Setelah berjaya melepasi ujian pertama dalam perjalanan mereka menuju kegemilangan dunia, England boleh mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 dengan satu lagi perlawanan.

Mereka akan menentang Ghana dalam aksi Kumpulan L pada 24 Jun di Stadium Gillette.

Pasukan kendalian Thomas Tuchel berjaya mengharungi beberapa cabaran sebelum mencatat kemenangan 4-2 ke atas Croatia dalam perlawanan pembukaan mereka pada 18 Jun.

Namun beliau tidak memandang rendah kebolehan Ghana untuk melakukan kejutan.

“Ghana sentiasa melahirkan pemain berbakat, sering melakar kejutan dan mempunyai sejarah yang hebat dalam bola sepak Piala Dunia. Sesiapa pun tidak boleh dipandang rendah,” kata beliau.

Ghana juga mampu menjamin kedudukan dua tempat teratas Kumpulan L selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Panama pada 18 Jun.

Buat kali pertama selepas sekian lama, penyokong England mempunyai sebab untuk rasa optimis bahawa slogan ‘It’s Coming Home’ mungkin bukan sekadar harapan kosong.

Kemenangan ke atas Croatia bukan sahaja memberikan tiga mata penting, malah menunjukkan sisi menyerang England yang lebih berani di bawah Tuchel.

Walaupun masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, terutama di bahagian pertahanan, pendekatan agresif yang dibawa pengurus dari Jerman itu jelas memberikan kesan positif.

Harry Kane sekali lagi membuktikan statusnya sebagai penyerang utama England, manakala Jude Bellingham terus menyerlah sebagai pemain yang mampu mengubah rentak perlawanan.

Statistik 20 percubaan dari dalam kotak penalti ketika menentang Croatia menjadi gambaran jelas betapa agresifnya England dalam mencari gol.

Semangat berani menyerang yang dicetus oleh Tuchel didedahkan Kane.

“Beliau berkata ‘Apakah perkara paling buruk yang boleh berlaku? Tunjukkan kepada dunia kemampuan sebenar kita’,” kata Kane selepas perlawanan menentang Croatia.

“Kami turun pada separuh masa kedua dengan penuh tenaga sehingga pihak lawan gagal menandingi kami.”

Ia juga menunjukkan keyakinan tinggi yang sedang dibina oleh Tuchel dalam kalangan pemainnya.

Namun, kemenangan tersebut tidak berlaku tanpa beberapa tanda amaran.

England dibolosi dua kali dan terdapat beberapa detik apabila barisan pertahanan kelihatan goyah selepas diasak.

John Stones dan Ezri Konsa khususnya berdepan kritikan selepas gagal mengawal beberapa situasi berbahaya yang membawa kepada jaringan Croatia.

Tuchel kini berdepan keputusan penting sama ada mengekalkan kombinasi pertahanan yang sama atau memberi peluang kepada Marc Guehi untuk memperkukuhkan benteng pasukan.

Selain itu, kebimbangan turut menyelubungi kem England apabila Bukayo Saka masih belum kembali menjalani latihan penuh selepas mengalami masalah Achilles.

Ketajaman serta keupayaan kapten England, Harry Kane (kiri), untuk membantu jentera serangan menjadi senjata utama yang perlu dirantai oleh benteng pertahanan Ghana pada 24 Jun.
Ketajaman serta keupayaan kapten England, Harry Kane (kiri), untuk membantu jentera serangan menjadi senjata utama yang perlu dirantai oleh benteng pertahanan Ghana pada 24 Jun. - Foto AFP

Tumpuan utama England sekali lagi terarah kepada Kane.

Penyerang berusia 32 tahun itu terus membuktikan ketajamannya di pentas antarabangsa dan kini berada dalam kelompok penjaring paling prolifik dalam sejarah negaranya.

Selain ketajaman beliau di depan gol, kemampuan Kane untuk turun mengatur serangan menjadikannya ancaman yang sukar dikawal pertahanan lawan.

Jika Kane menjadi penjaring utama England, Jude Bellingham pula adalah enjin yang menggerakkan pasukan.

Bintang Real Madrid itu semakin matang sebagai pemain tengah serba boleh yang mampu mengawal tempo permainan, memecah benteng lawan menerusi hantaran kreatif dan turut menyumbang gol.

Di kem Ghana, keyakinan turut meningkat selepas mereka membuka kempen dengan kemenangan tipis ke atas Panama.

Walaupun hanya memperoleh gol kemenangan pada minit-minit akhir menerusi Caleb Yirenkyi, kejayaan itu cukup untuk meletakkan Ghana dalam kedudukan baik bagi memburu kemaraan pertama ke pusingan kalah mati sejak 2010.

Malah, kemenangan itu juga menandakan kali pertama Ghana memenangi perlawanan pembukaan Piala Dunia sejak kejohanan di Afrika Selatan 16 tahun lalu.

Namun jika ada satu perkara yang membimbangkan jurulatih, Carlos Queiroz, ia adalah ketumpulan jentera serangan mereka.

Ghana mengambil masa lebih 90 minit untuk memecahkan kebuntuan ketika menentang Panama dan gagal menghasilkan banyak peluang sepanjang perlawanan.

Situasi itu mungkin menjadi masalah besar apabila berdepan pasukan yang memiliki mutu individu seperti England.

Tonggak tengah Ghana, Thomas Partey (tengah), bakal memikul tugas berat di Stadium Gillette untuk mengganggu rancangan dan menyekat kreativiti barisan bintang muda England selepas terlepas aksi pertama akibat isu visa.
Tonggak tengah Ghana, Thomas Partey (tengah), bakal memikul tugas berat di Stadium Gillette untuk mengganggu rancangan dan menyekat kreativiti barisan bintang muda England selepas terlepas aksi pertama akibat isu visa. - Foto REUTERS

Tumpuan utama Ghana sudah tentu terarah kepada Thomas Partey.

Setelah terpaksa terlepas aksi pertama menentang Panama ekoran masalah dokumentasi visa, tonggak tengah itu dijangka kembali cergas untuk mengemudi jentera tengah pasukan.

Tugas berat kini menanti beliau di Stadium Gillette.

Partey bakal menggalas misi kritikal untuk ‘meruntuhkan’ kreativiti England, menyekat hantaran berbahaya Jude Bellingham dan menghalang ancaman Kane daripada terus bermaharajalela.

Bagi England pula, kemenangan akan memastikan tempat mereka di pusingan kalah mati dan membolehkan Tuchel menguruskan skuad dengan lebih tenang menjelang perlawanan terakhir kumpulan.

Ramalan wartawan: England 2-0 Ghana

Jadual perlawanan pada 24 Jun

Kumpulan L

England lawan Ghana (4 pagi)

Panama lawan Croatia (7 pagi)

Kumpulan K

Portugal lawan Uzbekistan (1 pagi)

Colombia lawan DR Congo (10 pagi)