Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gagal menyerlah, tapi England tahu kunci untuk menang

Anak buah Southgate atasi ‘badi’ tendangan penalti untuk tempah tempat dalam separuh akhir
Jul 7, 2024 | 1:19 PM
Bukayo Saka (empat dari kiri) meraikan kemenangan England menerusi penentuan penalti bersama rakan sepasukannya selepas menyingkirkan Switzerland pada suku akhir Euro 2024 di Duesseldorf Arena, Duesseldorf
Bukayo Saka (empat dari kiri) meraikan kemenangan England menerusi penentuan penalti bersama rakan sepasukannya selepas menyingkirkan Switzerland pada suku akhir Euro 2024 di Duesseldorf Arena, Duesseldorf - Foto AFP

DUESSELDORF (Jerman): England terus memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 58 tahun selepas menewaskan Switzerland 5-3 menerusi penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir Euro 2024 pada 6 Julai.

Selepas 120 minit berakhir dengan kedudukan 1-1, penjaga gol England, Jordan Pickford menjadi wira skuad The Three Lions itu dalam penentuan penalti, apabila beliau berjaya menyelamatkan sepakan penalti pertama Switzerland oleh Manuel Akanji.

Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney dan Trent Alexander-Arnold menjaringkan penalti masing-masing untuk membawa England ke pusingan separuh akhir.

Pasukan England akan bertemu Belanda dalam perlawanan separuh akhir di Dortmund pada 10 Julai.

England sekali lagi hampir mengalami kekalahan dengan perlawanan berbaki 10 minit.

Perlawanan yang agak membosankan sepanjang 75 minit pertama itu menjadi hangat selepas Breel Embolo menjaringkan gol dan meletakkan pasukan Switzerland di hadapan.

Rembatan pemain England, Bukayo Saka dari luar kotak penalti pula menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Separuh masa kedua berakhir dengan keputusan 1-1 hingga wisel penamat untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Sepakan cantik Declan Rice hampir menggandakan jaringan buat England pada minit ke-93 tetapi penjaga gol Switzerland, Yan Sommer cemerlang menafikan percubaan itu.

Dalam pada itu, percubaan pemain gantian, Xherdan Shaqiri, daripada sepakan sudut hampir membawa Switzerland ke peringkat separuh akhir tetapi hanya sekadar menggegar gawang gol pasukan England.

Perlawanan masa tambahan terikat 1-1 selepas kededua pasukan itu tidak berjaya menambah jaringan dan membawa ke penentuan sepakan penalti.

Akanji menjadi satu-satunya pemain Switzerland yang gagal menjaringkan gol melalui sepakan penalti, menyebabkan England melakar kemenangan 5-3 dan mara ke peringkat seterusnya.

Kegagalan tersebut juga menyebabkan rekod buruk Switzerland dalam suku akhir kejohanan utama berterusan.

Pasukan Switzerland sudah tewas lima kali tanpa pernah mara ke separuh akhir.

Sebaliknya, England mara ke separuh akhir walaupun para pemain anak buah Gareth Southgate itu menunjukkan satu lagi persembahan kurang memberangsangkan.

“Kami tahu ada dua lagi perlawanan, kami boleh mengubah hidup kami dan mencipta lebih banyak sejarah yang belum pernah dicapai sebelum ini,” ujar pemain terbaik perlawanan itu, Saka.

Dalam perlawanan ke-100 yang diuruskan beliau, Southgate sekali lagi menolak pandangan untuk membuat perubahan besar-besaran dalam barisan pemain.

England hanya menang sekali dalam lima perlawanan yang ditentukan menerusi penentuan penalti di Euro sebelum ini, termasuk tewas di tangan Italy dalam perlawanan akhir tiga tahun lalu.

Namun kali ini, pasukan itu berjaya, dengan Saka seakan “menghilangkan kesakitan” selepas gagal menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Euro 2020.

“Bagi saya ia adalah sesuatu yang saya terima,” kata Saka.

“Anda boleh gagal sekali, tetapi anda ada pilihan sama ada ingin meletakkan diri anda dalam keadaan yang sama sekali lagi...

“Kami cukup yakin (pasukan ini boleh menunjukkan prestasi baik) jika perlawanan berakhir dengan penentuan penalti. Dan ia terbukti hari ini.

“Kami menjaringkan lima gol daripada lima tendangan dan mara ke pusingan seterusnya,” tambahnya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg