Alexandra Eala mencipta sejarah sebagai pemain pertama dari Filipina memenangi gelaran perseorangan peringkat Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA), manakala Taylor Fritz meraih trofi pertamanya musim ini selepas kededua final Terbuka Washington yang tertangguh akibat hujan, selesai pada 3 Ogos.

Eala mengejutkan pilihan utama, Jessica Pegula, dengan kemenangan 4-6, 6-4, 6-0.

Ketika perlawanan akhir wanita yang terjejas oleh cuaca itu disambung semula, pemain berusia 21 tahun tersebut ketinggalan satu set, tetapi mendahului 2-1 dalam set kedua.

“Saya benar-benar dapat merasakan limpahan kasih sayang.

“Ini peluang pertama saya untuk meraih gelaran dan saya yakin ia bukan yang terakhir.

“Saya juga sudah mencatat satu pencapaian penting dalam kerjaya.

“Saya tahu apa sahaja yang berlaku selepas perlawanan ini, saya sudah pun menang,” kata Eala selepas perlawanan.

Pegula, yang memburu gelaran Washington ketiganya selepas muncul juara pada 2019 dan 2021, gagal menghentikan momentum Eala selepas perlawanan disambung.

Pemain Filipina itu memenangi 10 daripada 13 permainan selepas perlawanan bermula semula, sebelum menguasai set penentuan menerusi servis kiri, serta pukulan berani daripada garisan belakang yang mendapat sokongan kuat daripada penonton, walaupun Pegula bermain di gelanggang sendiri.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Alex atas kejohanan yang luar biasa,” kata Pegula, pemain nombor tiga dunia.

Kemenangan itu memanjangkan rentetan kejayaan Eala ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia kepada lima perlawanan.

Sebelum ini, beliau menewaskan Elena Rybakina, Iga Swiatek dan Elina Svitolina sebanyak dua kali.

Kejayaan itu melonjakkan Eala ke kedudukan terbaik sepanjang kariernya, iaitu nombor 20 dunia, apabila ranking WTA baharu dikeluarkan.

Beliau juga bakal beraksi dalam Terbuka Tenis Singapura pada 21 hingga 27 September ini.

“Singapura mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam hati saya dan saya masih ingat bertanding di WTA Future Stars ketika menjadi pemain junior,” kata Eala.

“Saya gemar beraksi di Singapura kerana lokasinya dekat dengan negara asal saya, Filipina.

“Saya juga amat gembira kerana Asia Tenggara kini mempunyai kejohanan bertaraf WTA 500,” tambah Eala.

Sementara itu, Fritz menewaskan pemain remaja Sepanyol, Rafael Jodar 7-6 (2), 6-4 untuk merangkul gelaran pertamanya pada 2026.

Kemenangan itu memberi Fritz suntikan momentum menjelang Terbuka Canada, kejohanan terakhir ATP Masters 1000 sebelum Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain Amerika itu sekali lagi menjadi antara sandaran utama negaranya untuk menamatkan kemarau gelaran perseorangan lelaki Grand Slam sejak kemenangan Andy Roddick pada 2003. – Reuters.