Jaringan minit akhir pemain gantian England, Ollie Watkins, terhadap Belanda pada 11 Julai memastikan skuad The Three Lions melangkah ke perlawanan akhir kejuaraan Euro 2024.
Pasukan anak buah, Gareth Southgate, itu akan menentang Sepanyol dalam perlawanan akhir pada 3 pagi 15 Julai (waktu Singapura) di Olympiastadion di Berlin, Jerman.
Bekas penyerang England, Gary Lineker, berkata pasukan itu kini berada di “ambang sejarah” selepas mara ke final.
Ia adalah kali pertama pasukan bola sepak lelaki England mara ke peringkat akhir di luar England selepas bermain dalam final Piala Dunia 1966 dan final Euro 2021 di Stadium Wembley.
Pasukan wanita England menjuarai Euro 2022 di negara sendiri.
Pasukan lelaki England tidak pernah menjuarai Kejohanan Eropah, dengan kemenangan Piala Dunia pada 1966 menjadi satu-satunya trofi utamanya, berbanding Sepanyol – juara Eropah sebanyak tiga kali.
“Saya fikir ia sangat penting bagi bola sepak England,” kata Lineker kepada BBC Sport.
Beliau akan membuat liputan perlawanan akhir itu di BBC One.
“Mereka pernah berada di final, mereka berada di final Euro sebelum ini di Wembley, tetapi ia berakhir dengan kekecewaan besar (kalah kepada Italy menerusi sepakan penalti).
“Ini akan menjadi perlawanan sukar, ia cukup sukar, tetapi mereka berada di ambang sejarah. Tiada pasukan bola sepak England pernah menjuarai kejohanan utama di luar negara.”
Jaringan Watkins adalah gol keempat England dalam kejohanan itu yang dijaringkan selepas minit ke-80, termasuk masa tambahan.
“Mereka mempunyai sikap tidak menyerah kalah, sesuatu yang sangat penting. Apabila mereka tidak bermain dengan hebat sekalipun, mereka masih mencapai keputusan baik.
“Dan ada klise bola sepak lama yang mengatakan jika anda boleh menang apabila anda bermain dengan teruk, maka keadaan sebenarnya tidak begitu buruk,” kata Lineker, yang menjaringkan 48 gol dalam 80 perlawanan semasa menyarung jersi pasukan England.
Sepanyol dianggap ramai pemerhati sebagai pasukan cemerlang di Jerman dan merupakan pasukan pilihan untuk mara ke peringkat akhir dan menjadi juara.
Selepas permainan agak perlahan pada mulanya, England bermain dengan lebih rancak dan bersemangat dalam beberapa perlawanan kalah mati.
Kemenangan England ke atas Belanda pada separuh akhir adalah persembahan terbaik pasukan itu dalam kejohanan tersebut setakat ini.
“Saya tidak fikir saya terkejut bagaimana kami melakukannya, kerana kami mempunyai individu-individunya, iaitu pemain bola sepak bertaraf dunia.
“Ya, mereka bermain dengan perlahan pada mulanya, ada sesuatu yang tidak kena, tetapi mereka beransur-ansur bermain dengan lebih baik dalam perlawanan itu. Ia lebih baik begitu,” ujar Lineker.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg