NEW YORK: Pemain pertahanan England, Jarell Quansah, digantung dua perlawanan, susulan kad merah yang diterimanya ketika menentang Mexico.

Quansah dilayangkan kad merah pada minit ke-54 dalam kemenangan 3-2 England, selepas melakukan terjahan tinggi ke atas Jesus Gallardo.

Kesalahan itu dianggap sebagai kekasaran serius, menyebabkan pemain Bayer Leverkusen itu digantung buat satu lagi perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), selain penggantungan bagi satu perlawanan secara automatik.

Bekas pemain Liverpool berusia 23 tahun itu, akan terlepas aksi suku akhir menentang Norway pada 11 Julai, serta kemungkinan aksi separuh akhir menentang Argentina atau Switzerland, sekiranya England mara.

Namun, Quansah akan kembali beraksi sekiranya England mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.

Persatuan Bola Sepak (FA) England sebelum ini mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan.

Namun, peraturan kejohanan tidak menyediakan saluran untuk mencabar keputusan penggantungan tersebut.

Namun, BBC Sport melaporkan pihak FA telah mengemukakan bantahan tegas kepada Fifa berhubung proses semakan Video Pembantu Pengadil (VAR) yang membawa kepada keputusan kad merah itu.

England berhujah pengadil terlebih dahulu ditunjukkan ulang tayang gerak perlahan, sebelum melihat insiden tersebut pada kelajuan sebenar di monitor tepi padang, yang menurut mereka berpotensi mewujudkan ‘hasil kurang adil’.

Dalam Liga Perdana England (EPL), pegawai VAR lazimnya akan menayangkan insiden pada kelajuan sebenar terlebih dahulu, sebelum ulang tayang gerak perlahan, walaupun amalan itu tidak digunakan secara meluas di liga lain.

Penggantungan Quansah menambah cabaran buat ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, yang kini berdepan kekurangan pilihan di posisi bek kanan.

Quansah bermain menentang Mexico ketika Reece James masih mengalami kecederaan hamstring.

Manakala Djed Spence hanya dimainkan sebagai pemain gantian, selepas mengalami masalah kecergasan ringan.

Namun, Tuchel berkata beliau menjangkakan James akan kembali cergas untuk beraksi menentang Norway.

Penolong jurulatih England, Anthony Barry, menyifatkan penggantungan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan.

Beliau berkata: “Ia mengecewakan, bukan kerana keputusannya, tetapi kerana kami kehilangan seorang pemain yang berkualiti.

“Beliau mempamerkan prestasi cemerlang dalam latihan dan dengan beberapa pemain di posisi itu mengalami kecederaan, peluang seolah-olah terbuka buat Jarell.

“Namun keputusan telah dibuat. Kami tidak mahu membuang tenaga memikirkannya lagi.

“Kami kehilangan seorang pemain yang baik untuk dua perlawanan, tetapi ini hanyalah satu lagi cabaran yang perlu kami atasi.”

Pemain sayap, Bukayo Saka turut menyifatkan hukuman itu sebagai sesuatu yang “amat mengecewakan” buat pasukan dan Quansah.

“Apa pun keputusannya, kami tidak berada di sini untuk merungut.

“Kami perlu menyesuaikan diri dan memilih pasukan yang mampu menewaskan Norway,” jelas beliau.

Fifa turut mengumumkan pengadil dari Perancis, Clément Turpin, yang sebelum ini mengendalikan kemenangan 4-2 England ke atas Croatia, akan mengadili perlawanan suku akhir menentang Norway. – Agensi berita.