Topik diikuti
Pergi ke BHkuFAS: Acara tontonan ramai dianjur bagi kededua perlawanan separuh akhir, usah beli tiket dari penjual semula
FAS: Acara tontonan ramai dianjur bagi kededua perlawanan separuh akhir, usah beli tiket dari penjual semula
FAS: Acara tontonan ramai dianjur bagi kededua perlawanan separuh akhir, usah beli tiket dari penjual semula
Peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket untuk perlawanan pertama untuk separuh akhir Piala Asean Hyundai antara Singapura dengan Thailand pada 15 Ogos digalak menghadiri acara tontonan bersama yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh Singapura.
Dalam satu hantaran di media sosial pada 13 Ogos, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) juga menekankan agar orang ramai tidak membeli tiket daripada penjual tiket yang ambil kesempatan, atau ‘scalper’.
FAS menyedari bahawa tiket perlawanan yang telah habis dijual di Stadium Jalan Besar yang mempunyai kapasiti 6,000 penonton itu kini ditawarkan di platform jualan semula.
“Kami tidak menyokong kegiatan penjualan semula tiket secara tidak sah dan menggesa peminat agar tidak membeli tiket daripada penjual semula.
“Sebaliknya, sertai kami di acara tontonan bersama dan saksikan perlawanan separuh akhir bersama-sama peminat pasukan Singa yang lain – bagi kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan,” ujar FAS.
Acara tontonan bersama bagi perlawanan pertama pada 15 Ogos akan diadakan di Our Tampines Hub (OTH), Kelab Masyarakat West Coast, Kelab Masyarakat Boon Lay, Kelab Masyarakat Woodlands, Kelab Masyarakat Cheng San, Kelab Masyarakat ACE The Place dan Kallang Wave Mall.
Siaran langsung perlawanan kedua, yang akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok pada 18 Ogos, pula akan diadakan di OTH, Kelab Masyarakat Tampines West, Kelab Masyarakat Woodlands, Kelab Masyarakat Boon Lay, Kelab Masyarakat Bishan, One Punggol dan Kallang Wave Mall.
Dalam hantaran tersebut, FAS menegaskan bahawa pihaknya tidak dapat menjamin ketulenan tiket yang dijual semula melalui media sosial atau platform beli-belah dalam talian. Mereka yang membeli tiket sedemikian juga mungkin tidak dibenarkan masuk ke stadium.
Persatuan itu turut menggesa peminat Thailand agar tidak membeli tiket daripada penjual semula, kerana mereka juga mungkin tidak dibenarkan masuk ke stadium atau boleh diusir dari stadium sekiranya mereka duduk di kawasan yang dikhaskan untuk penyokong tuan rumah.
Ini merupakan kali ketiga dalam empat edisi di mana pasukan Singa berjaya mara ke separuh akhir Piala Asean, selepas bangkit untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 7 Ogos.
Lebih 4,000 tiket untuk penyokong tuan rumah bagi perlawanan pada 15 Ogos habis dijual tidak lama selepas jualan dalam talian dibuka pada 12 Ogos.
Tiket tersebut kemudiannya mula ditawarkan di platform pasaran dalam talian seperti Carousell, dengan sepasang tiket Kategori 1 dijual pada harga setinggi $1,500 – lebih 15 kali ganda daripada harga asal $49.
Pemain pertahanan pasukan Singa, Irfan Fandi, turut meluahkan kekecewaannya terhadap kegiatan penjualan tiket secara tidak sah di media sosial.
Dalam satu hantaran di X, beliau berkata: “Saya bersimpati dengan peminat yang benar-benar setia dan mahu hadir menyaksikan perlawanan besar Sabtu ini! Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. #SayNoToScalpers”
