Jangan patah semangat dan terus berusaha memperbaiki diri, kerana kami sentiasa memantau pembangunan anda.
Demikian mesej ketua jurulatih pasukan bola sepak Singapura, Gavin Lee, kepada pasukan bawah-22 (U-22) tahun atau dikenali dengan gelaran Singa Muda, yang mewakili negara di Sukan Asia Tenggara di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Gavin, yang ditemu bual dalam podcast berita dan ehwal semasa Berita Harian (BH), BHerbual, pada 23 Disember, menegaskan bahawa prestasi kurang memberangsangkan skuad bawah-22 tahun di Sukan SEA itu tidak menjejas potensi pemain muda tersebut untuk beraksi di peringkat senior.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa pasukan jurulatih pasukan kebangsaan terus memantau perkembangan pemain U-22 secara berterusan, dengan penilaian dibuat dalam jangka masa panjang dan bukan berdasarkan beberapa perlawanan atau satu kejohanan sahaja.
Menurut Lee, beberapa pemain U-22 pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebelum ini dan sudah memahami pendekatan serta jangkaan yang ditetapkan.
Justeru, yang penting ialah mereka terus gigih berlatih memperbaiki kelemahan mereka.
“Kami sentiasa memerhati dan memantau mereka. Penilaian tidak dibuat hanya berdasarkan satu kejohanan atau beberapa perlawanan. Proses ini berterusan dan pintu ke skuad kebangsaan sentiasa terbuka kepada pemain yang menunjukkan peningkatan,” katanya.
Mengulas kritikan dan reaksi di media sosial selepas kempen Sukan SEA, Lee turut memberi peringatan kepada pemain muda agar bijak mengurus tekanan luaran.
Katanya, dalam era digital, para pemain perlu menerima hakikat bahawa media sosial membawa pujian dan kecaman, dan terpulang kepada individu untuk menentukan sejauh mana pengaruh luaran itu memberi kesan kepada prestasi mereka.
Sambil mendedahkan bahawa beliau telah berbual secara peribadi dengan beberapa pemain, Lee berkata:
“Keutamaan pemain dan jurulatih adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya, dan sentiasa berusaha menjadi versi terbaik diri masing-masing. Segala komen di luar itu adalah faktor luaran.”
Lee juga diminta mengulas kritikan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Mark Chay, sebelum ini yang menyifatkan prestasi pasukan U-22 sebagai mengecewakan dan tidak profesional, lebih-lebih lagi dalam kekalahan di tangan Timor Leste.
Jurulatih itu enggan mengulas kritikan tersebut, tetapi berkata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai sebuah organisasi akan memberi respons.
Difahamkan FAS akan mengadakan sidang akhbar akhir minggu ini.
Gavin bagaimanapun berkata penilaian terhadap skuad U-22 dibuat secara adil dan menyeluruh, sambil menegaskan bahawa pengalaman pahit di pentas serantau juga merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembentukan mental pemain muda.
Beliau menekankan pentingnya mendengar pandangan pihak yang terlibat sebelum membuat sebarang kesimpulan, sambil mengingatkan bahawa reaksi terburu-buru hanya akan menambah tekanan kepada atlet muda.
Singa Muda menamatkan kempen bola sepak Sukan SEA di Thailand tanpa menang sebarang permainan dan selepas hanya menjaringkan satu gol. Ia tewas kedua-dua perlawanan kumpulan, 3-1 kepada Timor-Leste dan 0-3 kepada Thailand.
Keputusan yang mengecewakan itu bermakna Singa Muda gagal mara ke pusingan selanjutnya buat enam edisi Sukan SEA berturut-turut.
Ia mendorong Chay menggesa FAS supaya akur ada isu yang perlu ditangani dan kegagalan berbuat demikian mencadangkan kewujudan masalah sistemik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg