Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sundram simpan hasrat bimbing skuad kebangsaan sekali lagi

Feb 24, 2025 | 3:26 PM
Ikon bola sepak Singapura, V. Sundramoorthy, yang kini pengarah teknikal Laos, berkata beliau merindui keghairahan yang dirasakan sebagai jurulatih.
Ikon bola sepak Singapura, V. Sundramoorthy, yang kini pengarah teknikal Laos, berkata beliau merindui keghairahan yang dirasakan sebagai jurulatih. - Foto ST

Selepas lebih empat tahun dalam bidang kejurulatihan, bekas jurulatih Singapura, V. Sundramoorthy, tidak sabar untuk membimbing sebuah pasukan kebangsaan sekali lagi.

Ikon bola sepak Singapura itu kali terakhir menerajui pasukan kebangsaan Laos dari 2018 hingga 2020, sebelum menyandang jawatan pengarah teknikal di Persekutuan Bola Sepak Lao.

Namun, Sundram merindui keghairahan yang dirasakan sebagai jurulatih.

“Apabila tempoh saya sebagai pengarah teknikal berakhir nanti, saya ingin kembali membimbing sebuah pasukan kebangsaan.

“Mungkin Singapura, Thailand, Kemboja, Indonesia... saya ingin mencuba membimbing sebuah pasukan kebangsaan sekali lagi,” kata Sundram, lapor The Straits Times.

“Semangat masih membakar. Saya merinduinya. Saya rindu menghadiri persidangan media, interaksi bersama wartawan serta penyokong dan tekanannya.

“Ia sebahagian daripada bola sepak dan saya ingin kembali dan rasakannya sekali lagi,” tambah beliau.

Pengalaman Sundram termasuk menjadi jurulatih Lions XII, apabila beliau memenangi Liga Super Malaysia pada 2013. Beliau juga menjadi jurulatih pasukan Singa dari 2016 hingga 2018.

Memandangkan masanya sebagai jurulatih Singapura berakhir awal akibat keputusan perlawanan tidak memuaskan, Sundram mengalu-alukan lebih banyak sokongan untuk jurulatih pasukan Singa sekarang, Tsutomu Ogura.

Sundram juga melihat pemain kelahiran Jepun, Kyoga Nakamura, yang baru-baru ini menjadi warga Singapura, dan pemain Cardiff City, Perry Ng, yang dalam proses memohonkan kewarganegaraan di bawah Skim Bakat Sukan Asing, sebagai “tambahan baik” kepada pasukan Singapura.

“Anda perlu lakukannya apabila orang lain juga melakukannya.

“Kalau anda ada bakat yang bagus dan mereka boleh didaftar mengikut skim bakat dan diberikan kewarganegaraan, kenapa tidak?” kata beliau.

Beliau turut menghargai pendedahan yang diberikan kepadanya sebagai pengarah teknikal Laos.

Sebagai pengarah teknikal Laos, beliau memantau perkembangan pemain belia dan jurulatih.

Pengalaman itu mengubah pandangannya tentang bidang kejurulatihan.

“Kami memutuskan untuk membangunkan bola sepak pada peringkat akar umbi, membangunkan belia, pendidikan jurulatih dan kemudian kami mempunyai skim pengembangan bakat dan program bola sepak yang lain.

“Kami benar-benar melibatkan semua orang dalam pembangunan bola sepak Laos,” kongsinya.

Sundram juga menyatakan hasratnya melihat lebih ramai jurulatih Singapura meneroka ke luar negara dan mengikut jejak Satyasagara (jurulatih di kelab Liga Perdana Kemboja, Kirivong Sok Sen Chey) serta Chris Yip-Au (ketua bola sepak wanita dan jurulatih kebangsaan wanita Seychelles).

Beliau berkata: “Jika anda pergi ke Kemboja atau Laos, anda akan membimbing pasukan belia (atau) kebangsaan. Mungkin anda mengalami potongan gaji tetapi anda akan meraih satu pengalaman.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg