Topik diikuti
Pergi ke BHkuSokongan terhadap Infantino semakin terhakis selepas pelan Fifa gagal
Sokongan terhadap Infantino semakin terhakis selepas pelan Fifa gagal
Sokongan terhadap Infantino semakin terhakis selepas pelan Fifa gagal
NEW YORK: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, berusaha mendapatkan sokongan pentadbiran Trump ketika dihujani kecaman yang semakin memuncak susulan rancangan menjual pegangan dalam hak perniagaan Piala Dunia, lapor New York Post pada 3 Ogos, memetik sumber yang mengetahui perkara itu.
Akhbar itu melaporkan Infantino berulang kali cuba tetapi gagal menghubungi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melalui telefon sejak cadangan itu gagal diteruskan pada 31 Julai. Ketua Fifa itu berasa “terasing” akibat laporan media yang mengecamnya secara bertubi-tubi.
Fifa tidak memberikan sebarang komentar.
Kecaman semakin memuncak terhadap rancangan Infantino yang gagal memisahkan aset perniagaan badan pentadbir bola sepak dunia itu ke dalam syarikat baharu yang disokong pelabur swasta.
Rancangan Fifa untuk memperoleh sehingga AS$4.2 bilion ($5.4 bilion) daripada pelabur swasta menerusi penjualan hampir 20 peratus pegangan dalam syarikat baharu yang akan menguruskan pertandingan termasuk Piala Dunia akhirnya ditarik balik pada 31 Julai selepas mendapat tentangan hebat daripada pihak berkepentingan.
Selepas rancangan itu dibatalkan, perhatian kini beralih kepada kesannya terhadap Infantino, yang pencalonannya bagi satu lagi penggal sebagai presiden Fifa bagi tempoh 2027 hingga 2031 kini diteliti lebih rapi berikutan kegagalan usaha itu.
Badan induk bola sepak England menarik balik sokongan terhadap pemilihan semula Infantino, lapor The Athletic pada 3 Ogos.
Persatuan Bola Sepak (FA) England melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Infantino selepas percubaannya yang gagal menjual 21 peratus pegangan dalam operasi perniagaan dan acara Fifa kepada pelabur swasta.
“Sudah tiba masanya untuk semakan penuh dan menyeluruh terhadap kepimpinan serta tadbir urus Fifa bagi memastikan bola sepak dunia ditadbir secara telus demi manfaat semua 211 negara anggota, dengan pemeliharaan jangka panjang sukan itu sebagai keutamaan,” menurut kenyataan FA.
Infantino menyandang jawatan itu sejak Februari 2016, dan dijangka bertanding semula tahun depan (2027) selepas menang tanpa bertanding pada 2019 dan 2023.
Persatuan bola sepak Wales dan Serbia turut mengumumkan pada 3 Ogos bahawa mereka secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Infantino.
“Kami ingin mengingatkan bahawa kami memberikan sokongan bertulis kepada Encik Infantino pada 25 Mei tahun ini (2026), namun selepas mempertimbangkan peristiwa yang menjejaskan reputasi Fifa dan presidennya secara serius sejak kebelakangan ini, inilah satu-satunya tindakan yang logik dan munasabah,” kata Persekutuan Bola Sepak Serbia (FSS) dalam kenyataan.
Pencalonan bagi mencabar Infantino mesti dikemukakan selewat-lewatnya pada 18 November. Presiden Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) yang juga naib presiden Fifa, Victor Montagliani, dijangka menawarkan diri bertanding. – Agensi berita.