Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal, Newcastle dan AC Milan bakal beraksi di S’pura

Apr 11, 2025 | 6:56 PM
Beberapa bekas pemain kelab gergasi bola sepak Eropah termasuk (dari kiri) bekas pemain pertahanan Arsenal, Bacary Sagna; bekas pemain tengah AC Milan, Serginho; dan bekas penjaga gawang Newcastle, Shay Given; melancarkan Festival Bola Sepak di hotel Pan Pacific Singapore, pada 11 April.
Beberapa bekas pemain kelab gergasi bola sepak Eropah termasuk (dari kiri) bekas pemain pertahanan Arsenal, Bacary Sagna; bekas pemain tengah AC Milan, Serginho; dan bekas penjaga gawang Newcastle, Shay Given; melancarkan Festival Bola Sepak di hotel Pan Pacific Singapore, pada 11 April. - Foto ST

Peminat bola sepak setempat berpeluang menyaksikan aksi perlawanan yang menghiburkan apabila gergasi Liga Perdana England (EPL) iaitu Arsenal dan Newcastle, serta kelab Italy AC Milan berkunjung ke Singapura untuk Festival Bola Sepak yang akan bermula pada 23 Julai.

Dalam sidang media pada 11 April, penganjur bersama acara tersebut TEG Sport, syarikat hiburan siaran langsung antarabangsa yang berasal dari Australia; dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengumumkan kerjasama baru selama lima tahun.

Kerjasama itu akan menyaksikan kelab terkemuka Eropah bermain di Singapura pada 2025, 2027 dan 2029.

“Kami berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan Festival Bola Sepak ke Singapura pada Julai ini... Acara tersebut akan memeriahkan lagi senarai kegiatan kami tahun ini dan mengukuhkan tarikan Singapura sebagai destinasi yang mesti dilawati,” kata Ketua Eksekutif STB, Cik Melissa Ow.

Dalam edisi 2025, Arsenal akan menentang AC Milan pada 23 Julai, sebelum berdepan juara Piala Liga, Newcastle, pada 27 Julai.

Festival Bola Sepak Singapura kali terakhir dianjurkan pada Julai 2023, yang menyaksikan Liverpool, Tottenham Hotspur, Leicester City dan gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich, bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Bayern menewaskan Liverpool 4-3 di Stadium Negara di hadapan 49,983 penonton ketika itu, manakala pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, tewas 1-5 kepada Spurs di stadium yang sama dengan disaksikan 25,095 penonton.

Ini kunjungan pertama Milan ke Singapura, manakala kali terakhir Arsenal datang ialah pada 2018 untuk Piala Juara Antarabangsa, yang menyaksikan mereka berdepan Paris Saint-Germain dan Atletico Madrid.

“Skuad utama kami menikmati kunjungan ke Singapura pada 2015 dan 2018, dan mencipta beberapa kenangan indah bermain di Stadium Negara yang mengagumkan.

“Kunjungan itu akan memberi peluang kepada kami berhubung dengan penyokong kami di rantau ini.

“Dan perlawanan menentang AC Milan dan Newcastle United menjanjikan dua perlawanan yang menarik, yang akan menjadi wadah bagi persiapan bermutu tinggi menjelang musim baru,” kata Pengaruh Urusan Arsenal, Richard Garlick.

Kali terakhir Newcastle bermain di Singapura ialah pada 1996 dan ia menyaksikan mereka menentang pasukan Bintang Liga-S.

Walaupun pasukan Singapura kalah 0-5, lebih 50,000 penonton dapat menyaksikan bintang-bintang Newcastle beraksi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg