Topik diikuti
Pergi ke BHkuFarhan Zulkifli tekad rebut setiap peluang sarung jersi negara
Gavin Lee: Singa bertuah ada pemain seperti Farhan yang utamakan pasukan
Farhan Zulkifli tekad rebut setiap peluang sarung jersi negara
Walaupun hanya membuat kemunculan sekali-sekala bagi pasukan bola sepak kebangsaan Singapura sejak penampilan sulungnya pada 2023, prestasi Farhan Zulkifli tidak terlepas daripada perhatian peminat.
Pemain sayap bertubuh kecil itu hanya diturunkan dalam kesebelasan utama dua kali daripada sembilan perlawanan antarabangsa skuad Singa pada 2026, namun beliau telah menggunakan peluang tersebut sebaik-baiknya dengan mencatatkan sumbangan gol dalam setiap perlawanan.
Dalam kemenangan 4-0 perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada Mei, Farhan merintis gol untuk Song Ui-young menerusi hantaran dari sayap kiri.
Semasa perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Asean menentang Thailand pada Ogos pula, lariannya yang pantas memaksa penjaga gol Thailand menepis percubaannya, membolehkan Harhys Stewart menjaringkan gol dari jarak jauh ketika skuad Singa menang 2-1 untuk meraih kemenangan di tempat lawan pertama mereka ke atas skuad Gajah Perang itu sejak 2009.
Prestasinya yang lincah dan bertenaga telah mendorong beberapa peminat untuk menggesa agar pemain berusia 23 tahun itu diberikan tempat tetap dalam kesebelasan utama.
Walau bagaimanapun, Farhan berkata beliau sekadar berasa gembira kerana dapat menyumbang setiap kali diberi peluang.
Berkongsi kepada The Straits Times (ST) di Hotel Mulia Senayan, Jakarta, Indonesia baru-baru ini, beliau berkata:
“Saya percaya peluang tidak selalu datang, jadi apabila ia tiba, anda hanya perlu menerimanya dengan tangan terbuka.
“Ia bukan sesuatu yang akan saya sia-siakan – ia adalah sesuatu yang kami sebagai pemain bola sepak usahakan dengan bersungguh-sungguh.
“Saya rasa tidak kira sama ada saya bermula dalam kesebelasan utama atau masuk dari bangku simpanan, kerana seboleh-bolehnya, saya ingin membantu pasukan dalam apa jua cara. Saya hanya mahu membawa kelainan.”
Pencapaian Farhan turut mendapat perhatian jurulatih skuad Singa, Gavin Lee, yang telah banyak kali memasukkannya sebagai pemain gantian.
Sebelum ini, pemain tersebut kebanyakannya sekadar menjadi pemain simpanan yang tidak beraksi semasa Singa dikendalikan jurulatih lain.
Lee berkata: “Farhan, seperti setiap pemain lain dalam pasukan, telah berjuang keras untuk melakukan yang terbaik demi pasukan. Kami bernasib baik kerana mempunyai pemain yang sanggup mengutamakan pasukan.”
“Setiap perlawanan memerlukan pendekatan yang berbeza berdasarkan konteks yang berbeza. Selain itu, pemain juga hadir ke setiap perlawanan dalam keadaan fizikal yang berbeza-beza.
“Pada akhirnya, kami melihat pada keseluruhan konteks perlawanan dan pasukan sebelum membentuk kesebelasan utama.”
Farhan kali pertama menarik perhatian apabila beliau menjaringkan gol untuk Hougang United dalam perlawanan sulung dalam Liga Perdana Singapura (SPL) pada 2019. Beliau berusia 16 tahun pada ketika itu.
Sejak itu, Farhan terus mengumpul rekod jaringan dan bantuan gol dalam pertandingan domestik selama bertahun-tahun, lantas memikat perhatian juara SPL, Lion City Sailors, yang mengikatnya sebagai pemain pada musim ini.
Pada penampilan sulungnya bersama Sailors, Farhan mengatur gol kedua Ilhan Fandi dalam kemenangan 2-0 pada saingan Perisai Masyarakat ke atas Tampines Rovers pada 6 September lalu.
Ini kemudiannya disusuli dengan pengalaman pertamanya beraksi di peringkat serantau dengan kelab, apabila beliau dinamakan dalam kesebelasan utama ketika Sailors seri 1-1 dengan gergasi Thailand, BG Pathum United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) pada 17 September.
Farhan akur berasa cemas pada ketika mendapat tahu beliau akan beraksi dari mula.
“Sebaik sahaja saya tahu saya akan bermula dalam kesebelasan utama, saya agak gementar kerana itu adalah kejohanan pertama saya di pentas terbesar dengan kelab terbesar di Singapura,” katanya.
“Untuk perlawanan ACL2, ia berbeza sama sekali berbanding SPL. Boleh dikatakan bahawa intensitinya lebih tinggi, kualiti bola sepaknya berbeza, dan pihak lawan yang berbeza memberikan anda pelbagai kualiti yang perlu anda sesuaikan. Latihan bersama pasukan kebangsaan sangat membantu dari segi intensiti dan saya amat bersyukur atas pengalaman ini.”
Farhan berharap untuk mendapat lebih banyak pendedahan serantau semasa bersama skuad Singa sepanjang kempen Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober.
Singapura adalah antara lapan pasukan dalam Divisyen 1 kejohanan tersebut, bersama-sama tuan rumah Indonesia.
Kumpulan itu turut terdiri daripada Vietnam, Thailand, Malaysia, Filipina, serta pasukan jemputan Bangladesh dan Pakistan.
Skuad Singa, yang memulakan kempen Kumpulan A menentang tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada 25 September, berdepan Bangladesh di stadium yang sama pada 28 September, sebelum bertarung dengan negara jiran Malaysia di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober.
Pemenang kumpulan akan bertemu di perlawanan akhir, manakala naib juara kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
“Suasana dalam kem latihan sangat positif selepas prestasi yang kami pamerkan pada Kejohanan Asean baru-baru ini,” kata Farhan.
“Ia adalah satu peluang baharu untuk kami membuktikan apa yang kami mampu lakukan dalam kejohanan akan datang. Bersama peminat, ia sangat positif – setiap perlawanan, kami melihat lebih ramai peminat datang memberikan sokongan.
“Pasti rasa seronok apabila melihat rakyat Singapura menyokong kami, dan kami berharap akan ada lebih ramai peminat yang sudi turun memberikan sokongan kepada kami pada perlawanan seterusnya.” tambahnya.
“
“Saya percaya peluang tidak selalu datang, jadi apabila ia tiba, anda hanya perlu menerimanya dengan tangan terbuka. Ia bukan sesuatu yang akan saya sia-siakan – ia adalah sesuatu yang kami sebagai pemain bola sepak usahakan dengan bersungguh-sungguh.”