Liga Perdana Singapura (SPL) kembali secara rasmi selepas musim 2024/25 mendebarkan yang menyaksikan lebih 600 gol dijaringkan.
Kempen 2025/26 bermula pada 23 Ogos, dengan Albirex Niigata menentang Balestier Khalsa di Stadium Jurong East, pada 7.30 malam.
Dengan ketiadaan Brunei DPMM yang menyertai Liga Super Malaysia (MSL), SPL akan menampilkan lapan kelab.
Mereka akan bersaing mengikut format triple round-robin iaitu mereka akan menentang satu sama lain tiga kali, dengan setiap pasukan bermain 21 perlawanan dari Ogos hingga Mei – mengikut kalendar bola sepak Eropah.
Musim 2025/26 bakal menyaksikan hampir semua kelab memperkuat skuad masing-masing dengan pemain import berkualiti tinggi.
Sebagai sebahagian usaha meningkatkan daya saing dan mutu liga domestik, kelab dibenarkan menurunkan sehingga tujuh pemain import dalam setiap perlawanan, meningkat daripada enam.
Ini merupakan jumlah tertinggi pemain import yang dibenarkan sejak SPL diperkenalkan pada 1996 – langkah yang sejajar dengan perubahan serupa dalam MSL.
Dari segi ganjaran kewangan, insentif turut ditingkatkan bagi menghargai pencapaian pasukan yang cemerlang sepanjang musim.
Juara liga akan menerima ganjaran $200,000, meningkat daripada $150,000 yang dimenangi Lion City Sailors musim lalu. Naib juara akan membawa pulang $150,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima $100,000 dan $70,000.
Berbeza dengan musim lalu, yang menyaksikan hanya empat pasukan teratas diberi ganjaran, musim ini pasukan di tempat kelima dan keenam juga akan menerima hadiah wang tunai $50,000 dan $30,000.
Pasukan bawah 22 tahun lelaki Singapura tidak tersenarai dalam senarai awal ke Sukan SEA 2025 di Thailand.
Ini merupakan kali pertama sejak 1977 Singapura tidak menghantar pasukan bola sepak lelaki ke Sukan SEA.
Menurut FAS, mereka akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) bagi mengubah keputusan tersebut.
Ini bermakna pasukan Young Lions akan terus bersaing dalam SPL musim ini, dan pemain tidak akan dilepaskan untuk temasya tersebut, memberikan mereka peluang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan dalam liga domestik.
Musim ini juga akan menyaksikan pelaksanaan beberapa perubahan peraturan penting demi meningkatkan tempo permainan.
Antaranya adalah hanya seorang pemain daripada setiap pasukan – lazimnya kapten – dibenarkan mendekati pengadil untuk berbincang, dan harus melakukannya sambil menjaga tatatertib.
Kapten bertanggungjawab menenangkan rakan sepasukan dan mengelakkan sebarang tindakan agresif terhadap pengadil. Pemain lain yang mengerumuni atau mencabar keputusan pengadil berisiko menerima amaran dan dilayangkan kad kuning.
Perubahan selainnya adalah pengadil kini akan mengambil kira sepenuhnya masa yang ‘hilang’ dalam setiap separuh masa.
Masa tambahan akan dikira dengan lebih tepat, termasuk gangguan seperti pemain membuang masa secara sengaja, semakan Video Pembantu Pengadil (VAR), sambutan gol, dan kecederaan.
Perkara ini dilaksanakan untuk memastikan keadilan dan permainan yang lebih lancar.
Ketiga adalah perubahan kepada penggantian akibat kecederaan gegaran otak.
Selaras dengan undang-undang Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), setiap pasukan dibenarkan membuat satu pertukaran tambahan jika berlaku gegaran otak.
Pertukaran ini boleh dilakukan tanpa mengira jumlah pertukaran biasa yang telah digunakan.
Apabila satu pasukan menggantikan pemain akibat gegaran otak, pasukan lawan turut dibenarkan membuat satu pertukaran tambahan atas sebarang sebab.
Keempat adalah penjaga gawang hanya dibenarkan lapan saat untuk memegang bola sebelum melepaskannya.
Jika penjaga gawang didapati melanggar peraturan ini, tendangan sudut akan diberi kepada pasukan lawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg