Gandingan mantap dan percubaan spontan dalam kolam renang mungkin terhasil daripada latihan selama berjam-jam, namun bagi beberapa pemain polo air bertaraf dunia dalam Kejohanan Akuatik Dunia (WCH), keserasian itu datang secara semula jadi kerana mereka adik-beradik.
Pemain polo air dari Greece, Vasiliki Plevritou, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa persefahaman istimewa yang dimilikinya dengan kakaknya, Eleftheria, 28 tahun, jelas memainkan peranan apabila mereka menjuarai Piala Dunia Polo Air Wanita bagi negara mereka pada April.
Mereka juga berpeluang merasai pengalaman ‘luar biasa’ beraksi di Sukan Olimpik Paris bersama seorang lagi kakak mereka, Margarita, 30 tahun, yang kini telah bersara.
“Hanya dengan satu jelingan, kami sudah tahu apa yang adik-beradik kami akan lakukan, tanpa perlu berkata apa-apa, dan setiap pergerakan menjadi automatik,” kata Vasiliki, 27 tahun.
Pemain pasukan lelaki Amerika Syarikat, Chase Dodd, 22 tahun, yang memenangi pingat gangsa Olimpik bersama adiknya Ryder, 19 tahun, merasakan gandingan itu memberi satu kelebihan kerana mereka dapat bekerjasama dengan sangat baik.
Menariknya, terdapat lebih 10 pasangan adik-beradik yang bertanding dalam acara lelaki dan wanita WCH di Pusat Akuatik OCBC yang berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos, lapor ST.
Ini termasuk pasangan adik-beradik perempuan Ariadna dan Elena Ruiz yang menjuarai Olimpik acara wanita untuk Sepanyol, dan pasangan dari Singapura, Koh Xiao Li dan Koh Ting Ting, yang meraih pingat perak di Sukan SEA.
Turut mencuri tumpuan ialah gandingan abang dan adik perempuan Dylan dan Ella Woodhead dari Amerika, serta gandingan kakak dan adik lelaki dari Jepun, Akari dan Yusuke Inaba.
Dalam pasukan lelaki Serbia sahaja, terdapat dua pasangan adik-beradik: Strahinja dan Viktor Rasovic, serta Petar dan Nikola Jaksic.
Bergandingan dengan ahli keluarga dalam satu pasukan boleh meningkatkan prestasi para pemain ke peringkat yang lebih tinggi.
Strahinja, 33 tahun, memberitahu World Aquatics:
“Paris memiliki tempat istimewa dalam hati saya. Kami menang selepas permulaan yang sangat teruk dalam peringkat kumpulan, apabila tiada siapa percaya kami mampu memenangi pingat emas.
“Tetapi kami berjaya, dan saya berjaya (mendapat emas) bersama adik saya, itu yang sangat bermakna buat saya.”
Namun, kehadiran ahli keluarga dalam pasukan tidak semestinya menjamin kelancaran sesuatu perlawanan.
Eleftheria mengakui: “Rakan sepasukan selalu kata saya ada muka selamba sebab saya tidak tunjuk emosi semasa permainan. Tetapi apabila bermain dengan kakak dan adik saya, sebaliknya berlaku. Saya lebih mudah menjerit dan cepat marah.”
Pernah juga berlaku situasi ‘janggal’ apabila kelab Hungary, Ferencvarosi, yang diwakili Eleftheria, tewas kepada kelab Greece, Olympiakos, yang diwakili Margarita dan Vasiliki, dalam perebutan tempat ketiga Liga Juara-Juara pada Mei.
Eleftheria berkata: “Secara psikologi, memang sangat sukar kerana ini kali pertama dalam 20 tahun saya menentang adik-beradik saya sendiri.
“Ia memang sukar, namun mungkin tidak begitu susah bagi beliau (Vasiliki), kerana beliau dapat jaringkan tujuh gol.”
Sambil tersipu, Vasiliki berkata mereka cuba untuk tidak berbual mengenai polo air sepanjang masa kerana sukan itu telah mengambil sebahagian besar daripada kehidupan harian mereka.
Namun, ada kalanya sokongan daripada seseorang di rumah yang memahami apa yang dilalui sebagai pemain polo air amat bermakna.
Pada 2019, tekanan daripada harapan orang ramai menyebabkan wakil Belanda, Lieke Rogge, mengambil keputusan meninggalkan pasukan kebangsaan.
Tidak lama kemudian, kakaknya, Bente, pula digugurkan daripada skuad Olimpik Tokyo 2020.
Namun, sokongan anggota keluarga yang turut berkecimpung dalam dunia polo air membantu adik-beradik ini bangkit daripada kekecewaan dan akhirnya bergelar juara dunia bersama.
Selepas peringkat kumpulan wanita tamat pada 15 Julai, Australia, Amerika, Hungary dan Sepanyol muncul sebagai pasukan pertama yang mara ke suku akhir dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam kumpulan masing-masing.
Pasukan di tempat kedua dan ketiga pula layak ke pusingan perlawanan semula pada 17 Julai, dengan baki empat tempat bagi suku akhir akan ditentukan menerusi pertemuan antara Greece-Perancis, Jepun-Britain, Italy-China dan New Zealand-Belanda.
Sementara itu, pasukan tercorot kumpulan akan beraksi dalam perlawanan penentuan kedudukan.
Tuan rumah Singapura, yang tewas 32-5 kepada Italy dalam aksi terakhir Kumpulan A, akan menentang Argentina, manakala Croatia akan bertemu Afrika Selatan dalam separuh akhir penentuan bagi tempat ke-13 hingga ke-16, pada 17 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg