Topik diikuti
Pergi ke BHkuFifa mohon maaf atas kesilapan isu jualan hak komersial berkaitan Piala Dunia
Infantino hadapi kritikan kian hebat terhadap kepimpinannya jelang pemilihan presiden pada 2027
RABAT (Maghribi): Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) memohon maaf kepada persatuan-persatuan anggota atas kesilapan yang dilakukan berhubung cadangan penjualan hak komersial berkaitan Piala Dunia yang dibatalkan.
Permohonan itu dibuat ketika kepimpinan badan induk berkenaan menegaskan semula sokongan mereka terhadap Presiden Fifa, Gianni Infantino, selepas satu mesyuarat krisis di Rabat, Maghribi, pada 5 Ogos.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Infantino, Setiausaha Agung Fifa, Mattias Grafstrom, serta ahli lembaga pengurusan Fifa.
Menyusuli mesyuarat tersebut, badan itu menyatakan bahawa kepimpinannya terus memberikan sokongan penuh kepada presiden itu, sambil mengakui bahawa pengendalian cadangan ‘Fifa Forward Enterprise’ yang ditarik balik itu sepatutnya diuruskan dengan lebih baik.
Dalam satu kenyataan, Fifa memaklumkan bahawa satu surat berasingan telah dihantar kepada ahli Majlis Fifa dan 211 persatuan anggota bagi memohon maaf atas kesilapan berkenaan serta berjanji untuk membuat semakan semula.
Dengan penarikan balik cadangan tersebut, Fifa “tidak lagi akan berkompromi terhadap sebarang serangan ke atas integriti, tadbir urus dan proses pengadilan”, serta akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mempertahankan nama baiknya, tambah kenyataan tersebut.
Kenderaan yang dipercayai membawa Infantino dan Grafstrom dilihat meninggalkan pejabat Fifa cawangan Afrika di Sale, Maghribi, selepas mesyuarat berkenaan.
Perjumpaan itu diadakan di tengah-tengah kritikan yang kian meningkat terhadap kepimpinan Infantino menjelang pilihan raya presiden badan itu pada 2027.
Ia turut diadakan menyusuli penarikan balik cadangan minggu lalu untuk menjual 20 peratus pegangan dalam satu entiti hak komersial baharu kepada pelabur privet, menerusi satu urus niaga yang sepatutnya menjana sekitar AS$4.2 bilion ($5.4 bilion) bagi pembangunan bola sepak.
Cadangan tersebut turut menarik perhatian ramai pihak berikutan penglibatan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Cadangan itu mencetuskan kritikan besar daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) serta pihak berkepentingan lain.
Permohonan maaf berkenaan memperlihatkan pengakuan Fifa bahawa kesilapan telah berlaku dalam pengendalian cadangan entiti hak komersial baharu itu, sekali gus menjadi cabaran paling serius terhadap kepimpinan Infantino sejak beliau memegang jawatan presiden pada 2016.
Isu berkenaan mencetuskan gelombang kritikan hebat daripada Uefa, beberapa persatuan anggota serta pegawai kanan Fifa berhubung isu tadbir urus dan proses perundingan.
Keputusannya untuk menarik balik cadangan itu pada 31 Julai tidak banyak membantu meredakan kritikan, dengan Uefa mengatakan beliau telah “menjual jiwa” sukan bola sepak, serta menyatakan keyakinan mereka terhadap kepimpinan beliau kini telah lenyap.
Perkembangan itu sekali gus menjejaskan peluang Infantino untuk dipilih semula bagi penggal keempat pada Kongres Fifa di Maghribi pada Mac 2027, walaupun kedudukannya kelihatan kukuh dua bulan lalu.
Selain kehilangan sokongan daripada persekutuan-persekutuan Eropah, presiden kelahiran Switzerland-Italy itu turut berdepan tentangan dalaman yang menjejas kedudukannya.
Ini berikutan tindakan Grafstrom yang meluahkan rasa kesal terhadap “siri peristiwa yang menyedihkan dan tidak wajar” menerusi satu memo dalaman kepada kakitangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Fifa, Kevin Lamour, berkata kakitangannya telah “diperdaya” berhubung pelan berkenaan yang disifatkannya sebagai projek seorang individu semata-mata.
Penasihat Kanan Infantino, Carlos Cordeiro, turut meletakkan jawatan minggu lalu sebagai tanda bantahan terhadap cadangan projek berkenaan.
Arsene Wenger, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Fifa, menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam penggubalan cadangan tersebut, dan menyifatkan keputusan untuk menarik balik usul itu sebagai “sesuatu yang amat diperlukan”.
Bekas bintang Portugal, Luis Figo, yang pernah berhasrat untuk bertanding bagi jawatan Presiden Fifa pada 2015, berkata Infantino sepatutnya meletakkan jawatan menyusuli kemelut itu, manakala Naib Presiden Uefa, Laura McAllister, menyatakan bahawa kontroversi penarikan balik cadangan berkenaan telah meletakkan kepimpinan Presiden Fifa itu dalam krisis meruncing.
Infantino telah menghabiskan masa seminggu yang lalu di Maghribi, negara yang akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 dan yang persatuan bola sepaknya telah mengumumkan sokongan berterusan terhadap beliau.
Pertemuan itu dilihat secara meluas sebagai satu usaha untuk memperkukuh sokongan terhadap Infantino dan memastikan beliau keluar daripada krisis tersebut dengan sokongan yang mencukupi untuk kekal sebagai calon pilihan bagi pemilihan semula pada bulan Mac.
Infantino sentiasa mendapat sokongan padu daripada luar kawasan tumpuan tradisi sukan tersebut, iaitu di mana persatuan bola sepak yang serba kekurangan bergantung pada bantuan kewangan Fifa untuk beroperasi.
Namun, Liga Eropah, yang mewakili lebih daripada 1,300 kelab di seluruh Eropah, menyatakan bahawa Fifa tidak seharusnya dibenarkan untuk “terus membuat keputusan secara sepihak yang membawa gangguan” dan menjejaskan kelab, pemain serta peminat.
Pihak itu juga mengkritik “tempoh penilaian yang terlalu singkat dan tidak praktikal” selama empat minggu yang diberikan oleh Fifa untuk mengkaji rancangan memperluaskan Piala Dunia daripada 48 kepada 64 pasukan bagi edisi 2030. – Reuters.
