Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Erling Haaland pamer sentuhan berbisa

Bintang Man City kini dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Filippo Inzaghi
Oct 08, 2022 | 05:30 AM



MANCHESTER: Ia mungkin pertempuran 'derby' Manchester tetapi bagi Erling Haaland perlawanan tersebut bagaikan seperti perlawanan lain.



Dan seperti perlawanan lain sejak beliau menyertai Manchester City, Haaland terus memukau dan terus memecahkan rekod Liga Perdana England (EPL).



Tiga jaringannya ketika menewaskan Manchester United 6-3 minggu lalu di Stadium Etihad memastikan beliau menjadi pemain pertama untuk menjaringkan hatrik dalam tiga perlawanan liga EPL berturut-turut.



Pemain berusia 22 tahun itu sungguh berbisa di hadapan gawang lawan dan terbiasa menjaringkan gol - serta menjaringkan hatrik.



Bekas penjaga gawang United dan City, Peter Schmeichel memberitahu BBC Radio 5 Live bahawa jika peminat menyaksikan Haaland mereka akan "melihat pemain yang amat berbeza" seperti "penyerang terbaik yang memiliki semuanya".



"Perkara yang penting bagi penyerang yang baik ialah kesabarannya. Saya bermain menentang beberapa penyerang terbaik dan apabila mereka hilang dari pandangan, itulah waktu apabila anda benar-benar perlu menumpukan perhatian," tambah Schmeichel.



"Pemain seperti Cristiano Ronaldo, Filippo Inzaghi, yang merupakan antara penyerang terbaik dunia - mereka hilang kemudian tiba-tiba mereka mendapat peluang.



"Apabila anda melihat Haaland, anda melihat pemain yang berbeza. Jaringan yang seperti Zlatan (Ibrahimovic), dan Ronaldo. Anda melihat semua penyerang terbaik ini dalam dirinya.



"Itulah sebabnya beliau sangat berbahaya. Beliau mempunyai peluang untuk menyaksikan ramai penyerang terbaik dan mereka semua digabung menjadi satu pemain."



Selepas perlawanan menentang United, Haaland kini mempunyai 14 gol daripada lapan perlawanan EPL - dua kali ganda jumlah gol yang dijaringkan penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane yang menduduki tempat kedua dalam senarai penjaring terbanyak liga.



JUMLAH JARINGANNYA AMAT MENGGERUNKAN



"Ya, tidak begitu teruk", itulah cara Haaland membalas pertanyaan wartawan Sky Sports tentang prestasinya dalam perlawanan derby itu.



"Kami menjaringkan enam gol. Apa yang boleh saya katakan? Untuk menang di padang sendiri, jaringkan enam gol, ia sesuatu yang bagus.



"Akhirnya, ia perkara yang menakjubkan. Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan," tambahnya.



Sejak menyertai City musim ini, perjalanan Haaland agak lancar dan pengurus pasukan, Pep Guardiola berkata statistik jaringan penyerang barunya itu amat "menggerunkan".



"Angka tersebut mencerminkan kehebatannya. Beliau pernah melakukannya sebelum ini.



"Ia bukan sekadar cara kami. Sentiasa kami cuba membantunya dalam persekitaran kami," kata Guardiola.



"Kami mempunyai perasaan yang luar biasa bahawa beliau sentiasa kelihatan 'lapar' (untuk menjaringkan gol) dan sangat kompetitif. Angka tersebut menggerunkan."



Hatrik terbaru Haaland ini menjadikan jumlah jaringan kepada 17 gol dan tiga 'assist' dalam 11 perlawanan terakhirnya.



Sembilan golnya dalam lima perlawanan pertamanya menjadikan beliau penjaring terbanyak liga pada Ogos lalu. Ia melebihi gol yang dijaringkan pada Ogos di tahun-tahun sebelum ini.



Penyerang Norway itu juga merupakan pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat perlawanan pertama di tempat lawan dalam EPL dan beliau merupakan pemain termuda yang menjaringkan 25 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.



"Saya tidak pernah menjaringkan tiga hatrik dalam tiga perlawanan di tempat sendiri sebelum ini. Ia sesuatu yang sangat menakjubkan," kata Haaland kepada BBC Radio 5 Live.



"Keyakinan merupakan satu perkara yang baik. Selepas tewas dalam Perisai Masyarakat menentang Liverpool, saya masih mempunyai keyakinan.



"Memang baik perlawanan semua ini berlaku dan saya tahu saya hanya perlu bersedia.



"Saya merasakan beberapa hari sebelum perlawanan derby Manchester ini bahawa sesuatu yang istimewa akan berlaku dan ia benar-benar berlaku, jadi ia sesuatu yang sangat baik. Ini merupakan perlawanan yang saya benar-benar mahu terlibat."



APAKAH REKOD YANG MAMPU DIPECAH HAALAND MUSIM INI?



Dengan kadar Haaland menjaringkan gol, banyak rekod EPL yang boleh dipecahkannya.



Dengan tiga hatrik sepanjang musim ini, Haaland memerlukan sembilan lagi hatrik untuk memecahkan rekod 12 hatrik yang dipegang bekas penyerang City, Sergio Aguero, yang dikecapinya antara musim 2011-12 dan 2020-21.



Penyerang Tottenham, Kane memegang rekod gol terbanyak EPL dalam tempoh setahun dengan 39 gol pada 2017.



Jika Haaland mengekalkan kadar jaringan semasanya - sekiranya beliau bermain dalam setiap perlawanan liga - beliau bahkan akan memecahkan rekod liga utama England iaitu 60 gol dalam semusim, yang dijaringkan oleh Dixie Dean dari Everton pada 1927-28.



HAALAND AKAN MEMECAHKAN REKOD SHEARER



Bekas penyerang Chelsea Chris Sutton menyifatkan Haaland sebagai "pemain yang aneh".



Beliau juga membandingkan Haaland dengan bekas rakan penyerang Blackburn Rovers, Alan Shearer, yang masih memegang rekod gol terbanyak yang dijaringkan dalam EPL iaitu 260 gol.



"Jika Haaland terus kekal dalam liga ini, rekod Shearer akan dipecahkan. Saya tidak pasti Harry Kane mampu menandinginya. Pemain ini (Haaland) amat luar biasa," kata Sutton.



Bekas pemain pertahanan England, Jonathan Woodgate berkata beliau "tidak pernah melihat penyerang tengah yang klinikal seperti Haaland" dan pemain itu "mempunyai segala-galanya".



"Beliau mendapat ruang di dalam kotak pasukan lawan dan beliau sangat bahaya apabila beliau masuk ke kawasan lawan.



"Bakat yang sangat luar biasa. Saya tidak nampak kelemahan sebenar pada permainannya," kata Woodgate di BBC Radio 5 Live.



"Jika anda mahu berlawan dengannya, beliau akan berlawan dengan anda. Jika anda mahu mencuba dan berlumba dengannya, beliau akan berlumba dengan anda dan menewaskan anda.



"Beliau mempunyai segala-galanya yang anda mungkin inginkan dalam penyerang tengah.



"Jika Manchester City memiliki Haaland musim lalu, mereka pasti akan memenangi Liga Juara-Juara." - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >