Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Garnacho sumbat gol luar biasa

Nov 27, 2023 | 03:18 PM



LIVERPOOL: Pemain Manchester United, Alejandro Garnacho, menjaringkan satu gol menakjubkan pada minit ketiga untuk membantu pasukan pelawat menang 3-0 ke atas Everton yang dirundung malang dalam aksi Liga Perdana England pertama mereka selepas ditolak 10 mata pada Ahad.


Bintang Argentina berusia 19 tahun itu melakukan sepakan akrobatik ke penjuru gawang setelah menyambut hantaran silang Diogo Dalot melepasi penjaga gol, Jordan Pickford, sebelum meraikannya dengan cara Cristiano Ronaldo di Goodison Park.

Satu sepakan penalti Marcus Rashford dan jaringan bijak Anthony Martial melengkapkan kemenangan pada babak kedua.

Gol Garnacho sudah disamakan dengan jaringan terkenal Wayne Rooney untuk United dalam perlawanan ‘derby’ Manchester pada 2011.

“Menakjubkan – sesuatu yang mengagumkan dan tiada kata-kata yang boleh saya menggambarkannya. Ia memang terbaik. Sesuatu yang istimewa daripada seorang pemain muda yang istimewa,” kata kapten United, Bruno Fernandes.

“Saya masih mengharapkan lebih lagi daripadanya kerana kami sedar mengenai keupayaannya, kami tahu apa yang boleh dilakukannya dalam bola sepak.”

United kendalian Erik ten Hag kini di tangga keenam tangga liga dengan 24 mata selepas 13 perlawanan, manakala Everton bimbingan Sean Dyche, yang menghuni tangga ke-14 sebelum ditolak mata kerana melanggar peraturan kewangan liga, kedua tercorot dengan empat mata.

Rashford menggandakan kedudukan United di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-56, yang diberikan selepas video penolong pengadil (VAR) mendapati Martial dijatuhkan oleh Ashley Young.

Fernandes menyerahkan bola kepada Rashford untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Rashford hanya menjaringkan satu gol musim ini dengan kali terakhir pada 3 September lalu.

“Marcus memerlukan sedikit keyakinan, beliau memerlukan gol – beliau seorang pemain yang bagus dengan sepakan penalti,” kata Fernandes.

“Saya yakin beliau boleh menyempurnakan sepakan penalti itu dan Marcus melakukannya dengan sempurna.”

Martial kemudian menyebabkan ratusan penyokong Everton menuju ke pintu keluar Goodison Park pada minit ke-75 apabila beliau meluru menyambut hantaran Fernandes dan mengungkit bola melepasi Pickford bagi satu gol mudah.

United, yang bergelut dengan permulaan musim terburuk mereka dalam tempoh 61 tahun, kini telah memenangi lima daripada enam perlawanan terakhir mereka.

Lima kemenangan itu, serta 15 mata yang diraih, sejak awal Oktober adalah pencapaian terbaik dalam liga. 

Everton melakukan rembatan bertubi-tubi menjelang penghujung separuh masa pertama, yang terbaik adalah percubaan Dominic Calvert-Lewin dari tepi yang ditepis Andre Onana sebelum rembatan susulan Dwight McNeil berjaya dihalang di garisan gawang oleh Kobbie Mainoo.

“Sebahagian besar persembahan adalah baik,” kata Dyche kepada Sky Sports.


“Pada separuh masa pertama (United) begitu klinikal di depan gol, ia mengubah kedudukan awal permainan. Kami kemudian dapat menyesuaikan diri pada permainan. Kami mempunyai peluang tetapi tidak dapat memanfaatkannya.

“Persembahan yang cukup baik dari sudut pandangan kami.”

United menguasai separuh kedua meskipun Everton, yang kelihatan letih, mempunyai beberapa lagi peluang termasuk rembatan Vitalii Mykolenko pada minit ke-77 yang terkena palang.

Hanya perbezaan gol yang mengekalkan Everton di atas pasukan di tangga terendah, Burnley, yang merupakan satu-satunya pasukan dengan kurang mata liga di laman sendiri musim ini berbanding The Toffees – iaitu sifar berbanding empat.


Peminat Everton mengubah Goodison menjadi lautan merah jambu sebagai protes atas hukuman mata mereka, memegang papan tanda merah jambu terang yang bertulis “Rasuah” di bawah logo kepala singa Liga Perdana. Mereka mencemuh dengan kuat semasa lagu prapermainan liga dimainkan.

“Sepuluh mata yang diambil daripada sesiapa pun akan mengubah musim mereka,” kata Dyche. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >