Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaris Ramli kembali pulih, sedia tabur bakti buat pasukan negara
Tempoh rehat beri peluang untuk fokus; kini bersemangat ingin sumbang pada kempen Piala Asean Fifa
Faris Ramli kembali pulih, sedia tabur bakti buat pasukan negara
Selepas terlepas sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan lutut, Faris Ramli menganggap panggilan semula ke skuad negara sebagai peluang untuk kembali menyumbang kepada pasukan Singa, bukannya untuk membuktikan sesuatu kepada mereka yang pernah meragui kemampuannya.
Pemain berusia 34 tahun itu mengakui tempoh panjang di luar padang, sekadar menyaksikan pasukan Singa beraksi dari tepi padang, bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, pengalaman itu mengajarnya untuk memberi tumpuan kepada perkara yang berada dalam kawalannya, khususnya proses pemulihan.
Kini, selepas kembali mendapatkan rentak, perhatian Faris kembali terarah kepada tanggungjawabnya bersama pasukan kebangsaan menjelang saingan Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
“Bagi saya secara peribadi, panggilan ini sangat bermakna.
“Masa saya berjauhan daripada pasukan kebangsaan dan kelab, banyak mengajar saya untuk memberi tumpuan kepada apa yang ada di hadapan saya.
“Kecederaan itu membuatkan saya sedar bahawa saya perlu benar-benar fokus untuk kembali lebih kuat pada masa depan,” katanya dalam satu temu bual dengan Berita Harian (BH).
Kecederaan itu membuatnya terlepas kempen Piala Asean Hyundai kerana pada masa itu masih dalam proses pemulihan.
Namun, pemain sayap Tampines Rovers itu berkata beliau tidak pernah terlalu meragukan sama ada beliau akan dipanggil semula ke skuad kebangsaan ataupun tidak.
Sebaliknya, tumpuan utamanya ketika itu adalah untuk menjalani pemulihan dengan baik dan memastikan dirinya bersedia dari segi fizikal serta mental.
“Sejujurnya, saya rasa saya tidak mempunyai sebarang keraguan.
“Saya lebih fokus kepada pemulihan daripada memikirkan perkara yang saya tidak boleh kawal.
“Saya hanya perlu fokus untuk bersedia secara fizikal dan mental bagi langkah seterusnya,” jelasnya.
Bagi Faris, proses kembali daripada kecederaan panjang bukan sekadar cabaran fizikal, malah turut menguji kekuatan mental dan keyakinannya.
Beliau berkata sokongan daripada keluarga, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan kelabnya yang turut dikenali sebagai The Stags banyak membantunya melalui tempoh sukar itu.
“Untuk mengalami tempoh kecederaan yang panjang, anda perlu mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap diri sendiri.
“Saya sangat bernasib baik kerana mendapat sokongan yang baik sepanjang pemulihan daripada seluruh keluarga saya,” ceritanya.
Pengalaman hanya menjadi penonton ketika pasukan Singa mengharungi Piala Asean Hyundai juga bukan sesuatu yang mudah buat Faris.
Namun, melihat pasukan kebangsaan terus berkembang menjadi sumber motivasi untuknya meneruskan usaha pemulihan.
“Sejujurnya, ia sukar. Namun, untuk melihat pasukan bermain dengan baik dan melihat kemajuan yang mereka capai menjadi sesuatu yang memberi motivasi kepada saya untuk terus berusaha.
“Saya hanya berharap pada ketika itu mereka dapat melakukannya dengan baik dan saya dapat menyumbang pada masa depan,” akuinya.
Faris turut melihat beberapa pengajaran daripada kempen Piala Asean Hyundai yang boleh dimanfaatkan Singapura menjelang Piala Asean Fifa.
Menurutnya, skuad Singa menunjukkan perkembangan positif sepanjang kejohanan sehingga berjaya mara ke separuh akhir.
Namun, beliau menjangkakan cabaran berbeza kali ini kerana tempoh kejohanan lebih singkat dan pasukan perlu mencapai tahap terbaik seawal mungkin.
“Daripada apa yang saya lihat, pasukan semakin kuat sepanjang kejohanan dan itulah yang membawa mereka ke separuh akhir.
“Tetapi bagi Piala Asean Fifa ini, saya rasa ia kejohanan yang pendek dan tiada ruang untuk kesilapan.
“Kami perlu bermula dengan segera dan meningkatkan tahap permainan secepat mungkin,” katanya.
Dengan Singapura dijadual berdepan Indonesia, Bangladesh dan Malaysia, Faris tidak memilih mana-mana satu perlawanan sebagai yang paling dinantikan.
Sebaliknya, beliau menganggap setiap aksi sebagai peluang untuk kembali menyumbang selepas lama tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Saya sudah banyak terlepas perlawanan bersama pasukan kebangsaan.
“Apabila melihat jadual, setiap perlawanan yang memberi saya peluang untuk melakukan sesuatu dan menyumbang adalah perlawanan yang saya nantikan,” ujarnya.
Namun, ramai yang masih ingat tentang kejadian pada peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2021.
Dalam perlawanan tersebut, apabila kedudukannya seri 2-2, Faris gagal untuk memanfaatkan penalti yang dianugerahkan.
Sebaik sahaja sepakan itu tersasar, kapten Indonesia ketika itu, Asnawi Mangkualam meluru di hadapan Faris yang kecewa sambil berkata “terima kasih” secara sinis.
Tetapi kini Faris hanya tertumpu untuk menyumbang kepada skuad Singa sekali lagi.
Sebagai pemain berpengalaman, Faris turut menitipkan nasihat buat pemain muda yang baru menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan, seperti pemain FC Jurong, Haziq Kamarudin.
Menurutnya, pemain muda tidak perlu terlalu memikirkan tekanan luar, sebaliknya harus yakin dengan kemampuan diri yang membawa mereka ke tahap tersebut.
“Justeru, nasihat saya ialah kekal menjadi diri sendiri, usah hiraukan suara-suara dari luar, dan berikan aksi terbaik yang mampu ditunjukkan,” katanya.
Faris juga menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diterimanya.
“Pemain mendapat tenaga daripada peminat dan anda tidak boleh membeli pengalaman itu dengan duit.
“Saya tahu pemain sangat menghargainya dan mereka dahagakan lebih banyak lagi.
“Kejohanan ini memberi kami peluang untuk membuat penyokong bangga sekali lagi,” tambahnya.