MANCHESTER: Manchester City telah menandatangani pemain tengah Porto, Nico Gonzalez, dengan harga 49.8 juta paun ($80 juta), menjadikan perbelanjaan perpindahan pemain bagi Januari mereka sebanyak 172.3 juta paun.
Ia adalah perbelanjaan kedua terbesar dalam sejarah tempoh perpindahan bagi Januari di seluruh dunia, hanya di belakang perbelanjaan Chelsea sebanyak 274 juta paun pada 2023.
Gonzalez merupakan pemain kelima City dalam tempoh perpindahan ini dan telah menandatangani kontrak selama empat setengah tahun.
Pemain berusia 23 tahun dari Sepanyol ini memulakan kerjayanya dengan Barcelona pada 2019 dan menyertai Porto pada Julai 2023.
Gonzalez telah menjaringkan sembilan gol serta ‘assist’ sembilan gol dalam 68 penampilan untuk Porto dengan pasukannya itu berjaya memenangi Piala Portugal musim lalu.
“Ini adalah peluang terbaik untuk kerjaya saya,” kata Gonzalez.
“Saya berusia 23 tahun dan saya mahu menguji kemampuan diri saya di England.
“Tiada kelab yang lebih baik daripada Manchester City untuk saya lakukan itu,” tambahnya lagi.
City menduduki tangga kelima dalam Liga Perdana England (EPL), ketinggalan 15 mata di belakang pasukan yang menduduki tempat teratas EPL, Liverpool, selepas kekalahan 5-1 mereka kepada Arsenal pada 3 Februari.
Mereka telah kehilangan Ballon d’Or, Rodri, di bahagian tengah pasukan itu, sejak beliau mengalami kecederaan lutut yang serius pada September.
Pada 31 Januari, Gonzalez menjaringkan gol tunggal untuk Porto dalam kemenangan 1-0 ketika menentang Maccabi Tel Aviv di Liga Eropah.
Kemenangan itu membantu Porto mara ke peringkat seterusnya.
“Saya tahu reputasi Pep [Guardiola] dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya.
“Sebenarnya, saya berasa terharu beliau mahu saya bermain dalam pasukannya,” tambah Gonzalez.
City telah membeli penyerang Mesir, Omar Marmoush; pemain pertahanan Brazil, Vitor Reis; pemain pertahanan Uzbekistan, Abdukodir Khusanov dan pemain pertahanan Sierra Leone, Juma Bah, yang telah dipinjamkan ke Lens.
Pembelian Gonzalez oleh City adalah contoh terbaru hubungan berterusan kelab itu dengan Barcelona.
Pemain berusia 23 tahun itu merupakan graduan akademi Barcelona, dan membuat penampilan seniornya pada 2021.
Beliau membuat 37 penampilan dalam pasukan utama Barcelona sebelum menghabiskan musim 2022-23 di Valencia secara pinjaman.
Pada Julai 2023, beliau menyertai Porto dalam perpindahan bernilai kira-kira 7 juta paun.
Di Porto, Gonzalez telah bermain di tengah bersama satu lagi pemain, di mana beliau akan bermain lebih ke depan, menjaringkan lima gol dan ‘assist’ lima gol dalam 17 perlawanan liga musim ini.
“Beliau seorang pemain yang serba boleh, beliau boleh bermain di posisi defensif tetapi beliau lebih berkesan lebih ke depan, terutama apabila memecah masuk ke dalam kotak penalti,” kata pengasas PortuGOAL, Tom Kundert.
Bahagian tengah City mendapati sukar tanpa Rodri yang cedera, dengan kekurangan kekuatan fizikal yang jelas kelihatan semasa kekalahan 5-1 kepada Arsenal pada 3 Februari.
Gonzalez yang mempunyai ketinggian 1.88 meter boleh membantu dalam aspek itu, walaupun beliau bukan pemain tengah yang dikenali dengan kekuatan fizikalnya dan bukan pengganti Rodri. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg