Topik diikuti
Pergi ke BHkuArteta minta penyokong tidak bimbang tentang masa depan bersama Arsenal
Pengurus asal Sepanyol yakin kontrak baru ditandatangani susulan kejayaan bawa kelab juarai EPL
LONDON: Mikel Arteta menegaskan penyokong Arsenal tidak perlu bimbang mengenai masa depannya bersama juara Liga Perdana England (EPL) itu meskipun beliau memasuki tahun terakhir kontraknya kini.
Arteta, 44 tahun, menamatkan penantian 22 tahun Arsenal untuk menjuarai EPL pada Mei lalu dan dijangka menandatangani kontrak baru sebagai ganjaran atas kejayaan bersejarah itu.
Arsenal bakal memulakan kempen 2026/2027 menentang Manchester City dalam aksi perlawanan Community Shield pada 16 Ogos, dengan petanda Arteta semakin hampir memeterai kontrak baru.
Namun, Arteta yang menyertai Arsenal pada 2019 dan kali terakhir memperbaharui kontraknya pada 2024, yakin kontrak baru bakal ditandatangani.
“Mereka tidak perlu bimbang kerana saya mahu berada di sini.
“Saya amat gembira dan bersyukur dapat bekerjasama dengan mereka. Apabila berkesempatan, kami akan menyelesaikannya,” jelasnya pada 14 Ogos.
Memberi bayangan langkah perpindahan pemain Arsenal menjadi keutamaannya, Arteta menggesa penyokong supaya tidak bimbang.
“Saya rasa sentiasa ada perkara lain yang perlu diutamakan. Semua pihak yakin tempoh kontrak tidak menjadi isu.
“Hasrat saya sememangnya untuk kekal di sini dan saya sangat gembira. Saya rasa pihak kelab juga berpendirian sama. Sebab itu semuanya berjalan secara semula jadi,” ujarnya.
Arsenal memperkuat skuad juara mereka dengan membawa masuk pemain tengah Newcastle, Bruno Guimaraes dan penyerang Club Brugge, Christos Tzolis.
Mereka turut mengekalkan pinjaman pemain pertahanan dari Bayer Leverkusen, Piero Hincapie dan mendapatkan Illan Meslier secara percuma.
Usaha Arteta mendapatkan pemain sayap Aston Villa, Morgan Rogers, dan penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, gagal dalam jendela perpindahan yang menyaksikan Manchester City, Tottenham dan Chelsea masing-masing membelanjakan £100 juta ($173.1 juta) untuk seorang pemain.
Namun, Arteta tidak bimbang Arsenal akan kehilangan kejuaraan kepada pencabar yang berbelanja besar.
“Saya sangat gembira dengan skuad, pemain dan cita-cita kelab,” kata Arteta, yang turut dikaitkan dengan pemain pertahanan Ezri Konsa dari Villa dan Jarell Quansah dari Leverkusen untuk memperkuat benteng Arsenal.
“Tidak ada persoalan mengenai itu dan tindakan kami membuktikannya, tetapi kami perlu melakukannya dengan cara sendiri.
“Kami mempunyai kekuatan besar, tetapi perlu sedar ada sudut tertentu yang kami tidak memiliki kelebihan atau struktur seperti kelab lain.
“Kami perlu mengikut cara sendiri dan melakukan apa yang kami percaya betul untuk memberi peluang terbaik bersaing dalam setiap kejohanan,” ujarnya. – Agensi berita.
