Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forest pamer prestasi luar biasa, kini bersaing untuk kelayakan Eropah

Daripada menduduki tempat ke-17 musim lalu, kini di tempat ketiga
Jan 7, 2025 | 3:12 PM
Pemain Nottingham Forest, Chris Wood (tengah) meraikan gol kedua kelab itu bersama Morgan Gibbs-White (kiri) dan Neco Williams (kanan) dalam perlawanan menentang Wolverhampton di Stadium Molineux pada 7 Januari. Wood, pemain utama Forest, berjaya menjaringkan 12 gol dalam 20 perlawanan Liga Perdana England.
Pemain Nottingham Forest, Chris Wood (tengah) meraikan gol kedua kelab itu bersama Morgan Gibbs-White (kiri) dan Neco Williams (kanan) dalam perlawanan menentang Wolverhampton di Stadium Molineux pada 7 Januari. Wood, pemain utama Forest, berjaya menjaringkan 12 gol dalam 20 perlawanan Liga Perdana England. - Foto REUTERS

WOLVERHAMPTON (England): Apabila Nottingham Forest menentang Liverpool di City Ground pada 15 Januari dalam Liga Perdana England (EPL), ia akan menjadi perlawanan antara pasukan terbaik dalam musim ini – sesuatu yang tiada siapa boleh jangkakan pada Ogos lalu.

Pasukan Nuno Espirito Santo berada enam mata di belakang Liverpool selepas kemenangan 3-0 ke atas Wolverhampton pada 7 Januari.

Perlawanan pada 15 Januari hanya akan meningkatkan perbincangan mengenai siapa yang akan memiliki kejuaraan musim ini.

Daripada menduduki tempat ke-17 musim lalu, di tengah-tengah kekecohan atas isu luar padang dan potongan empat mata akibat melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan, Nuno telah mengubah pasukan itu.

Kini, soalan mengenai kelayakan mereka untuk merebut gelaran menjadi perbualan – bukti keadaan tenang di Forest dan keupayaan Nuno untuk mengatasi ancaman ke atas pasukannya.

Walaupun hanya bergurau, pengurus itu menyindir dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Molineux bahawa beliau tidak akan melihat carta EPL kini dengan kedudukan Forest di tangga ketiga, hanya di belakang Arsenal dengan perbezaan gol.

“Saya tidak tahu, mungkin pada akhir musim saya akan melihatnya. Saya berjanji kepada anda semua, saya akan melakukannya,” katanya.

“Kami cuba membina sesuatu yang baik bersama-sama. Kami perlu menikmati perjalanan, tiada perkara lain yang penting. Kedudukan EPL itu tidak penting. Kami teruskan sahaja.”

Pengurus asal Portugal itu tidak akan dapat mengalihkan perhatian atau soalan itu tidak lama lagi.

Ditanya secara langsung mengenai perlawanan Liverpool, beliau merujuk kepada kunjungan Luton pada pusingan ketiga Piala FA pada 11 Januari.

“Saya minta maaf kerana tidak menjawab soalan anda, tetapi inilah realitinya. Kami mesti bersedia dengan baik untuk perlawanan seterusnya itu,” katanya.

“Piala FA itu penting dan ia adalah peluang baik untuk kami dari segi skuad.

“Kami boleh memberikan peluang di padang kepada pemain, kerana ia adalah musim yang sangat panjang dan kami memerlukan semua pemain untuk diberi peluang (bermain di padang).

“Mereka perlu mempunyai kecergasan dan rentak semasa bermain. Jadi pertama, Luton.”

Hanya Forest yang mampu menewaskan Liverpool dalam EPL musim ini dan sekiranya mereka melakukannya sekali lagi ke atas pasukan Arne Slot, ia akan menjadi lebih daripada sekadar pernyataan niat untuk merangkul kejuaraan.

“Jika mereka menewaskan Liverpool mereka berada dalam posisi untuk merebut takhta juara,” kata bekas pemain pertahanan kelab tersebut, Jamie Carragher, di Sky Sports.

“Apa yang saya akan katakan sekarang adalah jika Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diberi kepada kedudukan lima teratas, mereka mempunyai satu peluang yang hebat.”

Peminat Forest kini berani mengimpikan kembalinya mereka ke Eropah buat kali pertama sejak musim 1995-96, dengan kelayakan UCL kini kemungkinan yang amat realistik.

Mereka berada lima mata di atas Newcastle di tempat kelima, enam mata di depan Manchester City.

“Ia akan menjadi sangat luar biasa,” kata pemain tengah Morgan Gibbs-White, yang menjaringkan gol pembukaan Forest menentang bekas kelabnya.

“Akan ada segelintir peminat yang mungkin boleh mengalaminya dua kali. Untuk memberi mereka peluang untuk mengalaminya sekali lagi adalah perkara yang kami mahu lakukan sebagai sebuah kelab.

“Pemilik (kelab) percaya akannya, kami percaya akannya. Kami hanya perlu menerimanya dengan perlawanan demi perlawanan dan tidak mendahului diri kami sendiri. Tetap tenang dan tetap rendah hati.”

Pengurus England, Thomas Tuchel, yang berada di Molineux, pasti kagum dengan kecekapan Forest dan keupayaan taktikal mereka terhadap pasukan tuan rumah.

Gibbs-White membuat penampilan sulung seniornya di bawah pengurus sementara, Lee Carsley, pada September.

Beliau akan menjadi pesaing kuat untuk tempat utama dalam skuad pertama Tuchel, apabila England menentang Albania dan Latvia dalam kelayakan Piala Dunia pada Mac.

Pemain tengah itu berkata:

“Saya tidak tahu pun beliau berada di sini. Saya hanya fokus pada bola sepak peringkat kelab. Kita akan lihat apa yang berlaku apabila Mac tiba. Tetapi sekarang saya tahu (Tuchel berada di sini), terpancar senyuman di wajah saya.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg