Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan pilihan Sepanyol bakal diuji jentera serangan Belgium
Pasukan pilihan Sepanyol bakal diuji jentera serangan Belgium
Dua pasukan dengan prestasi hebat bakal bertemu di suku akhir
Pasukan pilihan Sepanyol bakal diuji jentera serangan Belgium
Dua pasukan yang dibarisi pemain bertaraf dunia bakal mencuri tumpuan apabila pilihan utama kejohanan, Sepanyol, berdepan Belgium dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles pada 11 Julai.
Skuad kendalian Luis de la Fuente melangkah ke kelompok lapan terbaik dengan reputasi yang semakin menggerunkan.
Bukan sahaja belum tewas sepanjang kejohanan, malah Sepanyol turut mempamerkan disiplin taktikal dan kekuatan pertahanan yang menjadikan mereka antara pasukan paling sukar ditembusi setakat ini.
Mereka merupakan satu-satunya pasukan yang belum dibolosi sepanjang kempen Piala Dunia mereka setakat ini.
Menanti mereka pula ialah Belgium yang jentera serangan mereka mula kelihatan sangat tajam dan berbisa.
Selepas mengharungi peringkat kumpulan dengan prestasi turun naik, Belgium mempamerkan prestasi terbaik mereka apabila membelasah Amerika Syarikat 4-1 pada pusingan 16 terbaik untuk menghidupkan semula harapan memburu kejuaraan dunia pertama mereka.
Namun, mereka kini akan berdepan dengan pasukan bimbingan De la Fuente, yang tampil sebagai sebuah pasukan yang sukar dicari kelemahannya.
Mereka menyingkirkan antara pesaing utama kejohanan, Portugal, menerusi kemenangan dramatik 1-0 hasil jaringan lewat Mikel Merino, sekali gus meneruskan rekod tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir kejohanan.
Lebih mengagumkan, Sepanyol kini berada dalam rentetan 35 perlawanan tanpa kalah di bawah De la Fuente.
Sudah tentu, perhatian tertumpu kepada pemain bintang berusia 18 tahun, Lamine Yamal.
Namun, penyerang Mikel Oyarzabal yang menjadi sumber utama jaringan Sepanyol. Beliau bijak memanfaatkan ruang yang dibuka oleh pemain seperti Yamal.
“Tetapi jika anda bermain di posisi yang lebih tinggi di atas padang, dan terutamanya jika anda seorang penyerang seperti saya, segalanya bergantung kepada beberapa detik sahaja,” kata Oyarzabal.
Beliau membuktikan keberkesanannya dalam memanfaatkan detik-detik itu.
Penyerang Real Sociedad berusia 29 tahun itu menjaringkan jumlah jaringan terbanyak untuk pasukannya, dengan empat gol.
Belgium pula tiba dengan keyakinan yang semakin meningkat.
Charles De Ketelaere muncul sebagai antara pemain paling menyerlah apabila meledak dua gol pada pusingan 16 terbaik.
Pemain Atalanta itu kini semakin matang dan mampu menjadi pembeza apabila diberikan ruang di kawasan serangan.
Walaupun Romelu Lukaku tidak lagi menjadi pilihan utama dalam kesebelasan, penyerang berpengalaman itu terus membuktikan nilainya setiap kali dibawa masuk daripada bangku simpanan.
Mungkin gabungan kededua pemain ini diperlukan untuk melepasi benteng pertahanan teguh Sepanyol.
Sekiranya Sepanyol berjaya mengekalkan disiplin bertahan yang dipamerkan sepanjang kejohanan, Belgium mungkin berdepan tugas sukar untuk menghasilkan kejutan.
Ramalan wartawan: Sepanyol 2-0 Belgium
