Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang Southgate, bidas pengkritik dan cipta sejarah

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Gareth Southgate
Setelah hebat dikritik secara tidak adil, Gareth Southgate, boleh menutup mulut para pengkritiknya dan mencipta sejarah bagi England. - Foto AFP

Gareth Southgate dan pasukan England barangkali adalah pasukan yang paling teruk menerima kritikan sepanjang kejohanan Euro 2024 di Jerman.

Meskipun demikian, pasukan Three Lions itu kini mendapati diri mereka di ambang mencipta sejarah dengan memenangi Kejohanan Eropah pertamanya.

Malah, sekiranya England berjaya, ia hanyalah kejuaraan bola sepak utamanya yang kedua, sejak memenangi Piala Dunia pada 1966.

Dari satu sudut, kritikan yang diterima England dan Southgate terutamanya boleh difahami.

Sebagai antara pasukan pilihan dengan barisan pemain bintang yang menyerlah minggu demi minggu dalam Liga Perdana England, yang diakui ramai sebagai liga paling kompetitif dunia, persembahan hambar mereka mengundang rasa kurang puas hati.

Kritikan meluap-luap ditujukan ke arah Southgate.

Malah, setelah seri 0-0 dengan Slovakia dalam perlawanan kumpulan terakhir yang menjamin tempat England ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan, Southgate menjadi mangsa seorang penyokong yang membaling gelas plastik berisi arak ke arahnya.

“Semua orang mahu disayangi, lebih-lebih lagi apabila anda seorang yang amat bangga menjadi warga Inggeris, dan anda tidak mendapatkan penerimaan daripada penyokong... ia amat sukar,” ujar Southgate.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan terhadapnya dalam sidang media selepas England menewaskan Belanda 2-1 untuk melangkah ke perlawanan akhir awal pagi 15 Julai (3 pagi waktu Singapura).

Southgate telah memberi bayangan bahawa kejohanan di Jerman itu barangkali yang terakhir bagi beliau.

Bagi saya, rekod Southgate sebagai pengurus England tidak dapat dipertikai.

Di bawah bimbingan beliau, pasukan Three Lions itu berjaya melayakkan diri ke dua perlawanan akhir, satu perlawanan separuh akhir dan satu suku akhir dalam empat pertandingan bola sepak utama.

Perkara ini yang ditekankan koresponden bola sepak, Sky Sports, Saveh Kolhekol, yang menyifatkan Southgate sebagai pengurus terbaik dalam sejarah pasukan bola sepak kebangsaan England.

Jika dinilai pasukan England dalam kejohanan Euro 2024, Southgate telah berjaya membentuk sebuah pasukan yang berdaya tahan dan berkesan.

Iya, bola sepak adalah hiburan dan penonton berhak rasa terhibur.

Namun, berbanding pasukan di peringkat kelab yang bertanding dalam liga yang panjang, dalam bola sepak pertandingan di peringkat negara dengan tujuh perlawanan menjanjikan kejayaan, matlamat utama adalah untuk melayakkan diri ke perlawanan seterusnya, dan akhir sekali memenangi perlawanan akhir sebagai juara.

England kini berada dalam kedudukan tersebut.

Meskipun pemain talisman (azimat) mereka, Harry Kane, gagal menunjukkan tahap prestasi seperti biasa, beliau telah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan sejauh ini.

Bintang muda, Jude Bellingham, pula tidak menunjukkan prestasi yang menjadikannya Pemain Terbaik La-Liga dan bintang Real Madrid juara Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, beliau telah menjaringkan dua gol, termasuk gol penyamaan, bicycle kick, pada minit terakhir perlawanan yang memastikan England tidak tersingkir dalam perlawanan suku akhir.

Meskipun ramai pengulas bola sepak mengatakan kelemahan England adalah di bahagian pertahanan, namun barisan pemain muda yang dibawa Southgate ke Jerman telah membuktikan mereka bersedia memikul tanggungjawab besar itu, dan selepas enam perlawanan, England hanya melepaskan tiga gol.

Berbeza daripada England, pesaing mereka dalam perlawanan final di Stadium Olimpik, Berlin, Sepanyol, mendapat pujian meluas atas persembahan mereka yang menarik perhatian sepanjang kejohanan.

Sepanyol mempunyai corak permainan yang menarik, dengan pemain sayap, Nico Williams, dan bintang muda berusia 17 tahun, Lamine Yamal, begitu menyerlah.

Di bawah pimpinan jurulatih Luis de la Fuente, penyokong Sepanyol kini yakin era kegemilangan yang mereka nikmati antara 2008 dengan 2012 apabila mereka memenangi tiga kejohanan berturut-turut – dua Piala Eropah dan satu Piala Dunia – akan kembali.

Saya akur, berdasarkan persembahan mereka, Sepanyol melangkah ke final sebagai pasukan pilihan.

Namun, semangat Southgate untuk menyangkal pengkritiknya menimbulkan keyakinan bahawa 2024 adalah tahun bagi England.

RAMALAN SAYA

Sepanyol 1 England 2

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg