Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaris Ramli dipanggil untuk sertai Lions bagi Piala Asean Fifa selepas kecederaan
Faris Ramli dipanggil untuk sertai Lions bagi Piala Asean Fifa selepas kecederaan
Pemain sayap Tampines Rovers, Faris Ramli, telah dipanggil semula ke skuad Singapura untuk Piala Asean Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) edisi sulung, selepas ketiadaan yang agak lama, manakala pemain tengah FC Jurong, Haziq Kamarudin, meraih panggilan pertamanya ke pasukan senior.
Kedua-dua mereka dinamakan dalam skuad 23 pemain oleh jurulatih pasukan Singa, Gavin Lee, pada 18 September.
Pemain pertahanan Safuwan Baharudin dan Irfan Najeeb turut kembali ke dalam skuad, selepas terlepas Kejohanan Asean baru-baru ini.
Faris, 34 tahun, kali terakhir dipanggil oleh Lee pada November 2025, dan hanya menjadi pemain simpanan yang tidak diturunkan dalam kemenangan bersejarah 2-1 menentang Hong Kong, yang membawa Lions melayakkan diri ke Piala Asia 2027.
Selepas terlepas sebahagian besar kempen musim 2025-26 akibat kecederaan lutut, beliau kembali beraksi musim ini, dan menjaringkan gol dalam kekalahan 2-1 Tampines menentang Shanghai Shenhua pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Dua pada 17 September.
Haziq, 24 tahun, mengagumkan dengan siri persembahan konsisten dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Lee berkata dalam satu kenyataan media: “Kami telah memerhatikan perkembangan Haziq sejak sekian lama.
“Beliau konsisten dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik serta sanggup melakukan apa sahaja untuk pasukan.
“Kualiti sebegini sentiasa penting untuk membentuk sebuah kumpulan yang kukuh, dan kami menantikan kehadirannya.”
Safuwan dan penyerang Ikhsan Fandi terlepas Kejohanan Asean kerana tugasan kelab masing-masing bersama Selangor di Malaysia dan Thespa Gunma, pasukan liga ketiga Jepun.
Walaupun pemain pertahanan berusia 34 tahun itu boleh menyertai pertandingan tersebut, Ikhsan terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan tulang rusuk.
Singapura merupakan antara lapan pasukan di Divisyen 1 Piala Asean Fifa, bersama tuan rumah Indonesia, Vietnam, Thailand, Malaysia, Filipina, serta pasukan jemputan Bangladesh dan Pakistan.
Pasukan Singa akan memulakan kempen Kumpulan A mereka menentang tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 25 September.
Mereka kemudiannya akan menentang Bangladesh di lokasi yang sama pada 28 September, sebelum bertemu Malaysia di Bandung pada 1 Oktober.
Juara kumpulan akan bertemu di final, manakala naib juara kumpulan akan bertanding dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Lee menjangkakan cabaran dalam kejohanan akan datang ini, tetapi menganggapnya sebagai sebahagian penting dalam pembangunan pasukan.
“Akan ada persembahan yang baik dan saat yang sukar, tetapi pengalaman sebegini adalah perlu sekiranya kita mahu menjadi sebuah pasukan kebangsaan yang lebih kukuh.
“Apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadap cabaran-cabaran tersebut, belajar daripadanya, dan terus melangkah ke hadapan bersama-sama,” kata jurulatih itu.
