Ganjaran tunai berjumlah setengah juta dolar diberi kepada atlet para Singapura pada Rabu bagi kemenangan mereka di temasya sukan utama pada 2023.
Pemenang terbesar di Majlis Anugerah Pencapaian dan Penghargaan Atlet Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) di Novotel on Stevens itu ialah perenang Toh Wei Soong, yang membawa pulang $270,000.
Tiga pingat emas dalam Sukan Para Asia Hangzhou pada Oktober memberi Toh ganjaran sebanyak $255,000, di samping $15,000 hasil hatriknya pada Sukan Para Asean di Kemboja pada Jun.
Beliau juga memenangi sebutir pingat perak Asiad, tetapi anugerah itu dihadkan maksimum tiga pencapaian tertinggi bagi setiap pertandingan, lapor The Straits Times.
Toh, yang neneknya meninggal dunia hanya sebulan sebelum Asiad, berkata:
“Saya sangat berterima kasih dapat menerima hadiah tunai di Anugerah Pencapaian Atlet dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan keluarga saya kerana menyokong saya tahun ini untuk beraksi cemerlang di Sukan Para Asia, terutamanya mendiang nenek saya.
“Saya berharap tahap sokongan institusi ini menjadi inspirasi kepada sesiapa yang mahu menyertai sukan para, terutamanya atlet muda, sebab ia menunjukkan tidak mustahil untuk menjadi atlet para di Singapura.”
Secara keseluruhan, $445,000 disampaikan kepada peminat pingat di Hangzhou, dan $55,000 untuk mereka yang naik ke podium di Kemboja.
Kededua jumlah itu adalah yang tertinggi, dengan jumlah sebelumnya ialah $250,000 untuk Asiad 2018 dan $44,000 untuk Sukan Para Asean dari 30 Julai hingga 6 Ogos pada 2022 – kededuanya diadakan di Indonesia.
Anugerah tunai ditambah pada Julai 2022.
Sebagai contoh, pembayaran untuk pingat emas di Sukan Para Asia ditambah daripada $50,000 kepada $85,000 bagi acara individu.
Pemenang pingat emas bagi acara individu di Sukan Para Asean kini memperoleh $5,000 – bertambah daripada $2,000 yang diberi pada edisi 2017.
Pemanah Nur Syahidah Alim berkata beliau berasa sangat “terharu dan rendah hati” menerima anugerah itu.
Pingat perak Asiadnya dalam acara kompaun individu wanita membawa ganjaran $60,000.
“Pencapaian ini bukan sahaja kemenangan peribadi, bahkan bukti untuk usaha kolektif dan sokongan orang di sekeliling,” ujar atlet berusia 38 tahun itu, yang mengucapkan penghargaannya kepada jurulatih dan pasukan di Institut Sukan Singapura.
Nur Syahidah tidak hadir di majlis itu kerana menyertai Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, dengan beliau memenangi pingat emas pada hari yang sama.
Atlet boling padang Faridah Salleh, 66 tahun, yang memenangi pingat perak Asiad di Hangzhou – yang pertama dalam sukannya – berharap ganjaran bagi kemenangan pingat itu dapat memberi inspirasi kepada atlet boling padang lain.
Beliau berkata: “Saya benar-benar tidak menjangkakannya dan lebih-lebih lagi, dengan anugerah wang ini, adalah baik pemain boling kurang upaya yang lain berlatih bersungguh-sungguh supaya mereka mendapat apa yang saya dapat.”
Apabila ditanya apa yang beliau akan lakukan dengan wang itu, Faridah berkata: “Saya akan menyimpan wang itu dan mungkin belanja ahli keluarga saya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg