England bakal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan menentang seterunya, Croatia, dalam aksi pembukaan Kumpulan L pada 18 Jun.

Kedua-dua pasukan gergasi itu berkongsi sejarah persaingan sengit, terutamanya ketika bertembung di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia, yang menyaksikan Croatia menang 2-1 dalam masa tambahan.

England kemudian menebus kekecewaan itu dengan kemenangan 1-0 di tanah air sendiri semasa kejohanan Euro 2020.

Skuad ‘The Three Lions’ (gelaran bagi England) itu antara pasukan pilihan utama untuk melangkah jauh dalam kejohanan Piala Dunia 2026, bersandarkan rekod tanpa kalah dalam kempen kelayakan serta kebijaksanaan taktikal pengurus berpengalaman mereka, Thomas Tuchel.

Bagaimanapun, Croatia tidak boleh dipandang remeh, dan sudah pun membangunkan reputasi dalam melakar kejutan di luar jangkaan.

Pasukan itu berjaya meraih tempat ketiga di Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Maghribi, dan juga melangkah ke Piala Dunia kali ini dengan keyakinan tinggi hasil rekod pusingan kelayakan yang sempurna.

Siapakah yang bakal muncul pemenang dalam satu lagi pertemuan sengit di Stadium Dallas, Amerika Syarikat, kali ini, atau adakah mereka sekadar akan berkongsi mata?

Pengurus England, Thomas Tuchel.
Pengurus England, Thomas Tuchel. - Foto AFP

The Three Lions melangkah ke Piala Dunia ini dengan skuad agak kukuh.

Memimpin barisan serangan ialah Harry Kane yang menyumbang lapan daripada 22 gol oleh England semasa kempen kelayakan, yang tertinggi dalam pasukan itu.

Penyerang berusia 32 tahun itu kelihatan semakin tajam, yang dibuktikan menerusi gol tandukan beliau ketika mengatasi New Zealand 1-0 dalam perlawanan persahabatan pada 7 Jun.

Penyerang England, Harry Kane, menyumbang lapan daripada 22 gol oleh England semasa kempen kelayakan, iaitu yang tertinggi dalam pasukan itu.
Penyerang England, Harry Kane, menyumbang lapan daripada 22 gol oleh England semasa kempen kelayakan, iaitu yang tertinggi dalam pasukan itu. - Foto AFP

Keberkesanan jentera serangan England digandakan lagi dengan barisan berbakat, termasuk Bukayo Saka, Eberechi Eze, Marcus Rashford, Anthony Gordon, Noni Madueke dan ramai lagi, yang masing-masing menghasilkan prestasi memberangsangkan pada musim lalu.

Di bahagian tengah, Tuchel boleh bergantung kepada Jude Bellingham dan Declan Rice untuk mengawal rentak permainan.

Benteng England juga kelihatan semakin kuat, dengan kehadiran tonggak seperti Reece James, Dan Burn dan John Stones.

Ketangkasan barisan pertahanan England terbukti, apabila skuad itu hanya dibolosi sebanyak dua kali dalam lima perlawanan terakhir.

Walaupun tahap kecergasannya menjadi tanda tanya akibat kecederaan otot Achilles, Bukayo Saka menegaskan kepada agensi berita ESPN pada 15 Jun bahawa beliau kini berada pada tahap terbaik, sama ada dari segi fizikal mahupun mental, menjelang aksi pembuka tirai menentang Croatia.
Walaupun tahap kecergasannya menjadi tanda tanya akibat kecederaan otot Achilles, Bukayo Saka menegaskan kepada agensi berita ESPN pada 15 Jun bahawa beliau kini berada pada tahap terbaik, sama ada dari segi fizikal mahupun mental, menjelang aksi pembuka tirai menentang Croatia. - Foto AFP

Namun, Croatia akan menguji kekuatan England, seperti mana yang dilakukan semasa pertembungan sebelumnya.

Sudah tentu, tumpuan akan diberi kepada pemain tengah veteran, Luka Modric, yang sekali lagi memikul tugas berat untuk mengatur rentak permainan pasukannya.

Ini merupakan penampilan kelimanya di pentas Piala Dunia, dan pengalaman luas itu mampu memacu Croatia melangkah jauh ke dalam kejohanan ini sekali lagi.

Modric, 40 tahun, berjaya menghasilkan prestasi baik dalam musim pertama beliau di AC Milan.

Beberapa kali Modric telah menonjolkan kemahirannya dalam detik-detik penting di peringkat kelab dan negara, menerusi hantaran dan gol yang luar biasa.

Ini merupakan kempen Piala Dunia ketiga bagi Zlatko Dalic selaku ketua jurulatih pasukan Croatia. Croatia muncul naib juara pada Piala Dunia 2018 dan tempat ketiga di edisi kejohanan 2022 di bawah kepimpinan beliau.
Ini merupakan kempen Piala Dunia ketiga bagi Zlatko Dalic selaku ketua jurulatih pasukan Croatia. Croatia muncul naib juara pada Piala Dunia 2018 dan tempat ketiga di edisi kejohanan 2022 di bawah kepimpinan beliau. - Foto REUTERS
Veteran pasukan Croatia, Luka Modric, sekali lagi dijangka menjadi tonggak utama bagi pasukannya untuk menghasilkan satu lagi persembahan yang mengujakan di pentas Piala Dunia. Kali ini dijangka menjadi penampilan terakhir beliau di kejohanan itu.
Veteran pasukan Croatia, Luka Modric, sekali lagi dijangka menjadi tonggak utama bagi pasukannya untuk menghasilkan satu lagi persembahan yang mengujakan di pentas Piala Dunia. Kali ini dijangka menjadi penampilan terakhir beliau di kejohanan itu. - Foto REUTERS

Ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, turut boleh bergantung kepada tonggak seperti Ivan Perisic dan pemain Manchester City, Mateo Kovacic.

Perisic, 37 tahun, melangkah ke Piala Dunia ketiganya setelah memenangi persaingan Liga Belanda Eredivisie bersama PSV Eindhoven, yang menyaksikan beliau menyumbang tujuh gol dan 12 bantuan gol.

Penyerang, Andrej Kramaric, juga sepatutnya diberi perhatian, menyusuli prestasi menjaringkan enam gol sepanjang pusingan kelayakan.

Kehadiran Josko Gvardiol dan Luka Vuskovic di benteng pertahanan juga antara kekuatan pasukan Croatia ini.

Penyerang Croatia, Ivan Perisic, mampu menjadi duri bagi benteng lawan di bahagian sayap kiri.
Penyerang Croatia, Ivan Perisic, mampu menjadi duri bagi benteng lawan di bahagian sayap kiri. - Foto REUTERS

Ramalan Wartawan: England lwn Croatia 2-2

Lantas, England atau Croatia yang menguasai rentak permainan di bahagian tengah dijangka mampu meraih kemenangan.

England akan menyekat kekuatan Croatia dengan mengekang pengaruh Modric dan Kovacic.

Pada masa yang sama, Croatia boleh mengambil kesempatan kelemahan pemain England yang kadangkala hilang tumpuan, seperti yang ditonjolkan semasa mereka ditewaskan Jepun 0-1 dalam perlawanan persahabatan pada Mac lalu.

Croatia juga pastinya berhasrat melabuhkan tirai era generasi emas mereka dengan gemilang, selepas mempamerkan reputasi luar biasa sebagai naib juara edisi 2018 serta tempat ketiga pada edisi 2022.

Berdasarkan rekod sejarah, pertembungan kedua-dua pasukan ini lazimnya sengit, dan Berita Harian (BH) meramalkan satu lagi pertemuan yang tegang.

Jadual perlawanan Piala Dunia 2026 pada 18 Jun (waktu Singapura)

Kumpulan K:

Portugal lwn DR Congo - 1 pagi

Uzbekistan lwn Colombia - 10 pagi

Kumpulan L:

England lwn Croatia - 4 pagi

Ghana lwn Panama - 7 pagi