Pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson, pernah berkata “cabaran terbesar saya adalah menjatuhkan Liverpool dari takhta mereka”.
Di bawah bimbingan Ferguson, United menguasai era moden bola sepak Inggeris dengan 13 gelaran Liga Perdana England (EPL) – satu pencapaian luar biasa yang membuktikan penguasaan mereka.
Namun, pada 27 April, Liverpool menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama milik United, sekali gus mencipta satu detik bersejarah dalam persaingan paling ikonik dalam bola sepak England.
Walaupun ini hanya kejuaraan kedua Liverpool dalam era profesional EPL, mereka sebenarnya sudah 18 kali bergelar juara ketika liga masih dikenali sebagai Divisyen Satu.
Maka, jumlah keseluruhan kejuaraan mereka kini mencecah 20.
Jika United boleh terus berbangga dengan penguasaan domestik mereka, Liverpool pula memiliki kelebihan jelas di pentas Eropah dengan enam kejuaraan Liga Juara-Juara – berganda daripada pencapaian United.
Ini cukup bukti bahawa Liverpool berjaya kembali mengatasi United sekali lagi, menduduki puncak sebagai pasukan paling berjaya di England.
Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Liverpool musim ini ialah cara mereka menangani isu kontrak beberapa pemain utama.
Sebelum 17 April, hanya dua minggu sebelum menjulang trofi EPL, masa depan bintang penyerang, Mohamed Salah, dan tonggak pertahanan, Virgil van Dijk, masih samar-samar.
Ia menimbulkan tanda tanya, termasuk dalam kalangan rakan pemain lain.
Namun, perkara ini tidak melemahkan semangat mereka, sebaliknya dijadikan motivasi untuk membuktikan nilai mereka kepada kelab.
Hasilnya, Salah mempamerkan prestasi luar biasa dengan 46 sumbangan gol dalam saingan EPL musim ini – hanya satu kurang berbanding rekod Alan Shearer dan Andy Cole.
Golnya semasa menentang Tottenham adalah yang ke-28 dalam liga musim ini, dan ke-33 dalam semua pertandingan, di samping 23 assist atau merintis jaringan gol pasukan.
Dengan jumlah golnya itu juga, Salah kini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang sejarah EPL bagi pemain asing, dengan 185 gol – melepasi jumlah jaringan legenda Manchester City, Sergio Agüero.
Van Dijk pula menjadi tonggak pertahanan Liverpool, bermain setiap minit dalam EPL dan membantu pasukannya menjadikan benteng pasukannya antara yang paling kukuh – hanya dibolosi 32 kali. Ia hanya lebih dua daripada Arsenal yang mempunyai jumlah terendah dalam EPL sejauh ini.
Menggantikan pengurus yang bersemangat dan berjaya seperti Jurgen Klopp bukanlah tugas mudah.
Namun, Arne Slot membuktikan dirinya mampu memikul tanggungjawab dan cabaran tersebut.
Walaupun pasukannya jarang bermain pada tempo yang bertenaga seperti yang disukai Klopp, pengurus baru Liverpool itu membawa pendekatan berbeza – pasukannya lebih tersusun, lebih tenang dan berfalsafah.
Ramai jurulatih terlalu berpegang pada falsafah sendiri, tanpa mempertimbangkan kekuatan barisan pemain yang dimilikinya, seperti yang dilihat di Manchester United dengan Ruben Amorim masih berpegang teguh dengan formasi permainan 3-4-3.
Tetapi Slot memilih pendekatan berbeza, menyesuaikan sistem mengikut kekuatan skuadnya.
Di bawah Slot, Liverpool lebih mengawal perlawanan berbanding pendekatan all-out attack (serangan habis-habisan) era Klopp.
Pemain seperti Luis Díaz dan Cody Gakpo tampil cemerlang di barisan hadapan, manakala pemain pertahanan seperti Ibrahima Konate memperbaiki prestasi selepas musim lalu yang mengecewakan.
Namun transformasi paling ketara adalah pada Ryan Gravenberch.
Dibeli semasa era Klopp daripada Bayern Munich, pemain tengah itu melalui musim pertamanya penuh cabaran.
Tetapi kini di bawah Slot, beliau berjaya mengukir nama sebagai pemain tengah utama, dengan statistik penguasaan bola dan pertahanan yang mengagumkan.
Beliau juga menyuntik ketenangan dan keyakinan di bahagian tengah pasukan Slot.
Liverpool hanya menggunakan 24 pemain sepanjang musim EPL ini. Hanya Nottingham Forest telah menggunakan kurang pemain daripada itu.
Walaupun ada yang mengatakan terdapat keperluan untuk memberi peluang bagi pemain lain beraksi dan memperoleh pengalaman, kestabilan ini membolehkan pemain yang dipilih lebih memahami sistem dan gaya permainan Slot.
Slot bukan sahaja menekankan taktik dan prestasi, tetapi juga kesejahteraan pemain.
Salah satu pendekatan berbeza beliau ialah membenarkan pemain tidur di rumah sendiri sebelum perlawanan di stadium sendiri – sesuatu yang tidak dibenarkan oleh pengurus sebelum ini.
“Pakar kata tidur di katil sendiri lebih berkualiti berbanding hotel,” katanya.
“Dan tidur adalah komponen penting bagi mencapai prestasi maksimum.”
Kejayaan Liverpool musim ini bukan sekadar tentang jumlah trofi.
Ia melambangkan permulaan era baru – dengan strategi bijak, keharmonian pemain dan faktor di luar padang membentuk satu pasukan yang memberi keyakinan bahawa ini bukan sahaja pencapaian jangka pendek, malah berpotensi terus berjaya untuk jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg