Sejak di bangku sekolah rendah, tidak pernah terdetik dalam hati Shawal Anuar untuk menyarung jersi bola sepak negara.
Di Sekolah Rendah Clementi, beliau lebih meminati dan menceburi sepak takraw.
Bagaimanapun, semasa menuntut di Sekolah Menengah Kent Ridge, ia tidak menawarkan sukan itu sebagai kegiatan kokurikulum (CCA).
Ketiadaan sukan itu menyebabkan Shawal terpaksa berhenti bermain sepak takraw, dan akhirnya memilih untuk menyertai bola sepak, yang sebelum itu hanya dimainkannya di gelanggang futsal.
Tanpa disedari, di situlah kemahiran bola sepak Shawal diasah kerana beliau sering bermain dengan mereka yang lebih berusia daripadanya.
“Mereka bermain agak kasar, tetapi mereka katakan bahawa inilah cara untuk belajar dan sesuaikan diri dengan bola sepak,” kata penyerang berusia 33 tahun itu.
Di sekolah dulu, Shawal bermula sebagai penjaga gawang, tetapi diarahkan oleh jurulatihnya supaya bermain di sayap kanan memandangkan saiz tubuhnya yang agak kecil.
Dari situlah bakatnya terserlah, yang membolehkannya dipanggil untuk menyertai pasukan Bawah Umur 16 Tahun Gombak United.
Namun, peluangnya di kelab itu terbantut dan hanya bertahan selama tiga bulan kerana beliau tidak biasa dengan latihan kelab.
Menurut Shawal, minatnya yang mula berkembang dalam bola sepak menyebabkan beliau mengetepikan pelajaran, sehingga ibunya, Siti Aminah Hussein, kerap memarahi dan menegurnya.
“Kau ni, asyik main bola, ada belajar tak?” ngomel ibunya yang terngiang-ngiang di telinganya
“Saya diam sahaja, apa nak buat? Saya dah suka main bola.
“Pagi ke sekolah, pulang malam dengan baju yang kotor.
“Mak saya mengeluh kerana selalu perlu bersihkan baju saya,” kata Shawal sambil tersenyum mengenang interaksinya bersama ibunya.
Pada usia 18 tahun, ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), beliau berpeluang bermain bola sepak lagi dalam Liga Bola Seluruh Negara (Island Wide League) bersama pasukan Ottawa Serpent pada hujung minggu.
Dua tahun kemudian, Shawal menyertai pasukan Liga Bola Sepak Nasional (NFL) Keppel Monaco, yang membolehkannya menerima elaun $50 bagi setiap perlawanan.
Untuk memenuhi keperluan harian, beliau bekerja sebagai pemindah barang, membersihkan panel kaca di pusat beli-belah, dan membuat penghantaran skuter kanak-kanak ke kedai dan juga rumah pembeli.
Pada masa itu, bermain bola sepak secara profesional masih jauh daripada pemikirannya.
Peluang beraksi di peringkat profesional tiba pada 2014 apabila Shawal, yang ketika itu bermain dalam NFL, dipilih oleh Noor Ali, yang ketika itu menjadi pembantu jurulatih pasukan Liga Prime Geylang International.
Shawal ditawarkan kontrak selama enam bulan dengan gaji bulanan $500.
Setahun kemudian, beliau berjaya menyertai skuad utama dan ditawarkan kontrak profesional pertama dengan gaji $1,800 sebulan, yang akhirnya membolehkan beliau berhenti daripada pekerjaan lain dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bola sepak.
Prestasinya di Geylang membolehkan beliau menerima panggilan pertama ke pasukan kebangsaan pada 2016.
Apabila beliau mendengar khabar itu buat kali pertama, beliau sukar mempercayainya.
“Dulu saya seorang penyokong, saya akan ke stadium dan menyaksikan pemain bermain. Kini saya dapat beraksi bersama mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menghadapi cabaran terbesar dalam kerjayanya apabila mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lututnya pada 2018 dan ia hampir memusnahkan kerjayanya.
Namun, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.
Dalam tempoh itu juga, beliau bertemu dengan Maria Mahran, yang menjadi isterinya.
“Kami dapat tahu bahawa kami berkongsi tarikh hari lahir yang sama dan dilahirkan di hospital yang sama juga,” kata Maria, seorang suri rumah.
Shawal berkata isterinyalah yang menemaninya sepanjang proses pemulihan.
“Beliaulah yang memberi saya semangat untuk terus berjuang, kerana pada masa itu, saya sudah mempunyai hasrat untuk menggantung but,” kata Shawal.
Ekoran ‘sibuk’ meluang masa bersama Cik Maria, beliau tidak menghadiri sesi rehabilitasi selama seminggu.
“Kak Fizah (ketua fisioterapi pasukan kebangsaan, Nurhafizah Abu Sujad) berfikir saya sudah berputus asa.
“Tetapi beliau belum tahu saya sebenarnya sedang jatuh cinta, sibuk berjuang untuk ambil hati orang,” kata beliau sambil tersenyum ke arah isterinya.
Shawal bangkit dan kembali beraksi dengan penuh semangat, menyertai Hougang pada 2019 untuk mengharungi cabaran baru.
Beliau berjaya beraksi cemerlang sekali lagi, membantu Hougang United memenangi Piala Singapura pada 2022.
Kejayaannya bersama Hougang United menarik perhatian Lion City Sailors (LCS) yang melamarnya pada akhir 2022.
Walaupun pada awalnya beliau ragu-ragu untuk menyertai pasukan yang penuh bintang dan bakat bola sepak asing itu, Shawal akhirnya membuat keputusan untuk menerima cabaran tersebut.
Kini, penyerang itu menyerlah dalam kalangan bintang Sailors, dengan jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic, menyifatkan beliau sebagai antara pemain paling berharga dalam pasukannya.
Mengulas kerjayanya sejauh ini, Shawal berkata:
“Saya bangga dengan apa yang saya telah capai. Tak sangka dengan kerja keras dan usaha, saya dapat capai apa yang saya inginkan.
“Ramai yang mengatakan apabila saya makin tua, makin bagus tetapi tidak, saya pemain yang sama sahaja tetapi bezanya adalah pengalaman saya.”
“
“Saya bangga dengan apa yang saya telah capai. Tak sangka dengan kerja keras dan usaha, saya dapat capai apa yang saya inginkan. Ramai yang mengatakan apabila saya makin tua, makin bagus tetapi tidak, saya pemain yang sama sahaja tetapi bezanya adalah pengalaman saya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg