Pasukan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mula melakukan perubahan besar dengan melantik individu baru untuk menguruskan badan induk bola sepak tempatan.
Pada 1 September, FAS mengumumkan Badri Ghent – yang meletak jawatan sebagai pengarah sukan kelab juara Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors – kini dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS.
Jawatan itu merupakan posisi tertinggi dalam sekretariat FAS, dan pelantikan Badri dilihat sebagai langkah penting pertama oleh barisan kepimpinan baru FAS.
Presiden FAS dan hartawan teknologi, Forrest Li, bersama pasukannya telah dilantik untuk tempoh empat tahun pada April.
Badri, 36 tahun, menggantikan Chew Chun Liang, yang meletak jawatan.
Sebagai setiausaha agung, Badri bertanggungjawab terhadap operasi harian, pelaksanaan strategi dan dasar FAS, serta pelantikan ketua-ketua jabatan.
Dalam kenyataan media pada 1 September, FAS berkata Badri membawa bersamanya pengalaman luas dalam pengurusan dan operasi bola sepak, dan menyifatkan pelantikan itu sebagai sesuatu yang berlaku pada tempoh yang penting bagi bola sepak Singapura.
FAS turut merakamkan penghargaan kepada Chew atas sumbangannya sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Menurut Li, Badri mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam bola sepak Singapura dan memahami secara mendalam ekosistem bola sepak tempatan.
“Kami yakin bahawa kepimpinan Badri sebagai setiausaha agung akan membantu kami menggerakkan agenda majlis eksekutif, memperkukuh pasukan nasional, dan meningkatkan mutu bola sepak Singapura ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Walaupun pelantikan pengarah teknikal dan ketua jurulatih skuad nasional adalah di bawah bidang kuasa majlis eksekutif, Badri dijangka turut terlibat dalam pelantikan untuk kededua jawatan penting itu – yang kini menjadi keutamaannya.
Menurut The Straits Times, Badri dikenali sebagai seorang yang bijak mengurus dalam arena bola sepak tempatan.
Sebelum ini, beliau merupakan pengurus besar Lion City Sailors sebelum dinaikkan sebagai pengarah sukan pada 2022.
Pada 1 September, Lion City Sailors memberi penghormatan kepada Badri, dengan berkata beliau memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju kelab, di dalam dan luar padang.
“Dalam peranannya sebagai pengarah sukan, Badri menerajui strategi sukan kelab dan proses pengambilan pemain, sambil terus mengawasi hala tujunya yang lebih luas,” kata kelab itu di laman web mereka.
“Kami sedih dengan pemergiannya, namun berbangga kerana bola sepak Singapura kini akan meraih manfaat daripada kepakaran beliau.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg