Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndia tarik diri daripada Piala Asean Fifa, tinggalkan S’pura, dua pasukan lain dalam Kumpulan A Divisyen Perdana
India tarik diri daripada Piala Asean Fifa, tinggalkan S’pura, dua pasukan lain dalam Kumpulan A Divisyen Perdana
India tarik diri daripada Piala Asean Fifa, tinggalkan S’pura, dua pasukan lain dalam Kumpulan A Divisyen Perdana
Sebelum sepak mula, edisi sulung Piala Asean Fifa menerima satu lagi tamparan apabila India, yang menduduki tangga ke-138 dunia, mengumumkan penarikan diri daripada kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober.
Menurut beberapa media India, Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) memutuskan untuk menarik diri kerana pasukan negara itu akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pertama menentang juara dunia lima kali, Brazil, di Kolkata pada 3 Oktober, iaitu hari perlawanan akhir Divisyen Perdana Piala Asean.
Presiden AIFF, Kalyan Chaubey, memberitahu The Times of India pada 12 Ogos:
“Kami tidak dapat menyertai Piala Asean Fifa kerana komitmen kami dengan Persekutuan Bola Sepak Brazil.
“Terdapat juga isu teknikal kerana hanya empat perlawanan boleh dimainkan sepanjang tempoh tersebut. Kami sudah memaklumkan Fifa dan pegawai-pegawai berkenaan mengetahui sebab kami terpaksa membuat keputusan ini.
“Bermain menentang Brazil mungkin peluang sekali seumur hidup bagi pemain India. Ia sesuatu yang mampu mempromosikan sukan ini di seluruh negara kami.”
Perkembangan terbaru itu menyebabkan Kumpulan A Divisyen Perdana kini hanya mempunyai tiga pasukan – Singapura (ke-148 dunia), Malaysia (ke-136) dan tuan rumah Indonesia (ke-118). Masih belum diketahui sama ada Fifa akan melantik pasukan pengganti bagi India.
Pada Julai, China (ke-91) turut menarik diri daripada Piala Asean Fifa bagi menyertai kejohanan pemanas badan menentang Uzbekistan (ke-60), Palestin (ke-95), Tajikistan (ke-101) dan Korea Utara (ke-120) sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2027.
China kemudian digantikan Pakistan, yang berada di tangga ke-198 dunia, dalam Kumpulan B yang turut menampilkan Thailand (ke-94), Vietnam (ke-99) dan Filipina (ke-135).
Keputusan itu menimbulkan persoalan kerana ranking Pakistan lebih rendah berbanding semua pasukan kecuali satu dalam Divisyen Cabaran, iaitu divisyen kedua Piala Asean.
Kumpulan A Divisyen Cabaran terdiri daripada tuan rumah Hong Kong (ke-156), Myanmar (ke-158) dan Brunei (ke-194), manakala Kumpulan B menampilkan Kemboja (ke-175), Laos (ke-185) dan Timor-Leste (ke-201).
Walaupun Singapura merupakan pasukan dengan ranking terendah dalam Kumpulan A, terdapat kebimbangan bahawa Piala Asean mungkin tidak memberikan cabaran yang sewajarnya kepada Lions menjelang Piala Asia 2027. Kejohanan itu juga mungkin tidak mencapai taraf pertandingan berprofil tinggi seperti yang dirancang pada awalnya.
Namun, satu kelebihan ialah semua pasukan boleh memanggil pemain terbaik mereka daripada kelab masing-masing kerana kejohanan itu berlangsung dalam jendela antarabangsa Fifa.
Ketika ditanya mengenai mutu pertandingan, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Desmond Ong, berkata: “Agak terlalu awal untuk membuat ulasan kerana saya pasti penganjur mahu memastikan kejohanan sulung ini bermula dengan sebaik mungkin.
“Setelah membuat komitmen untuk menyertai kejohanan ini, kami mahu menggunakannya sebaik mungkin sebagai sebahagian daripada persiapan berterusan kami untuk Piala Asia.”
Pada Oktober 2025, Presiden Fifa, Gianni Infantino, mengumumkan pelancaran kejohanan baru itu yang melibatkan 11 pasukan Asia Tenggara di luar sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.
Lima bulan kemudian, Fifa dalam satu kenyataan berkata pertandingan itu akan berlangsung dalam jendela antarabangsa dari 21 September hingga 6 Oktober.
Akhbar The Straits Times turut melaporkan terdapat kejelasan mengenai format kejohanan itu semasa Kongres Fifa di Vancouver, Canada, pada 30 April, menerusi edaran slaid yang mengesahkan format pertandingan.
Tiada perlawanan separuh akhir akan diadakan selepas pusingan liga. Sebaliknya, juara kumpulan akan bertemu sesama sendiri bagi menentukan juara setiap divisyen, manakala naib juara kumpulan akan bertanding bagi menentukan tempat ketiga dan keempat. Ini bermakna setiap pasukan akan bermain antara dua hingga empat perlawanan.
Berdasarkan dokumen yang dilihat The Straits Times, juara Divisyen Perdana dijangka menerima hadiah wang tunai AS$1 juta (S$1.28 juta) daripada Fifa.
Jumlah itu lebih tiga kali ganda AS$300,000 yang diberikan Persekutuan Bola Sepak Asean kepada Vietnam selepas mereka menjuarai Kejohanan Asean 2024.
Juara Divisyen Cabaran pula akan menerima AS$300,000, manakala setiap pasukan dijamin yuran penyertaan sebanyak AS$125,000 serta berpeluang memperoleh bonus bagi setiap kemenangan atau keputusan seri.
Dengan mengambil kira ganjaran bagi naib juara dan pasukan yang menduduki tempat ketiga, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai kejohanan itu dijangka melebihi AS$4 juta.
