Hampir lima tahun sudah berlalu sejak Arsenal kali terakhir menjulang piala, tetapi tonggak pertahanan mereka, Gabriel Magalhaes, yakin bahawa musim akan datang akan menjadi titik perubahan bagi kelab itu.
Pemain pertahanan tersebut baru-baru ini menandatangani kontrak yang akan mengekalkan beliau di kelab Liga Perdana England (EPL) itu sehingga 2029.
Beliau berkata dalam sesi temu bual sebelum perjalanan ke pramusim Arsenal ke Singapura bahawa kempen musim depan akan “berbeza” dan beliau gembira dengan pemain-pemain yang baru ditandatangani kelab itu.
Arsenal tiba di Singapura pada 20 Julai untuk memulakan persiapan pramusim mereka dengan dua perlawanan persahabatan sebagai sebahagian daripada Festival Bola Sepak Singapura.
Di Stadium Negara, pasukan bimbingan Mikel Arteta akan berdepan dengan pasukan gergasi bola sepak Italy, AC Milan, pada 23 Julai, sebelum mengadakan sesi latihan terbuka di tempat yang sama dua hari kemudian.
Kemudian, pasukan Gunners akan berdepan pula dengan pasukan EPL Newcastle United pada 27 Julai, lapor The Straits Times.
“Saya sudah bersama kelab ini selama lima tahun, dan saya sudah saksikan bagaimana kelab ini telah meningkat,” kata Gabriel, pemain pertahanan berusia 27 tahun.
“Kami telah melepaskan beberapa peluang untuk mendapatkan piala sejak kebelakangan ini. Ada yang kami hampir menangi, tapi saya rasa musim depan, keadaan akan berbeza. Saya sangat yakin.”
Pada musim 2024-25, Arsenal – sama seperti apa yang mereka lakukan musim sebelumnya – berpotensi menjadi juara EPL, namun akhirnya kecundang pada beberapa perlawanan terakhir.
Gunners mengakhiri EPL musim lalu pada tempat kedua, 10 mata di belakang juara, Liverpool.
Mereka juga disingkirkan pada pusingan ketiga di Piala FA dan di peringkat separuh akhir kededua Piala Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dan Liga Juara-Juara.
Di bawah bimbingan Arteta, Arsenal telah mempamerkan kemajuan tetapi ia belum membuahkan sebarang piala utama, dengan kejuaraan Piala FA merupakan satu-satunya piala sejak beliau mula bertugas pada Disember 2019.
Apabila ditanya tentang apa yang ‘masih kekurangan’, Gabriel menekankan bahawa ia bukan kerana tiada usaha gigih.
“Saya rasa ada beberapa detik-detik malang, tetapi kami semua percaya kami boleh mendapatkan kejuaraan utama. Pramusim sudah bermula dan kami fokus dengan apa yang dimahukan pengurus dan melakukan apa yang kami patut lakukan, agar dapat pertingkatkan prestasi kami.”
Arsenal juga telah mempamerkan keinginan kuat dalam pasaran mendapatkan pemain.
Mereka telah menandatangani pemain midfield, Martin Zubimendi, daripada Real Sociedad, dalam pembelian yang dilaporkan bernilai sekitar £55 juta ($95.6 juta), membayar £10 juta untuk mendapatkan kapten Brentford, Christian Norgaard, dan juga mendapatkan khidmat pemain sayap England, Noni Madueke, daripada Chelsea dengan pembelian bernilai £48 juta.
Penyerang berbahaya Sweden dan juga Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres, yang telah menjaringkan 54 gol musim lalu, juga dikhabarkan bakal menyertai Gunners dalam pembelian yang dilaporkan bernilai lebih 70 juta euro ($104.6 juta).
Tiket untuk Festival Bola Sepak Singapura boleh dibeli melalui laman Ticketek Singapore.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg