Topik diikuti
Pergi ke BHkuErik ten Hag: Ronaldo kecewakan Man U semasa di Old Trafford
Erik ten Hag: Ronaldo kecewakan Man U semasa di Old Trafford
LONDON: Bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag, menyifatkan tahap kecergasan dan persediaan Cristiano Ronaldo yang hambar sebagai punca utama bintang penyerang itu mengalami kesukaran sepanjang tempoh keduanya di Old Trafford.
Ten Hag turut menambah bahawa pemain antarabangsa Portugal berkenaan telah “mengecewakan pasukan”.
Ronaldo pernah memenangi tiga gelaran Liga Perdana di bawah bimbingan bekas pengurus, Alex Ferguson, sebelum berpindah dari United ke Real Madrid pada 2009, dan kembali semula ke Old Trafford pada 2021.
Namun, keadaan berubah di bawah kendalian pengurus dari Belanda, ten Hag, yang menyaksikan Ronaldo bergelut pada musim 2022-23 apabila sekadar menjaringkan satu gol dalam 10 penampilan liga sebelum meninggalkan kelab itu pada November 2022.
“Beliau mengecewakan pasukan, dan beliau mengecewakan saya, kerana kami telah merancang (taktik dan strategi permainan) bersama beliau,” kata ten Hag kepada The Athletic dalam satu wawancara yang diterbitkan pada 20 Oktober.
Pemain yang kini berusia 41 tahun itu beraksi untuk kelab Al-Nassr dalam Liga Pro Arab Saudi.
Ten Hag, yang membawa United menduduki tempat ketiga liga pada musim 2022-23, berkata beliau pernah bersemuka dengan Ronaldo bagi membincangkan prestasi pemain tersebut.
“Banyak kali saya katakan, ‘Ronnie, semua (pemain) sedia bekerja keras untuk bantu tempatkan kamu di posisi terbaik, tetapi jika kamu sendiri tidak mampu masuk ke dalam kotak penalti, kamu tidak akan dapat jaringkan gol’, Beliau tidak mampu melakukannya,” kata ten Hag.
Ketua jurulatih berusia 56 tahun itu mengambil alih peranan bekas pengurus sementara, Ralf Rangnick, pada Mei 2022 dan kemudian dipecat pada Oktober 2024.
“Adalah satu tanggapan yang salah untuk mengatakan bahawa saya menjangkakan beliau memberi tekanan bertubi-tubi kepada lawan hingga beliau keletihan. Sebaliknya beliau sendiri yang tidak mampu.
“Beliau tidak berlari sama ada ketika menguasai bola mahupun tanpa bola. Puncanya adalah kerana beliau tidak membuat persediaan.”
Selepas meninggalkan United, Ronaldo menyertai Al-Nassr pada Disember 2022 dan berjaya menjaringkan 14 gol liga dalam 16 penampilan sebelum musim berakhir.
“Tidak dinafikan beliau merupakan salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Saya amat menghormati beliau. Namun pada ketika itu, sebagai pengurus, saya perlu membuat keputusan rasional dan mengekalkan pemain yang saya yakin terhadap keupayaan mereka,” kata ten Hag.
Ronaldo digantung selama 30 hari dan dikenakan denda sebanyak 255 euro ($370) oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) pada 19 Oktober selepas beliau meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan menyusuli perselisihan faham dengan jurulatih Jorge Jesus.
Kapten Portugal yang juga penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Portugal dengan 146 gol berkenaan meninggalkan skuad Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada September selepas hanya berada di bangku simpanan ketika menentang Norway.
Aksi beliau bersama Al-Nassr tetap diteruskan seperti biasa selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi saingan Liga Pro Arab Saudi pada 20 Oktober menentang Neom SC.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Al-Nassr, hasil jaringan penyerang asal Portugal, Joao Felix, pada minit ke-61.
Ronaldo kini hanya memerlukan 19 lagi gol untuk mencapai rekod 1,000 gol sepanjang kerjayanya.
Satu-satunya tugas kejurulatihan ten Hag selepas meninggalkan United adalah bersama kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, sebelum beliau dipecat selepas mengendalikan tiga perlawanan pada September 2025.
Beliau kini menjawat jawatan Pengarah Teknikal kelab Eredivisie Belanda, Twente. – Reuters.