Ketika pemilik pasukan Nottingham Forest, Evangelos Marinakis, melangkah masuk ke padang stadium City Ground, ia memberi gambaran jelas kepada semua bahawa beliau masih menguasai arah tuju kelab tersebut.
Selepas keputusan seri 2-2 menentang Leicester pada 11 Mei, dan dengan harapan Nottingham Forest untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara kelihatan semakin pudar, hartawan syarikat perkapalan Greece itu mengadakan satu perbincangan ringkas tetapi hangat dan terbuka bersama ketua jurulatih pasukan itu, Nuno Espirito Santo.
Namun, Marinakis, tidak lagi menjadi “orang yang mempunyai kawalan penting” terhadap Forest, selepas beliau menyerahkan kepentingannya dalam kelab itu kepada sebuah amanah buta.
Dalam perjanjian amanah buta, pemilik aset menyerahkan kawalan ke atas aset yang dimilikinya kepada pihak ketiga.
Forest masih berpeluang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, dan itu mungkin menjadi penyebab pengaruh beliau dalam Forest berkurangan.
Olympiakos – satu lagi kelab milik Marinakis – telah mendapat tempat dalam fasa pertandingan Liga Juara-Juara 2025-26, dan menurut peraturan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), sesebuah kelab yang mempunyai pemilik yang sama, tidak dibenarkan bersaing dalam pertandingan Eropah yang sama.
Tiada tindakan rasmi dijangka dikenakan oleh pihak Liga Perdana, susulan kejadian yang berlaku di padang pada 11 Mei, kerana ia tidak dianggap sebagai satu perkara serius.
Secara dalaman bagi pihak Forest, perkara tersebut dianggap selesai.
Beberapa sumber memberitahu BBC bahawa semua pihak kini melangkah ke depan, dan ingin meraikan kejayaan mengembalikan kelab tersebut ke pentas Eropah buat kali pertama sejak 1996.
Ini kerana ia dijamin sekurang-kurangnya mendapat tempat dalam Liga Persidangan Uefa.
Dalam satu kenyataan, Marinakis berkata beliau memasuki padang bola untuk menyuarakan rasa kecewanya terhadap cara kecederaan pemain gantian, Taiwo Awoniyi, pada lewat perlawanan, ditangani.
Penyerang Forest, Awoniyi menerima rawatan perubatan panjang selepas terlanggar tiang gol pada penghujung perlawanan tersebut.
Awoniyi dilihat memberi isyarat kepada petugas perubatan bahawa beliau masih mampu meneruskan permainan, dan satu pertukaran pemain yang lain telah dilakukan.
Beliau kembali bermain selepas menerima rawatan tetapi tampak kurang selesa dan akhirnya terpaksa dikeluarkan pada masa kecederaan.
Menurut sumber, keputusan Marinakis berdepan dengan Espirito Santo di padang disebabkan kekecewaannya apabila pasukan perubatan dan kakitangan kelab itu, gagal memastikan kebajikan Awoniyi.
Sejak itu, Awoniyi telah dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan abdomen, berikutan komplikasi yang dikesan oleh kakitangan perubatan.
Gary Neville dari Sky Sports menyifatkan kejadian tersebut sebagai “memalukan”.
Namun, penganalisis bola sepak, Danny Murphy, memberitahu Match of the Day 2, bahawa tiada gunanya memperbesarkan perkara tersebut.
Namun, perhatian media biasanya mengikuti Marinakis, di mana-mana sahaja beliau berada.
Apabila saya menemu bual Marinakis sekitar setahun lalu di pejabatnya di London, saya bertemu tokoh yang mengagumkan, namun ada kalanya bertutur dengan lembut dan berterus terang.
Menurut Forbes, Marinakis dan keluarganya dianggarkan mempunyai kekayaan bernilai £3 bilion ($5.17 bilion).
Namun, beliau benar-benar mengambil berat terhadap pasukannya dan sentiasa ingin menang.
Pada masa itu, beliau memberitahu saya tentang lebih 100 perlawanan Forest – di tempat sendiri dan di tempat lawan – yang dihadirinya, telah berlangsung “tanpa sebarang kejadian”, selain bercerita tentang wang lebih £250 juta yang dilaburkan beliau dalam kelab tersebut.
Beliau turut bercakap dengan penuh semangat mengenai pelbagai topik bola sepak – termasuk piawaian pengadilan dan kritikan pengulas bola sepak.
Beliau turut berkongsi mengenai impiannya memindahkan Forest ke sebuah stadium baru yang boleh memuatkan 50,000 penonton, lengkap dengan pusat latihan dan akademi serba moden – sambil menyatakan ia akan “mengubah sejarah wilayah dan pasukan ini untuk para penyokong kami, pada tahun-tahun mendatang”.
Marinakis ialah pengasas dan pengerusi Capital Maritime & Trading Corp, sebuah syarikat perkapalan antarabangsa, dan telah dinobatkan sebagai Personaliti Perkapalan Greek Terbaik Tahun Ini, oleh penerbitan British, Lloyd’s List pada 2017.
Beliau turut melabur dalam media dan syarikatnya, Alter Ego Media, telah membeli dua akhbar harian terkenal di Greece – Ta Nea dan To Vima.
Pada 2019, beliau melancarkan sebuah saluran televisyen baru, One Channel di Greece.
Selain memiliki Forest, Marinakis turut membeli kelab bola sepak Olympiakos pada 2010.
Apabila Marinakis membeli Forest lapan tahun lalu, beliau menghadapi tuduhan mengatur perlawanan di Greece, walaupun telah lulus ujian pemilik dan pengarah oleh Liga Bola Sepak England (EFL).
Beliau menafikan tuduhan tersebut dan dibebaskan pada 2018.
Pihak pendakwaan turut menuduh beliau melakukan penipuan dan pemerasan ugut, serta mengendalikan satu organisasi jenayah, namun semua tuduhan tersebut akhirnya digugurkan.
Marinakis juga dinamakan dalam penyiasatan satu kes pengedaran dadah penuh kontroversi di Greece.
Kes ‘Noor 1’ dianggap ramai sebagai antara kes terbesar dalam sejarah Greece, melibatkan penyeludupan 2.1 tan heroin ke Greece pada 2014.
Namun, Marinakis tidak pernah didakwa dalam kes tersebut, atau disabitkan dengan sebarang jenayah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg