Stadium Jalan Besar akan terus menjadi tempat pertarungan pada separuh akhir Piala Asean Hyundai 2026 antara Singapura dengan Thailand pada 15 Ogos kerana Stadium Negara tidak dapat disiapkan untuk mengadakan perlawanan tersebut.

Singapura, yang menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A, berdepan dengan juara tujuh kali, Thailand, yang menjuarai Kumpulan B dalam separuh akhir pertama itu. Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Bangkok pada 18 Ogos.

Menurut Kumpulan Kallang pada 9 Ogos, Stadium Negara, yang boleh memuatkan 55,000 orang dan menjadi lokasi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos, tidak boleh digunakan kerana kerja-kerja membongkar peralatan dan menyiapkan padang akan memakan masa sekitar dua setengah minggu.

Jurucakapnya juga berkata tiada kemungkinan final kejohanan tersebut dapat diadakan di Stadium Negara jika anak didik Gavin Lee melangkah ke final.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Kumpulan Kallang berkata sewa acara di Kallang diluluskan dengan mengambil kira tempoh persiapan dan pembongkaran.

“Tempoh persiapan dan pemulihan ini tidak dicatatkan dalam kalendar acara kami,” kata jurucakap tersebut.

Menurut beliau, Stadium Negara perlu dipulihkan susulan penganjuran NDP pada 9 Ogos. Tambahnya, padang rumput juga perlu dipasang dan disesuaikan bagi memenuhi piawaian pertandingan.

“Keseluruhan proses ini mengambil masa kira-kira dua setengah minggu daripada tarikh akhir perbarisan. Berdasarkan jadual yang diumumkan bagi separuh akhir dan pusingan akhir Piala ASEAN, iaitu pada 15 dan 22 Ogos, ia adalah mustahil untuk menganjurkan perlawanan-perlawanan tersebut di Stadium Negara,” kata beliau.

Pada 9 Ogos, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata persiapan telah diatur agar perlawanan separuh akhir pertama diadakan di Stadium Jalan Besar. Butiran tiket akan diumumkan dalam masa terdekat, kata FAS.

Singapura menjamin tempat di separuh akhir Piala Asean Hyundai selepas ia mengikat Indonesia 1-1 di hadapan 5,113 penyokong di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos. Keputusan itu bermakna ia menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, di belakang Vietnam.

Kejohanan dwitahunan itu lazimnya dianjurkan pada akhir tahun, tetapi diubah ke tarikh semasa bagi menyelaraskannya dengan kalendar bola sepak antarabangsa dan mengelak pertembungan dengan liga-liga domestik (Ogos–Mei) serta musim tengkujuh.

Namun, ia tidak berlangsung dalam tempoh perlawanan antarabangsa yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka.

Ini bukan kali pertama Singapura gagal beraksi di Stadium Negara, yang pada asalnya diperuntuk sebagai stadium rasmi pasukan bola sepak nasional.

Pada edisi 2024, Singapura menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Negara. Perlawanan tersebut meraih kehadiran 12,391 peminat ketika menang 2-1 ke atas Kemboja, dan 22,611 penonton ketika tewas 2-4 kepada Thailand.

Namun, selepas tarikh kejohanan itu diubah, pasukan bola sepak Singapura terpaksa beraksi di Stadium Jalan Besar semasa menentang Vietnam di peringkat separuh akhir. Ini kerana Stadium Negara telah ditempah lebih awal untuk mengadakan konsert penyanyi Mandopop, JJ Lin pada 28 dan 29 Disember.

Tiket perlawanan pada edisi tersebut habis dijual dalam tempoh tujuh jam, dengan 5,233 penyokong hadir untuk menyaksikan Singapura tewas 0-2 kepada Vietnam.

Perlawanan tersebut dimainkan di padang rumput tiruan, tetapi padang di sana kini telah digantikan dengan rumput semula jadi sejak Disember 2025 bagi mematuhi syarat terkini Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Padang rumput tiruan yang dipasang sejak 2005 sebelum ini pernah memberi kelebihan kepada pasukan Singapura. Suasana riuh-rendah di Stadium Jalan Besar - di mana penonton duduk lebih dekat dengan padang - turut memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Meskipun memenangi Piala ASEAN sebanyak empat kali, Singapura yang kini menduduki tempat ke-148 dunia, telah gagal beraksi dengan baik di kejohanan itu sejak 2012, iaitu kali terakhir mereka menjulang piala.

Dalam dua tahun kebelakangan ini, jurulatih Gavin Lee dan pendahulunya Tsutomu Ogura telah memupuk semangat berpasukan serta mentaliti positif untuk membantu Lions melayakkan diri ke Piala Asia 2027. Sejak aksi pusingan kelayakan bermula pada 2025, mereka hanya tewas dua kali daripada 15 perlawanan - kalah 2-3 kepada Thailand dan 1-2 di tangan China.

Ini tidak termasuk keputusan perlawanan persahabatan di mana mereka tewas 1-2 kepada Malaysia, yang kemudian dibatalkan lalu memberikan Lions kemenangan percuma 3-0 selepas didapati pihak lawan telah membariskan pemain tidak sah.

Thailand kini menunggu di separuh akhir. Jika pasukan itu berjaya diatasi, Singapura melangkah setapak lebih dekat untuk merangkul kejuaraan ASEAN kali kelima.