaupun lawannya sedang menang, tetapi (Quek) Izaac berani terus mencuba untuk mencari cara dapatkan mata,” kata Celestine, pelajar Sekolah Perempuan Cina Singapura.

“Bahkan (Zhou) Jingyi juga melakukan yang terbaik dan mencuba hingga akhir walaupun lawannya terlalu kuat.”

Pemain Singapura yang juga nombor 153 dunia, Zhou, kalah 3-0 (11-5, 11-8, 11-4) kepada pemain nombor lima Jepun, Hina Hayata, dalam pusingan ke-64 perseorangan wanita.

Sejak debut seniornya pada 2022, Quek sering menjadi sorotan bagi peminat tempatan di Singapore Smash.

Dalam edisi 2023, beliau berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik. Setahun kemudian, beliau bergandingan dengan Koen Pang untuk mencapai suku akhir beregu lelaki.

Namun, Kallberg, yang mengalahkan Quek 4-0 di Piala Dunia di Macau pada 2024 terbukti terlalu kuat.

Walaupun begitu, apa yang membuatkan Quek terus berjuang adalah sokongan daripada penonton tempatan.

“Saya sangat terkejut apabila masuk dan melihat begitu ramai orang, dan saya sangat berterima kasih kepada mereka. Saya benar-benar merasakan sorakan mereka semasa bermain dan ia memberi semangat kepada saya.

“Tiada satu pun detik yang mana saya ingin berputus asa. Saya rasa saya cuba berjuang untuk setiap mata dan saya agak malang kerana ia tidak berpihak kepada saya,” ujarnya.

“Tiada satu pun detik yang mana saya ingin berputus asa. Saya rasa saya cuba berjuang untuk setiap mata dan saya agak malang kerana ia tidak berpihak kepada saya.”
Izaac Quek, pemain tenis meja dari Singapura .
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg