Gagal layang kad merah, dua pengadil ‘direhatkan’ FAS
Pengadil Liga Perdana Singapura (SPL), Jansen Foo dan Abirami Naidu, telah dikeluarkan daripada menjalankan tugas masing-masing bagi dua dan empat perlawanan, menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 24 Februari.
Keputusan itu dibuat selepas Foo (pengadil utama) dan Abirami, video pembantu pengadil (VAR) gagal melayangkan kad merah kepada pemain tengah Lion City Sailors, Kyoga Nakamura, ketika pendahulu liga itu seri 1-1 dengan BG Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 22 Februari.
FAS memaklumkan pengembalian tugas mereka ke senarai pengadil tertakluk kepada latihan pemulihan dan penilaian prestasi.
Pada minit ke-37, Nakamura dilihat menyiku muka Takeshi Yoshimoto ketika merebut bola tinggi.
Foo hanya melayangkan kad kuning, manakala Yoshimoto terpaksa digantikan kerana tidak dapat meneruskan permainan.
Dalam kenyataan di laman web SPL, panel teknikal pengadil FAS “sebulat suara memutuskan bahawa keputusan di padang adalah tidak tepat”.
Menurut FAS, kejadian itu memenuhi ambang kesalahan serius dan wajar dikenakan kad merah.
VAR juga sepatutnya mencadangkan semakan di padang selaras dengan protokol.
Jurulatih sementara Tampines, Robert Eziakor, berkata: “Ia keputusan yang buruk dan boleh mengubah perlawanan. Kami menanggung akibatnya.”
Namun beliau memuji ketelusan FAS, menyifatkannya sebagai satu kemajuan dan mesej jelas tentang tahap yang dijangkakan daripada pengadil tempatan.
Bekas jurulatih dan pemain liga, Shasi Kumar, yang menjadi pengulas perlawanan itu, turut menyambut baik tindakan pantas FAS.
“Perlu ada kebertanggungjawaban, terutama dengan VAR. Ia sangat jelas,” katanya, sambil menambah bahawa Tampines mungkin boleh menang dengan kelebihan seorang pemain.
Abirami ialah pegawai perlawanan video Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), manakala Foo pengadil Fifa.
FAS berkata perkara itu akan ditangani secara dalaman dengan langkah pembetulan dilaksanakan.
Nakamura tidak akan dikenakan tindakan lanjut kerana tindakan selepas perlawanan hanya diambil bagi kes yang tidak dilihat atau ditangani ketika kejadian.

