Topik diikuti
Pergi ke BHkuRonaldo tuduh jurulatih, Jorge Jesus, mungkir janji
Ronaldo tuduh jurulatih, Jorge Jesus, mungkir janji
LISBON: Cristiano Ronaldo menuduh ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus, telah dua kali memungkiri janjinya.
Ronaldo mendakwa kegagalan mencapai persetujuan untuk menjelaskan secara terbuka sebab beliau tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Norway, telah mendorongnya meninggalkan kem pasukan.
Namun, Ronaldo menegaskan bahawa beliau sedia beraksi semula selepas menjalani sebarang hukuman atas tindakannya itu.
Dalam satu kenyataan panjang, pemain berusia 41 tahun itu memberi penjelasan berhubung perbalahan yang membawa kepada tindakannya meninggalkan Copenhagen pada 30 September, sebelum perlawanan Liga Negara-Negara menentang Denmark pada 1 Oktober.
Menurut Ronaldo, Jesus sebelum ini bersetuju dengan rancangan untuk merehatkannya pada perlawanan menentang Norway dan Denmark bagi menguruskan tahap kecergasannya.
Namun, pada hari perlawanan menentang Norway pada 27 September, jurulatih itu memberitahunya bahawa beliau bakal bermain selama 30 minit.
“Semua orang tahu apa yang berlaku selepas itu. Saya memanaskan badan sejak rehat separuh masa, menyaksikan minit demi minit berlalu, namun tidak dipanggil (ke padang),” kata Ronaldo.
“Pengurus berkenaan telah memungkiri janjinya.”
Kapten yang juga penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Portugal itu berkata pertemuan susulan dengan Jesus – yang turut dihadiri pengarah sukan kelabnya, Al-Nassr, Simao Coutinho – mencapai persetujuan bahawa jurulatih itu akan memberi penjelasan dalam sidang media berikutnya.
Menurut Ronaldo, satu dokumen lapan perkara telah disediakan yang menyatakan beliau tidak pernah mendesak untuk diberi minit permainan, sentiasa menghormati keputusan Jesus, dan tindakan jurulatih itu menyuruhnya memanaskan badan tanpa memasukkannya ke padang adalah satu kesilapan.
Ronaldo menambah bahawa nota persetujuan itu tidak memerlukan Jesus memohon maaf kepadanya, namun kenyataan terbuka jurulatih itu langsung tidak menggambarkan apa yang dibincangkan secara peribadi.
“Ini kali kedua beliau memungkiri janjinya kepada saya,” kata Ronaldo.
“Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kem latihan tanpa menunggu lebih banyak janji dimungkiri lagi.”
Kenyataan tersebut memberikan penjelasan dari sudut pandang Ronaldo.
Namun selepas kemenangan Portugal ke atas Norway pada 4 Oktober, Jesus menafikan pernah membuat sebarang perjanjian dengan pemain itu, sambil tetap membuka ruang untuk Ronaldo kembali menyertai skuad kebangsaan. – Reuters.