Prestasi memukau Fandi Ahmad tidak dapat dipisahkan dengan Piala Malaysia.
Sekitar 45 tahun selepas beliau menjaringkan gol kemenangan untuk Singapura semasa menentang Selangor dalam peringkat akhir 1980, pemain legenda berusia 62 tahun itu berpeluang untuk meraih satu lagi trofi tersebut – selaku jurulatih.
Beliau yang kini berperanan sebagai jurulatih Sri Pahang, telah membimbing pasukannya melalui pelbagai cabaran untuk melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia pada 12 April ini, menentang kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT).
“Kami tahu betapa kami bekerja keras di dalam dan luar padang untuk kekal fokus, teguh dan kuat.
“Sangat sukar bagi pasukan lain untuk memenangi liga dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun kerana JDT adalah pasukan yang paling kuat dengan kewangan, infrastruktur dan pemain mereka yang kukuh.
“Namun, dalam satu perlawanan piala, saya percaya kami ada peluang. Ia sangat, sangat sukar, tetapi tidak mustahil,” katanya kepada The Straits Times semasa acara BYD Football Fiesta di ARFC Woodleigh pada 22 Februari.
Walaupun JDT mempunyai kekuatan kewangan yang luar biasa, keadaan kelab lain dalam Liga Super Malaysia (MSL) tidak begitu cerah, kerana penswastaan liga dan pasukan-pasukannya tidak memberi kesan positif seperti yang diharapkan sejak proses ini dimulakan pada 2015.
Terdapat laporan mengenai gaji yang tidak dibayar, dengan 262 kes difailkan terhadap pasukan MSL pada 2019, dan trend ini berterusan.
Apabila ditanya mengenai situasi ini, Fandi hanya berkata: “Saya telah melalui cabaran seperti ini sebagai pemain, jadi saya tahu ia sukar.
“Tetapi saya menasihati mereka untuk bersabar kerana ini adalah kerjaya mereka. Apabila kita sangat mencintai sukan ini dan berlatih keras untuk menjadi pemain bola sepak, kita perlu terus dan kekal fokus.”
Walaupun Sri Pahang kini berada di kedudukan ke-11 daripada 13 pasukan dalam MSL, mereka telah menunjukkan kebangkitan dalam Piala Malaysia, dengan mengalahkan Selangor (menduduki tangga kedua dalam liga), Perak (tangga keenam) dan Sabah (tangga ketiga) untuk layak ke final.
Ia juga merupakan satu perjalanan yang luar biasa, memandangkan Sri Pahang bermain semua perlawanan di Stadium Temerloh yang lebih kecil, terletak sekitar dua jam perjalanan bas dari Kuantan.
Sebabnya Stadium Darul Makmur sedang dinaik taraf.
Mereka menghadapi lebih banyak halangan untuk diatasi kerana penyerang utama mereka, Kpah Sherman dari Liberia, digantung bagi final ini, manakala penyerang Argentina, Manuel Hidalgo yang dipinjamkan dari JDT, tidak boleh bermain kerana telah terikat dengan peraturan piala.
Pemain tengah, Kuvondik Ruziev, juga pulang ke Uzbekistan kerana masalah keluarga, meninggalkan mereka dengan hanya tiga pemain import asing, manakala JDT boleh bermula dengan enam pemain asing.
Tidak kira apa keputusan akhirnya, perjalanan ke final ini sudah memberi makna yang besar kepada Fandi.
Beliau mempunyai persahabatan erat dengan Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, adik kepada Sultan Abdullah Ahmad Shah dari Pahang, selepas bermain untuk pasukan negeri itu pada 1991 dan 1992.
Selepas memenangi tiga Piala Malaysia berturut-turut dengan Kuala Lumpur, beliau membawa Pahang meraih kejuaraan liga dan Piala Malaysia pada 1992 sebelum mengulanginya bersama Singapura pada 1994.
Fandi, yang menyertai Pahang pada 2022 sebagai penolong jurulatih kepada Dollah Salleh sebelum mengambil alih jawatan itu pada 2023, berkata:
“Ini bukan hanya untuk saya, tetapi lebih untuk rakyat Pahang. Mereka amat menghargainya kerana sudah lebih 10 tahun berlalu sejak mereka memenangi Piala Malaysia pada 2014, dan mereka merindui detik sebegini.”
“
Ini bukan hanya untuk saya, tetapi lebih untuk rakyat Pahang. Mereka amat menghargainya kerana ia sudah lebih 10 tahun berlalu sejak mereka memenangi Piala Malaysia pada 2014, dan mereka merindui detik sebegini.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg