Topik diikuti
Pergi ke BHkuKecintaan bola sepak Indonesia penyatu rakyat jelang aksi lawan S’pura
Kecintaan bola sepak Indonesia penyatu rakyat jelang aksi lawan S’pura
Papan-papan tanda Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menyambut pengunjung sebaik sahaja keluar daripada Lapangan Terbang Soekarno Hatta, manakala suasana serupa dapat dilihat di sekitar Stadium Gelora Bung Karno menjelang kejohanan sulung itu.
Namun, semangat yang dirasai di Jakarta bukan sekadar kerana kejohanan baharu itu.
Bagi penyokong tempatan, kecintaan terhadap bola sepak sudah berakar sejak kecil, berkembang daripada permainan di kawasan kejiranan kepada sokongan terhadap kelab tempatan serta pasukan kebangsaan.
Menurut wartawan media tempatan Skor.id, Estu Santoso, bola sepak sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Indonesia sejak sekian lama.
“Bola sepak itu sukan rakyat. Warga Indonesia sangat, sangat suka bola sepak kerana ia sudah wujud sebelum Indonesia merdeka,” kongsinya.
Beliau yang berusia 45 tahun itu berkata bahawa budaya bola sepak ini juga tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar, bahkan tersebar ke pelbagai pelosok negara.
Hampir setiap bandar, katanya, mempunyai pasukan sendiri, termasuk pasukan amatur yang tetap mempunyai penyokong tempatan.
“Maksudnya, bola sepak Indonesia itu memang sudah sangat merakyat,” katanya.
Budaya itu turut bermula sejak zaman kanak-kanak.
Estu mengimbas pengalaman generasinya ketika membesar pada era 1990-an, apabila bermain bola sepak selepas pulang dari sekolah menjadi perkara biasa.
“Pulang sekolah, buka baju dan seragam kami dan terus main bola,” ceritanya.
Beliau berkata perkembangan pemain juga pada satu ketika dahulu banyak bermula daripada kampung, bukannya semata-mata melalui akademi profesional seperti yang lebih lazim pada masa kini.
Salah satu contoh budaya itu ialah pertandingan Tarkam, atau kejohanan antara kampung, yang menurut Estu masih berlangsung sehingga kini.
Daripada pertandingan sebegitu, pemain berbakat boleh diperhatikan, dibawa ke pasukan di bandar dan seterusnya berkembang sehingga mewakili pasukan kebangsaan.
Bagi penyokong pasukan bola sepak Indonesia, Andri Triandono, 34 tahun, kecintaan terhadap bola sepak juga sudah terbentuk sejak kecil.
Andri berkata masyarakat Indonesia membesar dengan bola sepak kerana permainan itu boleh dilakukan hampir di mana-mana.
“Di setiap tempat, di setiap kawasan kejiranan, anda boleh bermain bola sepak pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” kata pengurus majlis perkahwinan profesional itu.
Sementara itu, seorang lagi penyokong pasukan bola sepak Indonesia, Janurico Yusuf, 38 tahun, juga setuju dengan pandangan itu.
Beliau berkata kanak-kanak sering bermain bola sepak berhampiran rumah atau di padang, menjadikan permainan itu sebahagian daripada kehidupan seharian sejak kecil.
“Kami suka main bola di dekat-dekat rumah, di lapangan. Anak-anak dari kecil mereka sudah suka bola sepak,” kata pemandu itu.
Kecintaan itu kini diterjemahkan kepada sokongan terhadap pasukan kebangsaan ketika Indonesia menjadi tuan rumah Divisyen 1 Piala Asean Fifa.
Indonesia akan berdepan dengan Singapura sebagai aksi pembukaan kempen mereka pada 25 September di Stadium Gelora Bung Karno.
Bagi Estu, Singapura bukan lawan yang boleh dipandang ringan.
Malah, ketika diminta memilih lawan paling mencabar Indonesia dalam Kumpulan A yang turut menampilkan Malaysia dan Bangladesh, beliau meletakkan Singapura sebagai pencabar pertama yang perlu diberi perhatian.
“Dari tiga tim, Singapura, Malaysia, Bangladesh, saya menempatkan Singapura menjadi pilihan utama lawan terberat Indonesia,” katanya.
Beliau turut melihat pengalaman pertemuan sebelum ini – seri 1-1 di Stadium Jalan Besar dalam aksi Piala Asean Hyundai – sebagai salah satu sebab Singapura perlu diberi perhatian, selain menjangkakan Singa akan turun beraksi dengan lebih bebas.
Namun, apabila ditanya mengenai ramalan keputusan perlawanan pembukaan itu, Estu tetap memberikan kelebihan kepada tuan rumah.
“2-0 lah Indonesia menang,” katanya sambil tersenyum.
Andri juga turut merasakan pasukannya mampu mengatasi pasukan Singa di perlawanan tersebut.
“Kami akan menang 3-1,” katanya dengan yakin.