Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Foden cemerlang, bantu Man City tundukkan Dortmund

Layak dipertimbangkan untuk sertai pasukan nasional England semula
Nov 6, 2025 | 3:53 PM
Foden, Man City, Phil Foden
Pemain tengah Manchester City, Phil Foden, meraikan jaringan beliau menentang Borussia Dortmund. Beliau menjaringkan dua gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara itu untuk membantu City menewaskan Dortmund 4-1. - Foto REUTERS

LONDON: Dua jaringan hebat Phil Foden dalam kemenangan bergaya Manchester City 4-1 ke atas Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara pada 6 November bukan sekadar menunjukkan kekuatan pasukannya.

Malah, ini mungkin menjadi peringatan tepat pada masanya buat pengurus England, Thomas Tuchel.

Pengurus City, Pep Guardiola, memuji pemain berusia 25 tahun itu, yang melalui musim sukar pada 2024 tetapi kini dilihat kembali bertenaga.

Beliau turut menyatakan keyakinan beliau bahawa Foden – yang tidak beraksi untuk pasukan nasional England sejak Mac lalu – layak ditimbangkan untuk kembali ke skuad Tuchel.

Tuchel dijangka mengumumkan senarai pemainnya minggu depan bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Serbia pada 14 November dan Albania pada 17 November.

Ditanya sama ada persembahan Foden itu boleh membuka peluangnya kembali ke skuad England, Guardiola menyuarakan keyakinan beliau terhadap kebolehan Foden tetapi akui perbezaan bola sepak antarabangsa dan kelab.

“Thomas seorang yang sangat bijak dan tahu apa yang pasukan nasional perlukan,” katanya.

“Beliau tahu tahap kemampuan Phil. Tapi bola sepak antarabangsa berbeza, masa untuk bersama pasukan sangat singkat, jadi membina keserasian bukan mudah.

Apabila ditanya sama ada Foden kini sudah kembali ke prestasi terbaik, Guardiola tersenyum.

“Beliau sudah pun sampai ke tahap itu. Apabila Phil berada di prestasi terbaik, bermain di antara ruang dan garisan pertahanan lawan, dengan sentuhan pertama dan gerakannya yang tajam, beliau jadi pemain luar biasa.”

“Selagi beliau gembira dan bermain dengan penuh semangat, tidak banyak yang perlu saya katakan lagi,” ujar Guardiola.

Foden sendiri mengakui beliau kini benar-benar menikmati bola sepaknya.

“Saya hanya perlu bermain dengan senyuman, dan itulah yang saya lakukan sekarang,” katanya kepada media.

“Apabila melalui masa sukar, anda banyak belajar. Kami ada ketua pasukan yang hebat dan sering berbincang bagaimana untuk kembali ke rentak kemenangan.

“Kami juga tambah beberapa pemain baru yang membawa semangat dan keazaman tinggi.”

Erling Haaland, yang dilantik sebagai kapten, menunjukkan contoh kepimpinan dengan menjaringkan gol ke-27 musim ini untuk kelab dan negaranya – tanpa belas kasihan terhadap bekas pasukannya Dortmund.

Dortmund menjaringkan gol sagu hati menerusi jaringan lewat Waldemar Anton, namun Rayan Cherki melengkapkan malam gemilang City dengan gol keempat pada masa kecederaan.

Guardiola turut menyifatkan persembahan cemerlang Foden itu hadir tepat pada waktunya menjelang pertemuan besar menentang juara bertahan Liga Perdana England (EPL), Liverpool, pada 10 November.

“Sebelum perlawanan besar nanti, sangat penting untuk dapatkan Phil kembali ke tahap terbaik,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg