Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata FAS dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) bersepakat untuk memandang ke hadapan demi masa depan sukan negara.
Persatuan itu juga bersedia mengetepikan ulasan ‘mengejutkan’ yang diutarakan Setiausaha Agung SNOC, Mark Chay, berhubung prestasi skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun di Sukan SEA baru-baru ini.
Ini selepas kededua FAS dan SNOC mengadakan pertemuan secara tertutup untuk membincangkan perkara itu.
Dalam sidang media pada 20 Disember di Bangkok, Thailand, Chay berkata skuad Singa bersikap dingin terhadap penyokong selepas tewas 1-3 kepada Timor-Leste di Stadium Rajamangala.
Kekalahan kepada Timor-Leste dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A itu disusuli dengan kekalahan 0-3 kepada pasukan tuan rumah, Thailand, sekali gus mengakhiri kempen pertandingan bola sepak Singa Muda di Sukan SEA.
Prestasi hambar skuad tersebut yang gagal layak ke separuh akhir – buat kali keenam berturut-turut – mencadangkan ada isu ‘sistemik’ yang mungkin belum ditangani FAS, ulas Chay.
Bercakap dalam sidang media di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember, Setiausaha Agung FAS, Badri Ghent, berkata FAS menganggap ulasan Chay itu sebagai “mengejutkan”.
Badri menambah beliau telah bertemu Chay dalam pertemuan SNOC dengan FAS baru-baru ini dan diberitahu oleh Chay bahawa beliau telah meninggalkan tempat duduknya di stadium itu awal selepas wisel penamat ditiup pengadil.
Justeru, Chay tidak berpeluang melihat pemain bola sepak negara memberi penghargaan kepada penyokong yang hadir di stadium tersebut, sebelum menuju ke bilik persalinan, kata Badri.
“Dalam perbincangan saya bersama Mark, kami akur Mark telah mengosongkan tempat duduknya selepas perlawanan dan tidak melihat apa yang berlaku di padang selepas itu.
“Kami bersedia untuk melupakan perkara ini kerana ia tidak membantu arena sukan Singapura secara umum,” ujar Badri.
Berita Harian (BH) telah meminta SNOC mengulas lebih lanjut
Sidang media yang diadakan di ibu pejabat FAS di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember itu turut disertai ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun, Firdaus Kassim; Naib Presiden FAS, Tan Li Yu; dan Anggota Jawatankuasa FAS, Yeong Sheau Shyan.
Mengulas berkenaan prestasi skuad bola sepak lelaki, Firdaus berkata kempen SEA Games kali ini “amat mengecewakan” dan memohon maaf atas prestasi anak didiknya.
“Saya bertanggungjawab atas keputusan yang dicatatkan dalam kempen (Sukan SEA) kali ini,” ujarnya.
Beliau menyifatkan pemilihan pemain yang ada pengalaman bermain bola sepak secara kerap dan di peringkat antarabangsa sebagai satu cabaran yang mungkin menyumbang kepada prestasi hambar dalam Sukan SEA kali ini.
Beliau memberi contoh tempoh bermain dalam perlawanan antarabangsa bagi skuad Sukan SEA pasukan Thailand dan Timor Leste – dua pasukan yang tergolong bersama Singapura dalam Kumpulan A – yang menurutnya “jauh berbeza”.
Menukil laman web statistik bola sepak transfermarkt, skuad Sukan SEA Thailand mencatatkan waktu permainan dalam perlawanan antarabangsa sebanyak 12,772 minit, manakala Timor Leste sebanyak 9,639 minit.
Ini jauh berbeza berbanding 3,562 minit yang dicatatkan pasukan Singa Muda.
“Mereka (pemain Singapura) mendapati ada beberapa babak yang amat mencabar dalam perlawanan (di Sukan SEA)... sebahagian besarnya kerana kurang pengalaman (di arena antarabangsa).
“Jika anda dapati, pasukan Singapura mencatatkan perangkaan (minit bermain dalam perlawanan antarabangsa) terendah berbanding pasukan-pasukan lain Asia Tenggara,” katanya.
Sungguhpun demikian, beliau berkata ini satu pendedahan bermakna bagi skuad termuda – usia purata skuad kali ini adalah 19.8 tahun – yang pernah FAS hantar ke Sukan SEA sejak lima edisi temasya sukan itu sebelum ini.
Justeru, Firdaus berkata bakat-bakat pemain ini masih boleh diasah untuk edisi Sukan SEA seterusnya.
Pasukan bawah 22 tahun pada mulanya tidak disertakan dalam kontinjen asal Team Singapore ke Bangkok dan hanya disertakan seleaps ia mengemukakan rayuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg