PASUKAN renang negara yang akan ke Sukan Olimpik akan datang, berdepan dengan cabaran yang tidak dijangka, ketika Akuatik Dunia (WAQ) membuat persiapan bagi senarai muktamad 852 perenang yang akan bersaing di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam perkembangan terbaru, Quah Ting Wen, salah seorang perenang dalam acara berganti-ganti 4x100 meter wanita – bersama Quah Jing Wen, Letitia Sim dan Levenia Sim – yang menduduki tempat kesembilan dalam kejohanan dunia dan melayakkan mereka bertanding di sukan Olimpik, kelihatan akan terlepas peluang.
Pada majlis penyampaian bendera Sukan Olimpik dan Paralimpik Pasukan Singapura pada 6 Julai, nama pemain berusia 31 tahun itu nyata tidak tercatat dalam senarai 22 atlet Olimpik.
Pada 4 Julai, badan induk dunia akuatik telah mengesahkan penyertaan Singapura untuk acara berganti-ganti.
Tetapi sehari kemudian, ia menghantar undangan kepada Gan Ching Hwee untuk mengambil bahagian berdasarkan masa yang dicapai menurut Masa Pertimbangan Olimpik (OCT atau “B”), iaitu 16 minit 13.94 saat untuk acara 1,500m gaya bebas wanita. Rekod kebangsaannya 16:10.61 pada kejohanan kebangsaan Singapura pada 15 Jun.
Perenang layak secara automatik ke Sukan Olimpik jika mereka memenuhi Masa Kelayakan Olimpik (OQT atau “A”) dan mungkin menerima undangan untuk bertanding jika mereka memenuhi OCT.
OQT untuk acara 1,500m gaya bebas wanita ialah 16:09.09.
Di bawah peraturan WAQ, setiap pasukan bagi acara berganti-ganti boleh menurunkan maksimum dua perenang sahaja.
Bagi pasukan wanita Singapura, hanya Letitia yang mendapat OQT dalam acara 100m kuak dada.
Keadaan masih belum jelas, kerana WAQ juga menyatakan ia “boleh menggunakan budi bicara mutlaknya, dan atas dasar yang luar biasa, menawarkan tempat kuota atlet acara berganti-ganti sahaja kepada NOC. Ini bagi membolehkan pasukan bagi acara berganti-ganti menyertai acara yang berkaitan”.
Bagaimanapun, selepas WAQ membenarkan adik-beradik Quah dan Sim untuk bertanding, undangan OCT kepada Gan bermakna beliau boleh menyertai acara berganti-ganti, dan Singapura tidak lagi memerlukan perenang ketiga hanya untuk acara berganti-ganti.
Memandangkan perenang berusia 20 tahun itu adalah pakar gaya bebas, nampaknya beliau akan menggantikan Ting Wen, yang turut berenang dalam acara gaya bebas berganti-ganti.
Presiden Akuatik Singapura (SAQ) Mark Chay mengesahkan, pihaknya menerima undangan OCT, yang diterima Gan, dan Ting Wen telah membuat rayuan, yang akan didengar oleh jawatankuasa rayuan persatuan itu pada 7 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg